HEADER

HEADER

Tuesday, July 1, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 3 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Kita insyaAllah akan menghabiskan tadabbur bagi surah al-Baqarah dalam siri ini. Dalam permulaan juzuk kedua, Allah menempelak orang-orang bodoh dari kalangan Yahudi, munafik dan musyrikin Mekah dalam isu penukaran arah kiblat. Kerana walau kearah manapun dihadapkan, bumi ini milik Allah, samada timur atau barat. Kiblat sebenar adalah Kaabah serta ia dimaklumi oleh ahli kitab dan Allah ingin menguji manusia dengan arahan ini. Tetapi biarpun ahli-ahli kitab ini mengetahui ditambah pula mengenali sifat dan keperibadian rasulullah melalui kitab taurat dan injil, mereka tetap kufur.

Allah menyatakan sesiapa yang berjuang dan mati di jalan Allah, mereka tetap hidup dan tidak mati. Itulah kelebihan orang berjihad. Tetapi kesukaran adalah satu perkara yang mesti ditempuhi oleh pejuang-pejuang ini. Sifat mereka ialah meminta pertolongan dari Allah dengan jalan sabar dan mendirikan solat serta bersedia untuk kembali kepada Allah.

Diakhirat nanti manusia masing-masing akan berlepas diri dari dosa yang dilakukan di dunia ini apabila mereka melihat azab. Syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan  perkara keji serta dusta. Ini termasuklah golongan yang menolak agama Islam kerana tetap berpegang dengan agama nenek moyang mereka walaupun mereka tidak tahu asal agama nenek moyang mereka (semata-mata ikut-ikutan sahaja). Apabila diseru mereka berdegil dan Allah mengumpamakan keadaan mereka ini sama seperti binatang yang tidak faham bahasa manusia, pekak, bisu, buta dan tidak berakal.

Allah dedahkan ada manusia yang sanggup menjual akhirat demi kepentingan dunia. Dan tidaklah sebenarnya mereka itu melainkan sedang mengisi perut mereka dengan api neraka. 


Kewajipan menjalankan hukum Qisas (ayat 178) adalah sama seruannya dengan kewajipan menjalankan ibadah puasa (ayat 183). Tetapi kenapa kewajipan qisas dipandang sepi? Sedangkan dalam ayat yang lain dalam surah ini Allah ada bertanya adakah kita hendak beriman dengan sebahagian kitab dan kufur sebahagian lagi? Itulah perangai ahli kitab. Allah menyuruh kita masuk ke dalam Islam dengan menyeluruh (ayat 208) dan tidak mengikut jejak langkah syaitan. (Dapatkah kita fikirkan kenapa penolakan hukum ini berlaku?)


Allah membenarkan pembunuhan jika kita yang berada di jalan Allah diserang walupun dalam bulan haram. Dosa fitnah (mengganggu, hasutan kekacauan) keatas orang-orang beriman yang dilakukan oleh musyrikin Mekah adalah lebih besar dari membunuh.

Dalam surah ini juga diterangkan juga manasik haji yang betul dari Allah agar tidak menyamai ritual-ritual haji yang dilakukan oleh golongan musyrikin yang sesat itu. Juga diterangkan hukum-hukum munakahat bagaimana kewajipan menjaga waris setelah ketiadaan bapa mereka (ramai yang mengabaikan saudara mara mereka yang bernasib malang sebegini). Disuruh juga kita berwasiat (sehingga kini berbillion harta pusaka orang Islam tidak dapat diselesaikan kerana kegagalan berwasiat).

Tujuan Allah mengutuskan rasul adalah bagi membezakan antara hak dan batil. Manusia dahulunya bersatu (ummatan wahidan) sebelum mereka berselisih. Orang-orang kafir kemudiannya menjadi sombong dan berbangga dengan harta dunia mereka sedangkan orang-orang mukminlah yang sebenarnya lebih tinggi martabat mereka kerana ketaqwaan. Orang-orang beriman akan pasti diuji dengan sakit, kemiskinan serta digoncangkan keimanaan mereka. Dan Allah akan menolong orang-orang yang sabar.

Kedegilan Bani Israel sekali lagi dinyatakan apabila mereka dengan sombong menolak perlantikan Talut oleh Allah melalui nabi mereka kerana Talut miskin. Sedangkan Talut adalah orang yang berilmu dan perkasa dari kalangan mereka. Mereka juga melanggar perintah agar tidak meminum air di sebatang sungai yang mereka tempuhi ketika perjalanan kecuali yang dibenarkan hanya seceduk tangan mereka sahaja. Akibatnya mereka tidak mampu untuk berperang. Namun baki mereka itu walaupun sedikit tetapi kuat iman mereka, tetap menang melawan tentera Jalut yang ramai.

Kisah Nabi Ibarahim berhujjah dengan kaumnya apabila baginda menyuruh kaumnya yang menafikan kewujudan Allah, menerbitkan matahari dari barat yang membuatkan kaumnya tercengang. Dan juga kisah baginda yang dapat menyaksikan burung-burung dihidupkan kembali oleh Allah setelah dicincang ada juga dinyatakan dalam surah ini.

Allah melarang kita membangkit-bangkitkan pemberian kita kepada orang lain kerana itu menghapuskan pahala yang Allah janjikan sehingga 700 kali ganda. Tetapi dibenarkan menzahirkan sedekah. Bakhil adalah sifat keji dari syaitan yang menakut-nakutkan kita dengan kemiskinan jika bersedekah. Akhlak tidak meminta-minta adalah akhlak yang baik sehingga orang tidak tahu seseorang itu miskin kerana dia menahan diri dari meminta-minta.

Riba adalah haram. Allah mengibaratkan pemakan-pemakan riba seperti mengisytiharkan perang ke atas Allah dan rasul. Dibolehkan mengambil kembali wang pokok yang kita laburkan jika kita mahu keluar dari riba. Diakhirat nanti pemakan-pemakan riba ini akan berdiri seperti orang dirasuk syaitan. Allah memberkati zakat dan tidak memberkati riba. Manakala ayat terpanjang dalam surah ini ayat 282 yang menyebut berkaitan tatacara berhutang.


Kita hendaklah menjadi hamba yang bukan sahaja mendengar arahan dan suruhan Allah melalui rasul tetapi juga mestilah taat kepada suruhan itu. Dan Allah tidak memberatkan hambanya dengan apa yang mereka tidak mampu menanggungnya kerana Allah maha pengasih dan penyayang terhadap hamba-hambanya. Tamat surah al-Baqarah. Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment