Bismillah
Surah al-Maa’idah (hidangan)
diturunkan di Madinah dan mengandungi 120 ayat. Dinamakan al-Maa’idah kerana
peristiwa mengenainya disebutkan dalam ayat 112-115. Antara isi penting surah
ini ialah seruan Allah agar kita menyempurnakan perjanjian samada dengan Allah
atau manusia, hukum memburu dalam keadaan ihram walaupun binatang itu halal
dimakan pada asalnya. Jangan berbuat sesuka hati dengan syiar-syiar Allah,
menghormati bulan-bulan tertentu, juga mengenai kesyirikan yang dilakukan
kepada binatang ternak sebagai penyembahan.
Allah melarang hanya kerana benci kepada
sesuatu kaum itu, maka kita menceroboh (khianat), disuruh kita bertolong-tolongan dalam
perkara taqwa. Selain disebutkan jenis-jenis makanan yang diharamkan, surah ini
juga mengharamkan menenung nasib. Allah telah menyempurnakan dan meredhai agama
Islam sebagai agama terakhir, agama umat nabi Muhammad saw.
Di sini juga dinyatakan hukum
menggunakan binatang bagi tujuan berburu. Juga hukum memakan sembelihan ahli kitab, perkahwinan
dengan perempuan ahli kitab. Hukum kewajipan berwudhu’, berjunub dan
bertayammum serta tatacaranya dinyatakan dalam ayat ke 6.
Orang Islam mesti bersikap adil
kepada sesiapa jua, hatta kepada musuh kerana adil itu lebih dekat dengan
taqwa. Allah menerangkan perihal Bani Israel yang memungkiri janji-janji mereka
dengan Allah setelah diutuskan 12 pemimpin untuk memimpin golongan
masing-masing. Kemudian dijadikan hati mereka keras seperti batu dan mereka dilaknat.
Menyeleweng dari maksud sebenar kitab walaupun mereka tahu Allah maha
mengetahui. Sama juga dengan Nasrani, sehingga Allah menanamkan sifat
permusuhan dan kebencian antara mereka sehingga hari akhirat.
Al-Quran diturunkan untuk menjadi petunjuk jalan-jalan
keselamatan dan kesejahteraan. Maka kafirlah orang yang berkata Allah itu ialah
al-Masih ibni Maryam. Sedangkan Allah boleh sahaja menghapuskan semua yang ada
di dunia ini termasuklah Isa dan ibunya jika Dia mahu. Yahudi dan Nasrani
mendakwa mereka adalah anak-anak kesayangan Allah, akan tetapi mereka ditanya
kembali jika begitu, kenapakah mereka diseksa dengan sebab dosa mereka? Sedangkan mereka
tidak lain hanyalah hamaba Allah yang sama seperti yang lain dan akan dihukum
berdasarkan perbuatan mereka di dunia.
Diutuskan nabi Muhammad kepada
manusia diantara masa terputus rasul (selepas Isa) adalah untuk mematahkan
hujah ahli kitab dengan berkata tiada datang seorang rasul yang membawa berita
gembira dan amaran kepada kami. Nabi Musa pernah mengingatkan Bani Isarel akan
nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan mengajak untuk masuk ke
tanah suci Palestin atas perintah Allah setelah selamat dari Fira’un. Tetapi
dijawab mereka supaya nabi Musa pergi berperang menentang kaum dalam kota
Palestin itu dengan Allah, sambil mereka menunggu sehingga menang, barulah mereka
akan masuk ke Palestin kerana mereka takut berperang dengan askar yang mereka
dakwa gagah perkasa yang ada di dalam kota Palestin. Oleh itu, Allah telah
mengharamkan golongan yang menolak untuk berperang itu dari memasuki Palesti
selama 40 tahun, sesat di padang pasir, sambil nabi Musa memohon untuk
dipisahkan dari kaumnya bersama nabi Harun.
Disebutkan juga kisah Habil dan
Qabil dua orang anak nabi Adam yang mempersembahkan korban mereka sehingga
Habil dibunuh oleh Qabil kerana nafsu jahat menguasainya dan bagaimana Allah mengutuskan burung gagak bagi mengajar Qabil menanam mayat adiknya.
Dijelaskan hukum hudud bagi yang
merompak dalam ayat 33 dan hukum mencuri ayat ke 38.
Allah tidak mahu rasulullah
berdukacita dengan orang munafik serta ahli kitab yang sentiasa suka berbohong,
mendengar cerita bohong dan menyebarkan pembohongan terutama dari kalangan
pendita-pendita mereka, sedangkan mereka tidak pernah menemui rasulullah untuk
mendengarnya sendiri. Mereka juga suka melakukan rasuah, sehinggakan sanggup
menjual ayat-ayat Allah dan memilih-milih hukuman yang Allah turunkan. Allah
tegaskan, itulah orang-orang yang zalim.
Diutuskan nabi Isa beserta Injil
adalah sebagai kesinambungan dari kebenaran Taurat yang mana Allah menyuruh
manusia berhukum mengikut apa yang dibawa oleh rasul melalui kitab-kitab ini.
Kemudian diturunkan al-Quran juga sebagai pengesahan kepada kitab-kitab dahulu
daripadanya. Allah mampu dan berkuasa untuk menyatukan seluruh manusia dalam
satu agama tetapi Allah ingin menguji sekelian manusia. Hukum hakam di dalam
kitab-kitab itutelah ditetapkan Allah, maka adakah patut manusia mencari hukum
jahiliyyah, padahal jika manusia itu yakin, tiada siapa yang boleh membuat
hukuman seperti yang Allah telah putuskan. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment