Bismillah
Masih dalam
surah A-li-‘Imran juzuk keempat. Allah telah menetapkan tanda aras kebajikan
dan kebaktian yang sempurna ialah dengan mendermakan apa yang kamu sayangi
(dengan melakukan ini kita telah berjaya membuang sifat bakhil dan kedekut).
Rumah ibadat
yang mula-mula dibina ialah Baitullah di Mekah. Di situ ada tanda-tanda
kemuliaan yang nyata seperti makam Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya
akan merasa tenteram. Allah telah mewajibkan haji bagi sesiapa yang mampu
tetapi jika mereka yang mampu itu enggan, maka Allah tidak berkehendak
apa-apapun daripada mereka.
Kita mestilah
bercita-cita dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mati dalam Islam. Kita juga
mesti berpegang teguh dengan tali Allah (agama islam) dan jangan bercerai
berai. Kaum Ansar dan Muhajirin dahulunya diibaratkan Allah berada di tepi
jurang neraka (kerana kekufuran dan kejahilan mereka)dan mereka diselamatkan
Allah kerana memilih Islam dan kemudiannya menjadi bersaudara atas dasar Islam.
Sifat
orang-orang yang berjaya yang Allah jelaskan ialah menyuruh kepada kebaikan
(ma’ruf) dan mencegah kemungkaran. Ini juga sifat sebaik-baik umat yang
dilahirkan (golongan sahabat). Berbanding dengan sikap Yahudi dan Nasrani yang
bercerai berai setelah diberikan keterangan. Orang yang kufur akan hitamlah
wajahnya manakala orang yang dirahmati akan berseri-serilah wajahnya di akhirat.
Yahudi dan Nasrani adalah golongan yang penakut dan kufur kepada Allah.
Ahli kitab yang
memeluk Islam akan mendapat segala kebaikan yang dijanjikan sepertimana orang
Islam yang lain. Orang yang kafir, tiada apa yang dapat menyelamatkan mereka.
Kebaikan yang mereka lakukan sama seperti angin yang membawa udara sejuk yang
merosakkan kerana mereka tidak beriman.
Bersegeralah
melakukan kebaikan untuk mendapat keampunan Allah seperti menderma harta dalam
keadaan senang ataupun susah, menahan marah, memaafkan kesalahan orang serta
bertaubat daripada dosa-dosa mereka dengan sebenar-benar taubat. Orang sebegini
akan medapat balasan syurga. Allah menyuruh kita berjalan melihat keadaan kaum
yang dimurkai Allah akibat daripada kedegilan mereka.
Jangan kita
merasa lemah dalam menjalankan kerja menegakkan Islam kerana kita yang
menjalankan kerja-kerja Islam ini adalah tinggi di sisi Allah. Kemenangan di
Badar adalah bagi menghina orang kafir. Sama sahaja kesakitan yang kita rasai
juga dirasai oleh musuh Allah. Kekalahan dalam perang adalah bagi memberi ujian
keimanan. Ketika berjuang, banyakkan berdoa sebagaimana para nabi dan
orang-orang beriman terdahulu lakukan.
Nabi Muhammad
adalah seorang rasul. Jika baginda wafat, maka janganlah berpaling dari agama
yang baginda bawa kerana agama ini dari Allah. Allah menyuruh bersikap lemah lembut
dengan ahli jemaah jika ada kekhilafan, bermesyuarat dan bertawakkal (iktibar
perang Uhud). Munafik sikap mereka sentiasa bercakap apa yang tiada dalam hati
mereka. Ketika ada yang terbunuh dalam perang mereka memainkan sentimen “kalau
tidak pergi perang, nescaya tidak mati” sedangkan Allah larang berkata “kalau”
untuk perkara yang telah terjadi. Lalu rasulullah mencabar mereka untuk mengelak
dari mati (jika mereka betul-betul tahu apa yang akan terjadi dimasa depan).
Orang yang yang
syahid, diberi makan oleh Allah dan hidup gembira dengan nikmat yang Allah
berikan. Ketika hidup mereka adalah orang-orang yang berani. Apabila mendengar
berita tentera musyrikin ingin menyerang, mereka semakin bertambah iman dan
berkata “ cukuplah Allah untuk menolong kami”. Manakala pembuat propaganda
menakut-nakutkan orang Islam dengan kekuatan musuh adalah adalah syaitan. Allah
pasti akan memisahkan golongan beriman dengan munafik.
Orang bakhil
menyangka sikap bakhil mereka itu baik bagi mereka. Sebaliknya harta mereka itu
akan menjadi azab kepada mereka di akhirat nanti. Orang Yahudi berkata bahawa
Allah miskin dan merekalah yang kaya. Mereka meminta mukjizat korban yang
dimakan api daripada rasulullah. Tetapi Allah mendedahkan bahawa mukjizat itu
telah diberikan kepada kaum mereka suatu ketika dulu oleh rasul-rasul mereka
tetapi sebaliknya rasul-rasul itu pula yang dibunuh. Dan Allah menyuruh
rasulullah agar tidak sedih dengan penolakan ini kerana sudah ramai rasul-rasul
yang mereka perlakukan begitu.
Setiap yang
hidup pasti akan mati dan akan dibalas perbuatan mereka. Setiap ciptaan Allah
seperti malam siang ada tanda kebijaksanaan Allah bagi orang yang berakal.
Mereka dalam apa keadaan sekalipun berzikir menyebut dan mengingati Allah.
Kerana mereka tahu semua ciptaan Allah itu tiada yang sia-sia. Mereka berdoa
bagi memohon keampunan dari Allah dan Allah telah berjanji tidak akan mensia-siakan
golongan beriman ini yang benar-benar beramal kerana Allah. Segala keperitan,
kepayahan yang mereka alami dalam hidup mereka kerana Allah, Allah janjikan
syurga. Orang beriman mestilah menguatkan kesabaran mereka ketika menghadapi
kesukaran dalam melakukan kerja-kerja di jalan Allah dan dalam menghadapi
musuh. Tamat surah A-li-‘Imran. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment