Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Thursday, October 30, 2014

Adun ziarah mangsa kebakaran


Beginilah keadaan rumah Masitah dimakan api yang marak kerana dibakar anak sendiri
 
Titian Baru : Kebiasaannya kita mendengar kejadian rumah terbakar berpunca dari bencana seperti dipanah petir, litar pintas atau terlupa mematikan api di dapur, tetapi kali ini lain pulak ceritanya.
Sebuah rumah telah dibakar anak kandungnya sendiri, dan itulah nasib yang menimpa Masitah Muda 58 tahun yang bukan sahaja telah kehilangan rumahnya malah turut  mengalami kerugian yang dianggarkan lebih RM100 ribu.
Kejadian pada hampir tengah malam itu, kira-kira jam 11.10 malam bermula setelah suspek, iaitu anak mangsa sendiri yang berumur 34 tahun sorang penagih dadah tegar cuba mengugut ibunya, Masitah bagi memberikannya wang.
Masitah yang sudah maklum wang itu akan digunakan anaknya untuk membeli dadah dan dia enggan memberikannya.
Kerana ketegasannya menghalang anaknya dari terus membeli dadah, mengakibatkan suspek naik berang cuba membunuh mangsa dalam masa yang sama merosakan harta benda didalam rumah tersebut.
Masitah kemudiannya menghubungi pihak polis dan suspek terus mengamuk mengugut pula untuk membakar rumah menyebabkan Masitah meminta bantuan adiknya yang tinggal bersebelahan kerana ketakutan.
Ketika beliau dan adiknya menunggu pihak polis datang di jalan utama kira-kira 300 meter dari rumahnya, beliau menerima berita yang rumahnya telah terbakar dan bergegas ke tempat kejadian.
Saksi kejadian Subki Ali 47 tahun jiran mangsa, menceritakan pada masa kejadian kira jam 12 tengah malam, dia berada di dalam rumahnya ,dan terdengar bunyi letupan kecil yang disangka kanak-kanak bermain mercun.
Bagi mendapat kepastian saksi cuba memeriksa diluar dan terkejut melihat api menjunam dan marak telah memenuhi seluruh rumah jiranya itu.
Tambahnya lagi pada masa itu beberapa orang penduduk kampung sekitar 30 orang telah cuba sedaya upaya untuk memadamkan api tetapi sudah terlambat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika menziarahi mangsa berkata buat masa ini beliau berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk membantu mangsa.
“Saya harap kerajaan akan segera mengambil tindakan-tindakan bagi membantu mangsa.
Dan dalam masa yang sama pihak kami juga dari Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakan di bawah Majlis Tindakan Dun (MTD) akan cuba membantu sedaya mampu yang boleh untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa,” kata beliau.
Dalam lawatannya ke rumah mangsa beliau telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran tersebut yang kini menumpang di rumah adiknya.

Friday, October 24, 2014

ARC Terengganu menang peserta teramai

Alternative Riding Club (ARC) Terengganu baru-baru ini telah mengadakan satu konvoi  ke Pantai Balok, Kuantan bagi menyertai Perhimpunan ARC Peringkat Pusat anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia.
 
Perhimpunan yang diadakan untuk kali keempat itu, telah berjaya mengumpulkan seramai  560 orang penunggang dari seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia.
 
ARC adalah salah satu cabang dari Lajnah Department of Arts, Culture and Sports (DACS) di bawah kelolaan Dewan Pemuda PAS Malaysia.
 
Kontijen ARC Terengganu seramai 200 orang yang diketuai oleh saudara Rahim Razali itu, telah berjaya menggondol anugerah penyertaan  paling ramai bagi kali keempat berturut-turut semenjak pertama kali ianya diadakan pada tahun 2010, di Pantai Merang.
 
Program yang berlangsung selama dua hari itu, telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Menurut Ketua ARC Terengganu, saudara Wan Ahmad Ridhuan Wan Husain, program ini bertujuan bagi merapatkan ukhuwah antara ahli-ahli ARC negeri-negeri.
 
“Kami amat gembira dengan anugerah peserta teramai ini bagi kali keempat berturut-turut, tahniah kepada semua peserta ARC Terengganu.
 
Pada bulan Disember nanti, ARC Terengganu akan mengadakan pula himpunan ARC peringkat negeri pula.
 
Kita akan mengadakan program ini di Besut,” kata beliau.
 
Ditanya berkenaan pengisian program di Pantai Balok baru-baru ini, beliau menjawab, kebanyakkan program yang disediakan ialah berbentuk keagamaan dan aktiviti sukan bermotor.
 
Sebelum itu, majlis pelepasan perserta konvoi ke program himpunan itu telah disempurnakan oleh Adun Alor Limbat Arifin Deraman di Pengadang Baru.

Perutusan Maal Hijrah : Hijrah Menuntut Istiqamah

Bismillah

Menelusuri perjalanan hijrah rasulullah dan para sahabat baginda r.a, kita terpaksa mengakui kegetiran yang dihadapi mereka tiadalah bandingannya dengan apa yang kita lalui sekarang sebagai pengorbanan di jalan Allah. Ujian yang ditempuhi mereka, bukan sahaja melibatkan kekuatan fizikal, malah turut terpaksa mengorbankan harta benda, meninggalkan tanah air tercinta dan juga saudara mara. Apakah yang mereka dapat dari penghijrahan ini? Jika dilihat dari kacamata dunia, perkara ini adalah sia-sia. Menyusahkan diri dengan meninggalkan keempukan tempat berehat, harta yang bertimbun, wanita-wanita yang cantik, yang kemudiannya  ditukar dengan kemiskinan, penderitaan dan keperitan.
Namun begitu, jika dilihat dari kacamata Islam, dari kehendak Allah dan rasul serta sasaran akhirat, maka ianya adalah satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Ibarat menanam modal dengan segala harta benda, dan modal itu dijamin untung berlipat kali ganda oleh Allah, apakah lagi yang perlu kita cari setelah dijamin keuntungan oleh Allah? Sebagaimana keyakinan Shuhaib al-Rumi, yang tertinggal dan sanggup mengejar gerombolan sahabat-sahabatnya yang berhijrahke Madinah, dia begitu yakin dan tegas untuk membunuh sesiapa sahaja yang ingin menghalang perjalanan hijrahnya, semata-mata yakin dan percaya bahawa pengorbanannya di jalan Allah tidak akan sia-sia. Maka beruntunglah perniagaan Shuhaib, kata rasulullah, kerana dagangannya telah dibeli Allah.
Para sahabat ini adalah generasi yang terbaik yang pernah wujud di dunia ini. Allah telah merakamkan keadaan mereka sebelum dan selepas memilih untuk berhijrah dari kejahilan kepada keredhaan. Mereka disifatkan Allah berada di tepi jurang neraka disebabkan kejahilan mereka sebelum kedatangan Islam dan mereka juga dipuji Allah sebagai ummat terbaik kerana memilih Islam dan bukan sahaja melaksanakan, malah mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhi serta melarang manusia dari kejahatan. Lihatlah kualiti hijrah mereka, yang memenuhi kehendak dunia dan akhirat. Mereka lahir hasil dari saringan ujian yang sangat getir dari Allah atas jalan Islam yang menuntut segala-galanya untuk dikorbankan hatta nyawa sekalipun, namun mereka tetap dan terus beristiqamah di atas jalan Allah.
Tetapi ada orang Islam dizaman mutakhir ini, memandang sepi kisah pengorbanan hijrah ini, seumpama melihat kosong ke dalam air layaknya, tiada tersentuh perasaan mereka langsung. Apa yang bermain di minda mereka ialah ianya kisah sejarah yang lalu, tiada kaitannya dengan kisah sekarang. Lebih malang, apa itu hijrah pun tiada mereka ketahui. Sekarang apa yang perlu ditumpukan ialah kenaikan kos harga barang yang sedang rancak naik hasil dari kenaikan harga minyak. Walaupun dikatakan GST akan dilaksanakan tahun depan, tapi minyak sudahpun memungut GST nya sendiri dengan kenaikan ini, kenaikan melebihi 6 peratus berbanding perolehan sepatutnya dari GST ini. Tidak dapat disalahkan juga masyarakat apabila mereka semakin jauh dari agama ataupun tidak mengambil peduli untuk mengubati jiwa mereka yang tenat dengan wahyu Allah kerana pemerintah mengajar bahawa, yang penting dalam hidup ini ialah duit, duit dan duit. Dengan duit akan ada nama, dengan duit akan ada kuasa, dengan duit akan ada pengaruh. Dengan duit manusia boleh berbuat apa sahaja. Inilah yang ditanam pemerintah dalam pemikiran rakyat.
Pemikiran sebegini jelas mengheret kepada merendahkan akal manusia ke tahap yang sangat hina kerana perumpamaan haiwan ternakan adalah lebih layak disamakan kepada manusia yang hanya tahu makan, minum, tidur,  berseronok dan keselesaan, tanpa mereka berusaha untuk menghidupkan jiwa bagi menjadikan mereka hamba kepada Allah dan bukannya hamba dunia. Tetapi inilah malang yang kita hadapi kerana pemimpin kita sebenarnya tidak berjaya ataupun tidak mahu membawa masyarakat keseluruhannya kembali ke jalan Allah. Jika manusia sedar dan insaf, maka mereka akan kehilangan kuasa, wang, pangkat dan segala-galanya yang menyeronokkan nafsu mereka. Bukti pemerintah tidak mahu rakyat celik agama Allah, lihat sahaja kepada peruntukan bagi membangun nilai insan menerusi wahyu Allah iaitu sekolah agama dalam Bajet 2015 baru-baru ini, hanya RM25 juta sahaja berbanding RM50 juta bagi sekolah mubaligh kristian dan Permata RM700 juta lebih. Apa yang mampu diterjemahkan ke jalan Allah dan untuk membentuk generasi yang patuh kepada Allah dengan jumlah RM25 juta ini? Jelas pemerintah acuh tak acuh dengan sistem pendidikan Islam.
Jika ini dibiarkan dari tahun ke tahun, maka kita akan menghasilkan lebih banyak lagi manusia-manusia yang semakin jauh dari Allah. Lihat sahajalah kepada permasalahan liberalisme yang sedang merebak dalam negara kita sekarang. Masalah yang suatu ketika dahulu dianggap remeh, sekarang sudah menjadi wabak yang jika tidak berjaya ditangani sekarang, maka tidak mustahil ianya akan memusnahkan Islam di Malaysia. Dengan idea-idea islamisasi yang baru seperti Islam tanpa syariat, kesamarataan jantina, kebebasan bersuara atas apa-apa tajuk, termasuklah agama dan berbagai lagi kegilaan yang lahir dari pemikiran liberal yang merosakkan ini, pemikiran rakyat perlahan-lahan berjaya diselewengkan. Ditambah lagi dengan tafsiran-tafsiran songsang yang terkadang datang dari mereka yang dipanggil “ulamak”, sudah tentu remaja yang kosong dari agama, adalah mangsa termudah dan terbanyak kepada pemikiran liberal ini. Jangan nanti ada diantara kita beriparkan kristian atau bermenantukan hindu semata-mata mengikut langkah liberal ini. Moga Allah menjauhkan hal ini.
Oleh itu sedarlah wahai umat, bangkitlah dari lenamu yang panjang, dari hanya memikirkan kehidupan dunia yang tidak kekal kerana dibodohkan pemerintah yang tidak pernah kontang idea dan tenaga bagi mengekalkan kuasa mereka, walaupun umat terpaksa menjadi bahan korban kerakusan nafsu mereka, kepada menyerahkan diri hanya kepada Allah. Ayuhlah kita berhijrah dari seorang yang sentiasa menjadi hamba kepada material dan dunia kepada hamba yang benar-benar taat kepada Allah, kerana dengan menjadi hamba kepada Allah maka kita akan menjadi manusia yang merdeka, sebagaimana sahabat-sahabat yang berhijrah memerdekakan minda mereka dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan total hanya kepada Allah. Kita tentunya tidak akan dapat menyamai pengorbanan para sahabat tetapi percayalah Allah menyukai golongan yang sentiasa berusaha mengubah nasib mereka dengan mengikut jalan Allah. Hijrah  ini ialah ujian bagi membuang nafsu kita dari menjadi hamba yang menuruti pemimpin yang rakus dan memperbodohkan rakyat kepada hamba yang menurut suruhan Allah. Dan apabila kita sudah berjaya berhijrah, maka teruslah beristiqamah. Wallahua’lam

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
29 Zulhijjah 1435 bersamaan 24 Oktober 2014

Thursday, October 9, 2014

Perbicaraan saman Presiden PAS ditangguh, saksi plaintif tak hadir


Perbicaraan kes saman bekas calon PKR di Bukit Besi pada PRU 13, Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ditangguhkan kepada tarikh 28 Oktober ini.
Penangguhan itu diputuskan oleh hakim yang mengendalikan kes saman ini iaitu Yang Arif Dato’ Mohd. Yazid Mustafa di dalam kamarnya setelah beliau memanggil peguam kedua-dua belah pihak yang terlibat dalam kes ini.
Saksi bagi pihak palintif iaitu wartawan dari akhbar Kosmo dimaklumkan tidak hadir bagi perbicaraan hari ini dan pihak kami gagal mendapatkan alasan ketidakhadiran beliau ke mahkamah.
Menurut peguambela Presiden PAS Haji Asmuni Awi (kiri), sepatutnya pihak plaintif mengemukakan tiga orang lagi saksi bagi perbicaraan hari ini iaitu dari akhbar Kosmo dan Sinar Harian serta seorang lagi saksi bebas.
Namun beliau mengemukakan bantahan terhadap saksi dan keratan akhbar dari akhbar Sinar Harian oleh pihak plaintif yang mana menurut beliau, ianya tidak dinyatakan dalam notis tuntutan bagi kes ini.
“Sepatutnya mereka (plaintif) memanggil seramai tiga orang lagi saksi iaitu dua daripada surat khabar, iaitu surat khabar Sinar Harian dan juga Kosmo dan seorang lagi daripada saksi bebas.
Saya telah buat bantahan terhadap cadangan pihak plaintif untuk memanggil saksi dari pihak Sinar Harian dan juga cadangan mereka untuk mengemukakan keratan akhbar Sinar Harian sebagai bukti keterangan.
Atas alasan bahawa akhbar Sinar Harian itu tidak di‘plead’kan (dinyatakan) mana-mana dalam pleading (notis tuntutan) pihak plaintif.
Dan kata-kata yang dikatakan fitnah yang dilaporkan oleh surat khabar Sinar Harian mengenai plaintif itu juga tidak dinyatakan di mana-mana pleading yang difailkan oleh pihak plaintif,” jelas beliau.
Hakim menurut beliau, telah menerima bantahan tersebut dan pada perbicaraan 28 Oktober nanti, mereka tidak boleh memanggil akhbar Sinar Harian mahupun mengemukakan keratan daripada akhbar tersebut sebagai bukti.
Beliau menerangkan lagi, jika pada 28 Oktober ini plaintif masih gagal mengemukakan saksi, maka kes ini boleh digugurkan oleh hakim.
Perbicaraan hari ini menyaksikan ruang pemerhati dipenuhi dengan pimpinan dan ahli PAS yang hadir bagi memberikan sokongan kepada Presiden PAS.
Antara yang hadir pada hari ini ialah Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu (BPPNT), YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, Timbalan 2 Haji Yahaya Ali, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan timbalannya YB Ustaz Hishamudin Abdul Karim.
Turut hadir ialah anak Presiden PAS yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ustaz Khalil Abdul Hadi, Setiausaha Politik Presiden PAS Dr Ahmad Samsuri Mokhtar , Ustaz Azman Shapawi serta beberapa Ajk lajnah BPPNT.

Wednesday, October 8, 2014

Bicara kes saman Presiden PAS, peguambela puashati


Peguam Presiden PAS, Haji Asmuni Awi berpuashati dengan perjalanan perbicaraan writ dalam kes saman berkaitan fitnah pil kuda yang melibatkan seorang bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Presiden PAS pada pilihanraya umum ke-13 lalu.
Beliau yang ditemui selepas penangguhan perbicaraan itu menjelaskan, pihak plaintif telahpun mengemukakan tiga orang saksi bagi perbicaraan pada sebelah pagi.
“Alhamdulillah pada pagi tadi perbicaraan kes saman telahpun berjalan.
Dan setakat ini pihak plaintif telah memanggil tiga orang saksi.
Dan setakat ini, kita berpuashatilah dengan perjalanan dan keterangan yang diberikan pihak plaintif,” kata beliau.
Perbicaraan ini turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, Timbalannya Dr Alias Razak, Bendaharinya Shukrimun Shamsudin.
Turut kelihatan ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Ustaz Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada Presiden PAS, Adun Tepoh, YB Ustaz Hishamudin Abdul Karim serta para penyokong PAS yang hadir bagi memberikan sokongan.
Kes saman bekas calon PKR Mohd Shamsul Mat Amin terhadap Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bermula apabila Shamsul yang diarahkan PKR agar tidak bertanding dalam PRU 13 lalu, tidak berpuashati dengan isi ceramah oleh Presiden PAS.
Ceramah oleh Presiden PAS yang berlangsung di Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang ketika kempen PRU itu, menurut beliau telah memfitnah beliau sebagai pengedar pil kuda.
Oleh kerana yakin gelaran itu ditujukan kepada beliau dan merasakan maruahnya telah tercalar kerana gelaran itu, maka beliau memfailkan saman ini di mahkamah.
Shamsul diwakili oleh Tetuan Vasudevan A & Co.
Perbicaraan akan bersambung semula pagi esok.

Saturday, October 4, 2014

Alasan bodoh kenaikan minyak, menteri sila letak jawatan


Kerajaan Malaysia sekarang ialah kerajaan yang tidak berpijak di bumi yang nyata, dengan memberikan alasan yang dianggap tidak cerdik apabila harga minyak dinaikkan bagi mengula-gulakan rakyat.
Kenyataan-kenyataan itu tidak mencerminkan kehendak majoriti rakyat yang mana sekaligus menggambarkan menteri-menteri ini gagal memahami kesusahan rakyat ketika rakyat bergelut dengan kesusuhan.
Begitulah antara komen dari Naib Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ketika ditemui sebaik selesai program ceramah Penerangan Isu-Isu Semasa di Pasti al-Iman di Pekan Bukit Payong semalam.
Beliau dengan tegas kemudiannya menyeru kepada para menteri tersebut agar meletak jawatan kerana kegagalan mereka menjaga kepentingan rakyat terbanyak.
“Berhentilah menteri, letak jawatanlah sebagai menteri, sebab kenyataan ini kenyataan yang tidak mencerminkan realiti rakyat.
Kalau menteri duduk di atas dan mereka naik dengan rakyat, kemudian dia buat kenyataan yang membelakangkan rakyat, saya cadangkan dia letak jawatanlah.
Dia tak layak jadi menteri, buat kenyataan bodoh macam ni, hingga menimbulkan rakyat rasa kecewa yang mana menteri sepatut (jadi) pelindung dia, sekarang menteri jadi bebanan kepada rakyat,” tegas beliau dalam sinis.
Beliau kemudiannya menasihatkan kepada penduduk luar bandar supaya membuka minda mereka dengan lebih luas lagi agar tidak mudah ditipu oleh kerajaan.
Alasan harga minyak di pasaran duninaik, tidak boleh dijadikan alasan bagi kenaikan ini kerana harga minyak dunia sedang jatuh.
Begitu juga dengan alasan pengurangan subsidi kepada rakyat, sebaliknya kenapa Independent Power Producer (IPP) iaitu syarikat penjana kuasa elektrik masih menikmati subsidi dari kerajaan yang berjumlah berbillion setahun.
Oleh itu kata beliau, secara mudahnya, syarikat-syarikat ini menjana keuntungan hasil dari pemotongan subsidi keatas rakyat.
Tambah beliau lagi, keperitan ini baru permulaan kepada keperitan yang lain kerana sebelum GST dikenakan tahun hadapan, pada hari ini, kita sudah diberikan kenaikan harga barang hasil dari kenaikan harga minyak ini.
Selain daripada harga barang akan naik, kenaikan ini akan turut sama melonjakkan kadar inflasi dan tidak terkecuali kadar masalah sosial dan jenayah akan meningkat, sekali lagi ini akan turut meresahkan rakyat.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu kemudiannya menasihatkan kepada semua ahli PAS untuk berhenti dari berperang sesama sendiri yang mana beliau anggap sebagai membawa agenda musuh dalam jemaah.
Ahli-ahli sepatutnya mengambil peluang kenaikan harga minyak ini sebagai titik bagi menyerang Umno dan Barisan Nasional dan bekerja bagi memperkemaskan parti bagi memperjuangkan nasib rakyat.

Wednesday, October 1, 2014

PAS ingin menyelamatkan manusia:


 
PAS ialah sebuah badan dakwah, tarbiyyah dan juga politik, sebenarnya menumpukan kepada tugas-tugas menyelamatkan manusia melalui agama secara amnya disebalik berperanan sebagai parti politik.
Peranan besar PAS sebagai ejen dakwah itu telah bermula sejak dahulu lagi, sebagai menyambung langkah ulamak-ulamak terdahulu dalam perjalanan dakwah mereka yang panjang dan penuh liku-liku.
Begitulah antara petikan ucapan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Jabi, Dr. Azman Ibrahim sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Ilmu bersama muslimat Cawangan Tempinis di Kampung Gong Ubi Keling.
Sambil beliau mengimbau sejarah Surau Tok Seh, tempat berlangsungnya program itu, yang menurut beliau, ianya telah diasaskan oleh cucu kepada pejuang tersohor Terengganu Haji Abdul Rahman Limbung.
“Ulamak-ulamak dahulu jika tinggal di mana-mana, mereka sudah pasti akan mendirikan surau atau masjid sebagai pusat ilmu kerana mereka tahu akan kepentingan ilmu bagi mendidik masyarakat.
Cucu kepada almarhum Haji Abdul Rahman Limbung datang ke sini dan mendirikan surau ini, serta telaganya juga masih yang asal,” ujar beliau mengimbas kembali sejarah surau tersebut.
Manakala undi pula, menurut beliau adalah perkara yang juga penting tetapi kepentingan kepada membina agama di dalam diri rakyat lebih diutamakan agar menjadi pelindung daripada kepedihan api neraka.
Berbeza dengan Umno yang sentiasa mementingkan undi dan hal dunia sahaja sehinggakan ada yang sanggup memberikan benda-benda yang tidak sepatutnya kepada remaja-remaja semata-mata kerana mahukan undi.
“Nak buat macamana, sistem undi kita ni kira satu rakyat, satu undi.
Undi tok lebai sama dengan undi hok jalan senget (golongan bermasalah).
Umno ni tak kira, asalkan boleh undi saja, mereka tak peduli yang lain,” kata beliau.
Dr Azman juga turut memberi contoh berkenaan harga getah yang merudum yang menyebabkan keperitan hidup yang melampau kepada penoreh-penoreh getah lebih-lebih lagi kepada mereka yang menyewa getah orang lain.
Menurut beliau lagi, seorang ahli Umno yang bernasib malang itu yang ditemui beliau, masih kukuh menyokong Umno walaupun tiada pimpinan Umno yang menziarahinya apatah lagi membantunya sedangkan ada pimpinan Umno yang hidup mewah bertukar-tukar kereta.
Justeru Dr Azman menasihatkan agar muslimat peka kepada isu-isu semasa supaya mereka tidak mudah ditipu oleh golongan yang berniat serong terhadap mereka.
Majlis ilmu yang diadakan baru-baru ini, turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah sebagai penceramah jemputan.
Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada muslimat terutama di luar bandar agar peka kepada isu politik supaya mereka faham bahawa, amanah yang mereka berikan melalui undi itulah yang mencorak kehidupan mereka.
Beliau yang juga wakil rakyat Dun Bukit Payong seterusnya memberi penerangan berkenaan hal yang berlaku dan dibincangkan di dalam Dewan Undangan Negeri yang baru sahaja tamat persidangannya minggu lalu.