Bismillah
Friday, July 18, 2014
Tadabbur Ringkas al-Quran 17 : Bacaan Tiga Minit
6:22 PM
No comments
Surah al-Anfal
(Harta Rampasan Perang) diturunkan di Madinah sebanyak 75 ayat. Dinamakan
al-Anfal kerana di dalam surah ini diterangkan perihal peperangan dan
perdamaian. Pun begitu, ditegaskan jalan perdamaian adalah lebih diutamakan
kerana Islam itu agama perdamaian. Peperanagn berlaku hanya kerana Islam
disekat dan diceroboh. Maka Allah perintahkan penceroboh itu diperangi sehingga
mereka dilenyapkan.
Ketika pasukan
tentera Islam menang di medan Badar, maka banyaklah harta rampasan perang yang
telah diperolehi. Berlegarlah persoalan, kepada siapakah akan dibahagikan harta
itu, berapa bahagian mereka? Maka Allah menjelaskan melalui firmanNya bahawa
harta itu terserah kepada Allah dan rasulNya untuk dibahagikan dan
diperintahkan mereka agar mentaatinya kerana mereka semua itu adalah orang yang
beriman, dimana apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka kerana
takutkan Allah dan bertambah mantap iman mereka apabial mendengar ayat-ayat Allah,
mendirikan solat serta suka bersedekah. Merekalah ahli-ahli syurga.
Allah menegur
sebahagian tentera yang pada mulanya keberatan untuk berperang, tetapi apabila
melihat harta, mereka mula berkira-kira bahawa diri merekalah yang sepatutnya
dapat lebih. Sedangkan mereka telah dimaklumkan akan bertemu antara dua pasukan
samada Abu Sufian iaitu rombongan perdagangan ataupun Abu Jahal, pasukan
tentera. Ada dikalangan mereka yang lebih suka untuk bertemu dengan Abu Sufian,
tetapi Allah telah menetapkan bahawa mereka akan berperang dengan Abu Jahal
supaya agama Allah yang benar ditegakkan dan kesyirikan serta kekufuran
dihapuskan.
Allah membantu
tentera Islam dengan menghantar seribu malaikat setelah Dia memperkenankan doa
rasulullah. Tidak sekadar itu, Allah juga menurunkan juga rasa mengantuk (untuk
tentera Islam tidur dengan cukup) dan hujan agar tanah menjadi keras serta
mudah bagi mereka berperang. Diberikan pula perasaan gerun kepada kaum
musyrikin dalam perang itu. Mereka dibunuh oleh kerana kejahatan mereka
menentang Allah dan rasul, itulah azab mereka di dunia ini.
Haram kita lari
dari perang kecuali sebagai tipu helah bagi menyusun semula pasukan. Allah
memberi ingat bahawa Dialah yang menentukan segala perlakuan tentera Islam dan keputusan
perang itu serta membinasakan pasukan musyrikin. Dalam tafsir al-Alusi,
diriwayatkan nabi berdoa kepada Allah dan melemparkan pasir dan dengan bantuan
Allah pasir itu terkena mata para tentera musyrikin lalu mereka dapat
dikalahkan. Jelas Allah telah menunjukkan mana hak dan mana yang batil kerana
Allah memberitahu bahawa tentera musyrikin juga berdoa agar ditunjukkan
kemenangan kepada pihak yang benar.
Allah memberi
ingat, jika kita melakukan dosa (juga jika membiarkan perkara mungkar berlaku
tanpa sekatan), maka azab dan bala yang datang tidak akan tertimpa kepada
golongan pendosa itu sahaja tetapi kepada semua. Jangan kita meninggalkan
amanah dari Allah dan rasul hanya kerana perkara dunia, seperti kerana
anak-anak kerana Allah menjanjikan pahala yang besar bagi yang taat kepadaNya.
Bertaqwalah kepada Allah kerana dalam ketaqwaan itu ada petunjuk yang
membezakan antara yang hak dan batil serta dihapuskan dosa orang-orang yang
bertaqwa.
Tiada yang
berkuasa menjalankan kejahatan atau tipu daya lebih daripada apa yang Allah
rancangkan. Oleh itu tiada gunanya melayan mereka yang memperolok-olokkan
al-Quran serta mencabar agar diturunkan azab dari langit kerana Allah mempunyai
perancangan lain. Golongan kafir ini menyekat orang Islam bersembahyang di
Masjidil Haram sedangkan mereka tidak bersembahyang tetapi hanya bertepuk sorak
dan bersiul sahaja. Kafir musyrikin juga membelanjakan harta mereka bagi
memusnahkan Islam, tetapi hanyalah yang ada penyesalan kerana kerugian setelah
kalah. Nanti mereka akan bersatu dengan golongan penentang Islam yang lain dan
kemudiannya dihumbankan ke neraka. Sedangkan Allah begitu pemurah, membuka
pintu taubat bagi mereka bertaubat dan Allah berjanji akan mengampunkan mereka.
Tetapi jika
mereka berdegil, maka Allah perintahkan agar diperangi mereka semua sehingga
tiada lagi fitnah terhadap Islam dan tiada lagi kesyirikan. Allah berjanji
pasti akan melindungi golongan yang benar (Islam) daripada dicerobohi oleh
kumpulan penentang Islam kerana Dialah sebaik-baik penolong yang akan
menyelamatkan orang Islam. Wallahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment