HEADER

HEADER

Tuesday, May 12, 2015

Kos LPT2 dan status Bertam antara ledakan soalan Ahmad Said:


Bekas Menteri Besar Terengganu dalam Sidang Dun Terengganu semalam telah mengemukakan pertanyaan berkenaan jumlah sebenar Dana Khas kerajaan negeri  yang telah digunakan dalam pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2.
Jelas beliau, jumlah keseluruhan kos pembinaan pada asalnya ialah sebanyak RM1.8 billion dan 50 peratus daripada jumlah itu, diambil daripada dana khas kerajaan negeri Terengganu.
Beliau mendakwa, ketika beliau mula menduduki kerusi Menteri Besar, beliau tidak mengizinkan wang tambahan tersebut diambil bagi pembinaan LPT2 itu, hanya sekadar apa yang telah dibelanjakan sahaja.
Tambah beliau lagi, permintaan menambah perbelanjaan bagi pembinaan LPT2 dan menggunakan duit Dana Khas Terengganu itu adalah tidak adil kerana di negeri-negeri lain, kosnya ditanggung oleh kerajaan pusat atau swasta.
Soalan itu dikemukakan kerana katanya, beliau sendiri tidak mengetahui berapakah kos sebenar pembinaan LPT2 itu kerana beliau dimaklumkan LPT2 bernilai RM4 billion.
Oleh kerana dilaporkan pada September ini PLUS akan mula mengutip tol di LPT2, beliau mahu mengetahui berapakah pulangan yang akan dikembalikan kepada kerajaan negeri atas penggunaan Dana Khas itu.
Soalan kedua daripada Dato’ Sri Ahmad Said ialah berkenaan status telaga minyak Bertam yang didakwanya milik Terengganu yang hanya terletak 120 km dari Pantai Geliga Kemaman, tetapi dinafikan oleh Perdana Menteri.
“Yang kedua, mengenai sikap kerajaan negeri sendiri mengenai penemuan minyak Bertam 307 yang terletak 120 km dari Pantai Geliga, yang mana YAB Perdana Menteri telah menyebut bahawa Bertam 307 adalah ditemui di Pahang.
Dan saya menafikan (dakwaan PM itu), dan ini adalah hak Terengganu. Pahang ada sedikit 307 A dan B, Bertam A, B tapi sedikit sahaja.
Dan syarikat yang menemui minyak ini ialah ‘company’ nya nama Landing daripada Sweden dan telahpun mengeluarkan hasilnya pada empat haribulan empat 2015 jam 10 malam, pengeluaran pertama minyak ini.
Dan sekarang menghasilkan kira-kira empat hingga lima ribu barrel sehari,” terang beliau kepada Dewan.
Menurutnya lagi, itu hanya melibatkan empat telaga daripada 15 telaga minyak di kawasan berkenaan dan maksimum pengeluaran ialah 18 ribu barrel sehari.
Beliau seterusnya meminta agar Menteri Besar memikul amanah rakyat Terengganu dengan mendapatkan kepastian daripada perdana menteri berkenaan status Bertam 307 itu.
Beliau memaklumkan kepada Dewan,  ketika dia menjadi Menteri Besar, beliau pernah menulis surat kepada Petronas dan Petronas hanya mendiamkan diri.
Beliau juga menimbulkan isu kenapa kerajaan pusat membayar Dana Khas dengan kadar lebih rendah kepada kerajaan negeri pada enam bulan pertama.
Jika kerana alasan harga minyak jatuh, maka kenapa ketika harga minyak naik, kerajaan pusat tidak membayar lebih kepada kerajaan negeri kerana pembayaran itu berasaskan anggaran harga minyak ialah sebanyak 75 dollar sebarrel.
Sidang DUN Terengganu bagi Penggal Ketiga dijadulkan berlangsung selama tiga hari bermula Selasa 12 Mei sehingga Khamis 14 Mei ini.

0 comments:

Post a Comment