Bismillah
Masih dalam
surah al-Anfaal pada permulaan juzuk ke 10. Allah memberitahu cara pembahagian
harta rampasan perang iaitu padanya ada bahagian Allah dan rasul, ahlul bait,
anak-anak yatim, orang miskin serta ibnus sabil. Diingatkan lagi oleh Allah
bahawa pertemuan yang tidak dijangka antara tentera musyrikin dengan tentera
Islam itu sebenarnya untuk membinasakan kaum musyrikin dan menghidupkan
golongan Muslim bagi membuktikan kebenaranNya.
Apabila bertemu
musuh, kita orang Islam mesti teguh pendirian bagi menentang mereka. Mesti ikut
perintah Allah dan rasul dengan sebenar-benarnya supaya menjadi kuat kerana
orang yang derhaka kepada Allah dan rasulnya akan menjadi lemah. Sepertimana
yang terjadi kepada Abu Jahal yang berlagak sombong supaya orang memujinya,
tetapi akhirnya hancur di musnahkan oleh tentera Islam yang tawadhuk. Dan
bersabarlah dalam peperangan itu kerana Allah bersama orang yang sabar.
Dalam perang
Badar, syaitan datang menyamar menjadi manusia dan menghasut tentera musyrikin
dengan mengatakan bahawa mereka adalah kuat dan berada di pihak yang benar.
Tetapi kemudiannya dia lari dan berlepas diri dari tentera itu setelah dia
melihat azab Allah datang. Dalam perang ini juga didedahkan sikap sebenar puak
munafik. Diceritakan malaikat mengambil nyawa tentera kafir dalam keadaan azab
yang tidak tergambarkan. Sama seperti Fira’un keadaan mereka kerana kufur
dengan ayat-ayat Allah. Sejahat-jahat manusia di atas muka bumi ini ialah orang
kafir yang tidak mahu beriman. Mereka suka melanggar perjanjian, maka jika
bertemu di medan perang, bunuhlah mereka agar orang kafir lain yang melihat,
merasa gerun dan insaf.
Wajib kita
memperlengkapkan kekuatan tentera kita dengan sebaik-baiknya bagi menentang
musuh. Segala perbelanjaan yang kita hulurkan untuk kekuatan tentera ini,
pastinya tidak akan sia-sia di sisi Allah. Tetapi jika musuh cenderung kepada
perdamaian, maka kita patut menerimanya dan Allah mengetahui keadaan sebenar
jika mereka cuba menipu serta Allah akan melindungi kita. Allah memberitahu, jika
manusia membelanjakan segala harta di dunia ini, nescaya tidaklah dapat manusia
menyatukan hati-hati mereka kerana hanya Allah sahajalah yang dapat menyatukan
hati-hati manusia.
Allah berikan
motivasi untuk berperang dengan janjiNya bahawa jika ada 100 orang beriman yang
sabar nescaya dapat mengalahkan 200 orang musuh yang kafir, jika ada 1000 orang
yang sabar pula, akan dapat menewaskan 2000 orang kafir. Dalam ayat ke 67,
Allah menegur rasulullah kerana tidak membunuh tawanan perang Badar kerana dengan
pembunuhan itu, ia akan menggerunkan musuh-musuh Islam. Rasulullah diriwayatkan
menangis kerana teguran ini kerana tidak mengambil cadangan Saidina Umar telah
mencadangkan untuk dibunuh kesemua tawanan itu.
Allah memuji
golongan yang berhijrah kerana Allah. Mereka telah mengorbankan segala
kesenangan, meninggalkan harta mereka di Mekah, menghadapi ugutan bunuh dari
musyrikin Mekah. Begitu juga pujian Allah kepada kaum Ansar yang membantu kaum
muhajirin dalam menyediakan kemudahan tempat tinggal, makan, minum, kewangan
serta ada juga yang sanggup menceraikan isterinya untuk dinikahkan dengan kaum
muhajirin yang telah dipersaudarakan oleh rasulullah. Mereka menjadi seperti
saudara yang menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain. Manakala
orang Islam yang masih belum berhijrah, tiadalah tanggungjawab ke atas
rasulullah bagi membela mereka sehingga mereka berhijrah. Tetapi jika mereka
meminta pertolongan wajiblah ditolong kecuali jika bertembung dengan kaum yang
ada perjanjian setia dengan rasulullah.
Bagi golongan
yang berhijrah awal serta berjihad di jalan Allah dan orang-orang Ansar, sekali
lagi Allah menyebutnya dan kali ini dijanjikan keimanan yang sebnar-benarnya
serta mendapat keampunan dan limpah kurnia. Tetapi walaupun mereka seperti
saudara, mereka masih terikat dengan hukum Allah terutama berkaitan pewarisan
kerana mereka bersaudara atas dasar bantu-membantu bukan secara keturunan.
Saudara secara keturunan adalah berhak terhadap pewarisan harta benda mereka
menurut hukum dari Allah. Tamat surah al-Anfaal. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment