Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, March 27, 2015

Musuh Islam tidak akan berhenti menyerang


Sepanjang perjalanan dakwah ini, pejuang Islam akan menghadapi segalan mehnah dan tribulasi perjuangan samada datang dari musuh luaran mahupun dalaman, tetapi Allah akan menyempurnakan agama ini.
“Musuh tidak pernah berhenti, kita mungkin boleh berhenti, boleh bersembang, boleh bergelak ketawa, tapi musuh tidak pernah berhenti.
“Semua ahli perlu menjaga Islam di kawasan masing-masing kerana semua akhirnya akan ditanya apakah yang telah kita lakukan apabila Islam diserang.
“Dan kita mesti mempertahankan Islam dengan segalanya walaupun ada orang yang tidak menyukainya.
“Siapa lagi yang akan mempertahankan Islam, kerana kita tiada pilihan,” itulah antara ucapan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat YB Ustaz Nasrudin Hasan ketika menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Rusila baru-baru ini.
Kuliah yang diadakan bersempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah ke-3 itu dihadiri oleh kira-kira enam ribu orang yang memenuhi ruang masjid atas dan bawah serta ruang di dalam Dewan Tok Guru.
Oleh itu gesa beliau lagi, umat Islam mesti mempersiapkan diri dengan ilmu kerana ingin memperjelaskan Islam kepada orang ramai dan bukan hanya dengan semangat sahaja kerana semangat hanya bermusim.
Mengimbau sejarah apabila rasulllah menghadapi ancaman dari musuh Allah beliau berkata, baginda mengajak manusia kembali kepada kalimah tauhid, tetapi yang menentang, sebahagiannya adalah dari keluarga baginda sendiri.
Bermula dari hari pertama, rasulullah telah diugut dan dihina kerana membawa risalah ini, malah bapa saudara rasulullah Abu Talib juga diguna oleh musuh rasulullah bagi memujuk bagi menghentikan dakwah itu.
Tetapi tambah beliau lagi, ketegasan rasulullah menolak dengan kasih sayang permintaan bapa saudaranya itu sehinggakan Abu Talib tidak boleh memujuk baginda lagi, malah sebaliknya menjadi pelindung kepada rasulullah.
Ingatan beliau kepada pendengar untuk melihat ujian demi ujian ini adalah salah satu bentuk penapisan oleh Allah bagi memperlihatkan siapa yang benar dan ikhlas serta jujur dalam membawa risalah Islam ini.
Hasil dari ketegasan rasulullah itu dan kejayaan baginda mendidik sahabatnya sehinggakan tiada yang mereka lihat, kecuali keimanan, tiada takut berhadapan dengan musuh dan tiada rasa ingin mengkhianati jemaah dalam apa jua keadaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh menyatakan adalah menjadi sunnah perjuangan iaitu mengorbankan segalanya bagi Allah dengan segala apa yang ada sehinggakan nyawa kita sendiri menjadi taruhan.
Seterusnya beliau menekankan perkara yang dianggap telah hilang dalam diri pejuang ialah akhlak seperti yang jelas dapat diperhatikan dalam Facebook dan Twitter dengan memaki hamun dan menghina sesama sendiri.
Beliau juga mengingatkan ahli agar jangan menjadikan fenomena takut, gentar, bersalah, serta rasa lemah untuk bercakap berkenaan Islam contohnya dalam media sosial.
Disamping keberanian untuk melakukannya, ketegasan juga mesti disertakan agar orang tidak salah faham Islam dalam banyak versi dan berbeza kerana tindakan kita itu, sedangkan Islam itu hanya satu.
Tegas mantan Ketua Pemuda PAS Malaysia itu lagi, jalan ini ialah jalan Islam dan mesti berkata yang benar itu adalah benar dan jangan kita terpaksa melutut dan merayu kepada orang lain bagi melaksanakan islam sehingga kita kehilangan izzah.
Oleh itu, untuk kita mempromosikan Islam, kita mestilah menyatakan Islam itu dan tiga perkara ini mesti kita rangkaikan dalam diri pejuang Islam iaitu ilmu,akhlak dan juga keberanian dalam menyatakan Islam.

Friday, March 20, 2015

Bawa Islam ke Putrajaya


Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang hari ini menyeru agar Islam dibawa ke Putrajaya oleh PAS menerusi sokongan oleh semua pihak untuk dijadikan asas pemerintahan.
Menurut beliau, ini kerana masyarakat majmuk di Malaysia tidak boleh menyelamatkan Malaysia kecuali dengan Islam.
“Oleh kerana itu, dalam himpunan ini saya menyeru mari kita membawa Islam ke Putrajaya untuk menguasai dan menunjukkan Islam.
“Di Malaysia, kita mengalami kelemahan meninggalkan Islam berlalu lebih satu abad setelah mencapai kemerdekaan.
“Percayalah, kita tidak boleh menyelamatkan Malaysia, masyarakat majmuk melainkan dengan Islam,” tegas beliau.
Seruan itu dinyatakan beliau ketika meyampaikan ucapan perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ke-3 di Dewan Tok Guru, di perkarangan Masjid Rusila di hadapan ribuan peserta dan pemerhati.

Ijtimak yang mengunakan tema “Wa Qudsa” (al-Aqsa ku) itu adalah bertujuan bagi memusatkan kesatuan umat Islam kepada pembebasan Masjid al-Aqsa dengan menyedarkan umat tentang kepentingan dan manafaatnya.
Turut hadir sebagai ialah ketua-ketua gerakan Islam dari seluruh pelusuk dunia.
Dato’ Seri Abdul Hadi memulakan ucapannya dengan menyingkap kembali sejarah permulaan Islam dan bagaimana kejayaan dan jatuh bangunnya kerajaan Islam semenjak ianya dimulakan oleh rasulullah s.a.w.
Jelas beliau, tujuan kehadiran Islam ke satu-satu tempat bukanlah untuk menjajah tetapi membebaskan manusia daripada kegelapan dan kejahilan.
Seterusnya ‘Islamophobia’ juga perlu dihapuskan dengan berusaha memberitahu kepada dunia apakah Islam itu yang sebenarnya agar tidak timbul lagi salah faham terhadap Islam.
Tambah beliau lagi, terbukti Islam itu agama perdamaian apabila orang bukan Islam boleh hidup aman damai dibawah pemerintahan Islam, tetapi sebaliknya berlaku terhadap orang Islam di negara bukan Islam.
Menyentuh peranan ulamak pula, Dato’ Seri Abdul Hadi menegaskan bahawa ulamak adalah golongan yang membaiki kerosakan yang dibuat oleh manusia yang terkadang datang dari orang yang mengaku Islam tetapi tersalah memilih langkah.
Orang Islam gagal kerana tidak berjaya menunjukkan akhlak Islam, walaupun ramai yang sayangkan Islam tetapi semua itu mestilah ada tafaqquh (mendalami) berkaitan dengan ilmu itu.
Beliau yang juga Presiden PAS dalam pada itu juga melahirkan kehairanan apabila ideologi-ideologi yang lain boleh diterima termasuk oleh orang Islam sendiri tetapi menolak Islam yang jelas ada termasuk di dalam kitab-kitab agama lain.
Akhirnya beliau menyeru kepada semua agar menjadikan Baitul Maqdis sebagai satu tampat bagi penyatuan kepada semua mazhab.
Majlis perasmian itu diakhiri dengan acara melelong gambar masjid al-Aqsa yang ditandatangai oleh beberapa pimpinan jemaah Islam termasuklah tandatangan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Wednesday, March 4, 2015

Razif mahu bina monumen dikala ekonomi meleset.


Bismillah
Saya terpanggil bagi mengulas tentang rancangan terbaharu YAB Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang disiarkan di sebuah akhbar tempatan baru-baru bagi membina persimpangan bertingkat dari Jambatan Sultan Mahmud untuk masuk ke simpang ke Seberang Takir. Dalam laporan itu juga menyebut persimpangan bertingkat ini akan dirancang pembinaannya sehingga ke pondok kutipan tol (ciptaan kerajaan BN Terengganu dahulu yang kemudiannya dihapuskan oleh PAS pada tahun 1999 sehingga kini) yang menurut beliau pondok itu nanti akan dirobohkan sepenuhnya. Ini kata beliau, bagi mengurangkan kesesakan untuk masuk ke Seberang Takir dan juga bagi mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan simpang terbabit.
Saya memandang cadangan pembinaan persimpangan bertingkat ini tidak lebih hanyalah sebagai salah satu cadangan bagi membina monumen oleh YAB MB untuk ditunjukkan kepada rakyat Seberang Takir khususnya dan Terengganu umumnya. Tidak pernah dibentangkan di dalam Sidang Dun ataupun mana-mana laporan khas (seingat saya) tentang dahsyatnya kesesakan di situ serta betapa banyaknya jumlah kemalangan yang terjadi dek kerana kesibukan lalulintas di situ. Ya, benar, pernah kita rakyat Terengganu yang biasa menggunakan jalan tersebut melihat keadaan kesesakan yang teruk, tetapi itu hanyalah pada musim perayaan sahaja. Selepas seminggu perayaan, maka keadaan menjadi seperti biasa semula. Paling teruk selain daripada musim perayaan ialah ketika waktu pergi dan pulang dari kerja. Itupun hanya beberapa jam sahaja.
Persoalan saya, apakah kajian yang telah dibuat bagi membuktikan keutamaan dan keperluan segera persimpangan ini? Berapa pula kos pembinaan persimpangan ini? Tidak cukupkah lagi dengan rancangan besar bagi membina “drawbridge” iaitu jambatan yang dikatakan boleh dibuka dan ditutup merentasi Sungai Terengganu yang bakal menghubungkan bandar Kuala Terengganu dengan Seberang Takir itu? Apakah jambatan itu tidak mampu membantu mengurangkan kesesakan lalulintas ke Seberang Takir? Apakah yang ada di Seberang Takir sehingga begitu sekali digambarkan kesesakan lalulintas itu? Gambaran keterlaluan kesesakan ini sepertinya Seberang Takir telah bertukar tempat dengan Kuala Terengganu sebagai ibu negeri. Atau mungkinkah YAB MB mahu menunjukkan kepada masyarakat, ada stadium yang runtuh di situ? Jika benar “drawbridge” itu tidak mampu menampung jumlah kenderaan ke Seberang Takir sehingga perlu bagi kerajaan membina persimpangan bertingkat itu, maka nyatalah betapa teruknya perancangan yang dibuat oleh kerajaan BN menggunakan jutaan ringgit duit rakyat atas nama pembangunan. Jelas, tiada beza pembinaan jambatan ini dengan apa yang dipanggil sebagai “pembangunan-pembangunan” yang telah dilakukan sebelum ini iaitu tiada perancangan yang jitu yang akhirnya duit rakyat juga yang hangus. Saya tegaskan di sini, saya bukannya menolak pembangunan secara total, tetapi jika pembangunan yang hanya membazirkan wang rakyat, maka atas dasar apa rakyat mesti menyokong? Justeru, ada persamaan yang sangat nyata diantara YAB MB sekarang dengan mantan MB-MB kerajaan BN yang lalu iaitu pembaziran duit rakyat.
Kita memahami perasaan YAB MB sekarang yang agak tertekan kerana sekurang-kurangnya dalam masa yang singkat sebelum kekalahan BN ini insyaAllah, beliau, mahu tidak mahu, mesti membina satu tugu sebagai kenangan yang beliau pernah menjadi MB. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh kedua-dua mantan MB BN yang lalu, yang sempat membina monumen seperti Zoo Bukit Takal, Kawasan Bebas Cukai Kenyir, Masjid Kristal dan juga Monsoon Cup. Tetapi dengan keadaan belanjawan negeri yang sentiasa defisit, ekonomi yang lembab begini, harga minyak terus jatuh, sekaligus mengurangkan pendapatan negeri, maka kelakuan YAB MB ini sangat mengecewakan rakyat yang sebenarnya sedang menanti pelan tindakan ekonomi yang mantap bagi kerajaan negeri berikan kepada rakyat bagi menghadapi masalah harga barang naik dan juga GST yang bakal mengetuk pintu rumah rakyat nanti. Itu belum lagi kita bincangkan hal-hal berkaitan kontrak, kepada siapa kan dianugerahkan nanti.
Kepada rakyat Terengganu, anda semua perlulah membuka bukan sahaja mata, tetapi juga minda anda. Tidak sekadar itu sahaja, tetapi yang lebih utama, hasil dari keterbukaan mata dan minda ini, bertindak bagi menyekat sikap membazir oleh pemimpin-pemimpin BN yang sentiasa gagal dalam menjaga amanah yang diberikan. Inilah titik perubahan yang perlu kita pusatkan kepadanya bagi mengnyahkan pemimpin yang tidak tahu menjaga kepentingan rakyat dikala rakyat kesempitan dan seterusnya membantu menaikkan pemimpin yang telah terbukti menjaga amanah dengan bersungguh-sungguh kerana takutkan Allah, sebagaimana kerajaan PAS lakukan dahulu.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
15 Jamadil Awal 1436 bersamaan 6 Mac 2015.

Sunday, March 1, 2015

Kenaikan harga minyak, beban pra-GST


Bismillah
Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar mengambil sikap celik ekonomi bagi memahami perkara sebenar yang sedang berlaku di Malaysia ketika ini, khususnya apabila pengumuman kerajaan semalam berkaitan harga minyak bagi bulan Mac 2015 telah dinaikkan sebanyak RM0.25 seliter bagi kedua-dua RON 95 dan 97. Kesan kepada kenaikan ini bukannya remeh kerana selepas ini pastinya harga barang akan naik seiring dengan kenaikan minyak ini. Lebih malang, harga barang-barang ini tidak kenal erti turun ketika turunnya harga minyak tetapi bingkas dan pantas naik apabila harga minyak naik.
Dahulu jika harga minyak naik, harga pasaran minyak dunia menjadi rujukan kerajaan bagi mewajarkan tindakan mereka. Namun semalam, ketika harga minyak dunia masih berada di bawah, kejatuhan nilai ringgit pula mengambil tempat bagi menjadi alasan kenaikan ini. Rakyat ditendang ke sana sini dan diperbodohkan, tetapi akhirnya, merekalah yang terpaksa menanggung segala akibat buruk kesan dari kenaikan ini. Kesan ini pastinya akan berganda kerana kita sekarang sudah berada di ambang GST yang mana hasil dari kajian dibeberapa negara yang memulakan GST, harga barangan menjadi semakin naik.
Rakyat yang sedia miskin, menjadi semakin miskin, apatah lagi rakyat yang tinggal di kawasan-kawasan yang baharu selesai dilanda musibah banjir. Para penoreh getah juga antara golongan yang pasti merasa keperitan ini. Mereka ini makanpun tidak cukup apatah lagi merasai dandanan rambut bernilai ribuan ringgit. Sikap kerajaan sangat menghairankan kerana disebalik kaedah pengapungan harga minyak bagi menentukan harga minyak bulanan hasil dari penarikan balik subsidi kepada rakyat, 1MD pula dilaporkan rugi berbillion-billion ringgit. Sehinggakan Ketua PAC turut kehairanan. Saban tahun pula, Jabatan Audit Negara melaporkan kerugian, salah urus harta negara, kehilangan harta kerajaan. Hasil daripada sikap tidak amanah sesetengah daripada mereka dalam menguruskan harta rakyat Malaysia.
Dapat dijangkakan nanti, para menteri akan beramai-ramai meratib ugutan-ugutan kepada kumpulan peniaga yang menaikkan harga barang mereka. Jika dilihat kepada ugutan itu, pasti penuh penjara dengan para peniaga tersebut. Juga zikir tentang betapa harga minyak kita masih berada dibawah harga beberapa negara lain di dunia. Akan tetapi malangnya, harga barang tetap naik, peniaga tetap bebas, rakyat tetap kena tindas walaupun mereka digelar mujahidin kerana membayar tol di lebuhraya-lebuhraya. Kerajaan gagal memikirkan cara mahu berjimat dan selalunya hak rakyatlah yang diambil.
Oleh itu marilah kita bersama-sama melihat fenomena ini sebagai satu penyakit yang merbahaya kepada seluruh manusia yang waras. Kita mesti menghentikannya dengan kita sama-sama bekerjasama bagi menumbangkan Umno dalam mana-mana pilihanraya dan bersama kita menjadikan PR sebagai kerajaan baru yang menjadikan kebajikan kepada rakyat sebagai teras pemerintahan mereka. Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
10 Jamadil Awal 1436 bersamaan 1 Mac 2015