Bismillah
Dalam ayat ke 63
surah al-An’aam, Allah bertanya kepada manusia, siapakah yang telah
menyelamatkan manusia dari semua bencana darat dan laut, ketika manusia berdoa
secara terang dan tersembunyi. Sedang mereka tahu Allah yang menyelamatkan
mereka, mereka tetap mempersekutukan Allah. Allah juga menghantar bala yang
menyebabkan manusia berperang sesama sendiri. Kenyataan ini adalah bentuk
pengajaran dari Allah supaya manusia berfikir. Masa akan menyerlahkan
kebenaran. Maka dengan itu Allah melarang kita duduk dengan golongan yang
mempersendakan ayat-ayat Allah kecuali terlupa. Jauhkan juga diri kita dari
golongan yang memperdagangkan agama, jika mamapu ingatkanlah mereka tentang
azab Allah dimana minuman mereka ialah air panas yang menggelegak.
Tidak patut
seorang manusia menyembah sesuatu yang tidak boleh mendatangkan mudharat dan
manafaat. Dan tidak patut mengundur kembali ke zaman jahiliyyah setelah
mendapat hidayah seperti orang yang disesatkan syaitan sedang Allahlah yang
memberi petunjuk. Maka sebagai tanda kehambaan, dirikanlah sembahyang dan
bertaqwalah kepada Allah yang menciptakan segalanya.
Nabi Ibrahim
dijadikan Allah dapat melihat (berfikir dengan mendalam kejadian-kejadian)
kebesaran langit dan bumi, lalu menjadilah dia seorang yang benar-benar yakin
dan mentauhidkan Allah. Lalu dia ditentang kaumnya yang mensyririkkan Allah,
tetapi dengan beraninya dia menjawab dia tidak takut dengan ancaman manusia
jika sekiranya Allah tidak menginginkan sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya.
Lebih dari itu, dia meminta kaumnya mengemukakan bukti kebenaran tuhan yang
mereka sembah itu jika mereka dari kalangan orang benar. Orang beriman di sisi
Allah tidak akan sekali-kali mencampurkan keimanan mereka dengan syirik dan
Allah kurniakan hujah bagi Ibrahim menentang kaumnya.
Dari Ibrahim
lahir keturunannya para rasul yang banyak sekali dan dikurniakan darjat yang
tinggi. Ini kerana Allah berkuasa meninggikan darjat sesiapa sahaja yang Dia
kehendaki. Tetapi jika ada yang menyengutukan kan Dia, maka gugurlah segala
amal kebaikan yang mereka telah lakukan. Para rasul ini telah diberi petunjuk
dan jika sesiapa yang ingkar, maka Allah akan menggantikan kaum itu. Para rasul
ini bukan diutuskan untuk meminta upah dari kaum mereka, tetapi hanya
menyampaikan amanah Allah.
Yahudi ada
mengatakan bahawa Allah tidak menurunkan sesuatupun kepada manusia. Jenis
golongan celaka ini menipu tidak sepadan dengan penghormatan yang telah Allah
berikan kepada mereka suatu ketika dahulu. Alah menempelak pembohongan mereka
itu dengan pertanyaan siapakah yang menurunkan kitab-kitab yang mereka ambil
dan sebarkan sebahagian kecil darinya dan menyembunyikan sebahagian isi kitab
sebenar? Dan al-Quran adalah kitab kebenaran yang mengandungi banyak
faedah-faedah dan rasulullah disuruh agar menyebarkan keseluruhan ajaran
al-Quran ini. Ada juga kaum yang kufur ini mengaku mendapat wahyu sedangkan
Allah tidak pernah memberikannya wahyu. Maka akan ditariknya nyawanya nanti dan
diminta supaya mengeluarkan sendiri nyawa mereka atas sebab pembohongan yang
mereka lakukan itu.
Allahlah yang
menjadikan malam, siang, untuk manusia berehat dan berkerja, bulan dan bintang
bagi panduan perjalanan, menjadikan rahim dan tulang sulbi bagi menempatkan
zuriat, hujan bagi menumbuhkan tanaman yang berbuah dengan pelbagai rasa. Ini
semua adalah bagi menunjukkan kekuasaan Allah dan memberikan ruang untuk
manusia berfikir, serta akan menambahkan lagi keimanan bagi orang-orang yang
beriman. Tetapi bagi kaum yang kufur, mereka menjadikan jin sebagai sekutu
Allah dan berdusta menggunakan nama Allah dengan mengatakan bahawa Allah
mempunyai anak. Bagaimana Allah mempunyai anak sedangkan Dia tidak mempunyai
isteri?
Allah tidak
dapat dilihat oleh mata makhluk sedang Dia dapat melihat semua mahkluknya tanpa
batas, maka sembahlah Allah yang menciptakan segala-galanya. Sudah tersedia
dalil-dalil dan bukti-bukti bagi manusia menelitinya. Barangsiapa yang
menerimanya, faedah itu kembali kepadanya dan sesiapa yang ingkar, bahaya akan menimpa
dirinya. Ikutlah wahyu Allah dan berpalinglah dari orang-orang yang syirik.
Allah melarang kita mencerca sembahan mereka kerana mereka juga akan mencerca
Allah.
Kaum yang
derhaka ini sanggup bersumpah dengan bersungguh-sungguh supaya diberikan mukjizat
agar mereka beriman. Allah tegas mengatakan bahawa urusan mukjizat adalah
urusan Allah dan Allah maha mengetahui jika dibawakan mukjizat itu, mereka
tetap tidak beriman kepada Allah. Allah berkuasa memalingkan hati dan pandangan
mereka sebagaimana mereka tidak mahu beriman dengan ayat-ayat Allah ketika
mula-mula datangnya ayat-ayat itu dahulu dan Allah membiarkan mereka
meraba-raba dalam kesesatan. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment