HEADER

HEADER

Saturday, July 5, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 7 : Bacaan Tiga Minit


Bismillah

Sambungan ayat ke 54 surah an-Nisaa’. Yahudi sebenarnya merasa dengki dengan nabi Muhammad dan umatnya kerana nikmat iaitu kenabian dan Islam kepada mereka oleh Allah. Sedangkan nabi Ibrahim juga telah dikurniakan perkara itu. Sebahagian Yahudi itu ada yang beriman kepada nabi Ibrahim dan sebahagian lagi kufur. Mereka yang kufur ini akan dibakar dalam neraka sehingga hangus dan digantikan dengan kulit baharu supaya azab itu berterusan.

Apabila berhukum, hukumlah dengan adil dan serahkan amanah kepada ahlinya. Taatlah kita kepada Allah, rasul (dalam semua perkara) serta pemimpin kita (ketaatan ini tidak diberikan dalam perkara maksiat) dan jika ada pertikaian, kembalilah kepada al-Quran dan sunnah, menandakan kita ini orang yang beriman. Orang munafik pula, kata mereka,mereka beriman tetapi tetap mengambil taghut sebagai hakim. Jika diajak berhakim kepada al-Quran dan sunnah, orang munafik bukan sahaja berpaling malah turut menghalang orang lain daripada menghampirinya (ayat 61). Allah kenal jenis manusia begini.

Allah menyuruh orang sebegini perlu diberi nasihat. Rasul diutuskan adalah untuk ditaati. Dan tidak dikata beriman seseorang itu sehingga dia memilih rasul menjadi hakim dan tiada sedikitpun keberatan menerima hukuman dari rasul itu. Balasan kepada orang yang taat kepada Allah dan rasulnya ialah syurga.

Diperintahkan supaya mara berperang apabila diseru. Allah memberitahu ada golongan yang lega bila pasukannya kalah kerana dia tidak turut serta dan menyesal apabila pasukannya menang kerana dia tak dapat tumpang hasil . Berjuang di jalan Allah akan dapat syurga. Ada sesetengah munafik meminta untuk berperang tetapi apabila datangnya masa perang, mereka berubah fikiran kerana rasa takut mati sebab mereka merasa masih muda. Sedangkan dunia ini sementara. Di mana-manapun manusia akan mati dalam apa jua keadaan.

Kejahatan Yahudi menuduh rasulullah penyebab apabila mereka ditimpa kesusahan. Sedangkan Allah mengingatkan bahawa semua kebaikan daripada Allah dan semua keburukan itu datang dari kesalahan manusia sendiri. Manakala nabi Muhammad  diutuskan untuk membawa rahmat. Golongan munafik memberikan ketaatan palsu kepada nabi sedangkan Allah mengetahuinya. Ini kerana mereka tidak mahu memikirkan isi kandungan al-Quran.

Pada ayat ke 86 Allah mengajarkan kita agar menjawab ucapan salam dengan yang lebih baik lagi ataupun sama baik.

Orang-orang munafik suka jika orang-orang beriman turut menjadi munafik. Maka jangan dijadikan orang munafik ini teman baik, malah seharusnya mereka ini diperangi. Mereka mohon bantuan kepada kita ketika susah dan akan merancang pula dengan pihak musuh jika diajak. Puak munafik ini boleh dibunuh ketika perang. Tetapi haram kita membunuh sesama mukmin. Maka jika ketika perang, pastikan dahulu musuh kita. Mungkin mereka telah memeluk Islam, tetapi kita tetap membunuhnya untuk mendapat hartanya.

Orang berjihad dengan nyawa dan harta benda diberikan kelebihan berbanding orang yang uzur dan Allah lebihkan dengan pahala yang amat besar berbanding yang tidak berperang tanpa uzur. Orang yang tidak berhijrah bersama rasulullah untuk membela Islam ( Islam pada nama sahaja) dan membiarkan orang kafir menguasai mereka (sehingga sanggup disuruh berperang menentang Islam) akan dimasukkan ke dalam neraka kerana bumi Allah ini luas untuk mereka berhijrah. Sedangkan orang yang berhijrah benar-benar kerana Allah akan mendapat jaminan syurga.

Dinyatakan hukum solat qasar dan solat ketika perang dalam ayat 101 dan 102.

Al-Quran diturunkan bukan untuk membela orang yang khianat. Ada orang pandai menyembunyikan kejahatan mereka. Mereka menuduh pula orang lain yang lakukan kejahatan yang mereka lakukan. Tetapi Allah menyekat usaha jahat mereka. Orang yang pilih jalan yang sesat, Allah beri kuasa untuk mereka memilih melakukan kerja mereka itu di dunia ini. Tetapi di akhirat, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka jahannam. Dosa syirik, tidak diampun oleh Allah. Syirik dengan melakukan penyembahan kepada selain Allah adalah dari syaitan yang telah berjanji untuk menyesatkan anak Adam dengan cara memperindahkan perkara dosa dan mengajak manusia berangan-angan akan ke syurga dengan amalan kesesatan itu.

Sedangkan Allah menegaskan bahawa balasan yang baik, bukan hanya dengan angan-angan sahaja. Kita mesti kerjakan amalan soleh seperti yang dikehendaki agama Islam yang mengajak manusia berserah diri hanya kepada Allah dengan ikhlas serta berusaha mengerjakan kebaikan. Iaitu mengikut agama yang lurus (tetap atas dasar tauhid) dari nabi Ibrahim. (Sehingga ayat 125). Wallahua’lam

0 comments:

Post a Comment