HEADER

HEADER

Tuesday, September 23, 2014

Sidang DUN : Wakil PAS harap OKU miliki rumah sendiri


(Ustaz Mohd Nor ketika mengemukakan soalan dalam sidang Dun Terengganu)
 
Wakil PAS hari ini YB Ustaz Mohd Nor Hamzah mengemukakan soalan serta cadangan kepada Dewan Undang Negeri (DUN) Terengganu hari ini berkaitan isu perkampungan dan perumahan bagi orang kurang upaya (OKU) di Pulau Kerengga, Marang.
Beliau selaku wakil Bukit Payong berkata, perkampungan tersebut telah diwujudkan kerajaan sejak lama dahulu iaitu sekitar awal tahun 80-an lagi, tetapi masih belum diketahui secara jelas status rumah dan tanah tersebut.
Malah, tambah beliau lagi telah ada penghuni perkampungan tersebut yang telahpun meninggal dunia dan isu itu menjadi semakin kusut kepada waris mereka itu kerana status tanah yang tidak menjadi hak milik si mati ketika hidup.
“Saya dapat maklumat mereka tinggal di sini dalam sekitar 80-an.
Mereka dapat tanah dan rumah. Tetapi sehingga hari ini, keluarga OKU ini, tidak mendapat hak milik tanah dan rumah sehingga hari ini.
Dalam tempoh yang sebegitu lama, mereka belum lagi mendapat hak milik tanah dan rumah sehingga hari ini, sehingga ada yang memiliki cucu dah.
Apakah pihak kerajaan bersedia dalam masa yang terdekat diatas asas transformasi untuk menyerahkan hak milik tanah dan rumah kepada mereka?
Kerana ada dikalangan mereka yang sudah meninggal dunia, tua dengan harapan anak-anak mereka dapat hidup tenang insyaallah,” tanya beliau.
Menjawab soalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,  Keluarga dan Masyarakat, Muhammad Pehimi Yusof berkata, kerajaan telahpun  memberikan bantuan bulanan kepada OKU yang tinggal di kawasan tersebut.
Berkenaan dengan isu pemilikan tanah dan rumah tersebut, Pehimi menyatakan masalah utama ialah rumah itu terlalu lama, uzur dan mempunyai satu bilik sahaja, tidak sesuai untuk didiami.
Oleh itu kerajaan menurut beliau lagi kerajaan merancang di atas tapak yang sama untuk membina rumah baru melalui beberapa fasa iaitu melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) baru.
Kerajaan juga katanya akan memikirkan berkaitan perancangan memberi milik kepada mereka yang layak termasuk yang tidak mempunyai tanah.
Sementara itu Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika diminta mengulas jawapan dari Exco itu berkata, beliau akan memantau perkembangan apa yang dikatakan sebagai membina semula penempatan baru di perkampungan OKU itu.
Beliau juga berharap agar perancangan itu bukan sekadar perancangan sahaja dan mencadangkan agar kerajaan member hak pemilikan rumah PPRT bagi OKU tersebut walaupun mereka tidak memiliki tanah sendiri.
Untuk rekod, sebanyak 54 keluarga yang berjumlah seramai 74 orang OKU kesemuanya, tinggal di Perkampungan Rahmat, Pulau Kerengga, Marang itu semenjak tahun 1981.

0 comments:

Post a Comment