HEADER

HEADER

Tuesday, July 22, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 19 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah at-Taubah mengandungi 129 ayat dan diturunkan di Madinah. Dinamakan dengan at-Taubah adalah kerana ia berkait dengan satu peristiwa satu kumpulan kecil sahabat rasulullah yang telah diterima taubatnya oleh Allah kerana salah laku mereka tidak menyertai perang Tabuk. Juga dinamakan surah Baraa’ah (Pemutusan Tanggungjawab) iaitu yang bermaksud Pembatalan Perjanjian. Antara intisari penting dalam surah ini ialah Islam tidak boleh dipermain-mainkan apabila pihak kafir memutuskan perjanjian dan mereka diberi amaran dan tempoh selama empat bulan atau mereka akan dihapuskan. Juga membincangkan mengenai kriteria golongan munafik. Inilah surah yang tiada Bismillah pada permulaannya.

Islam tegas dalam prinsipnya apabila dipermain-mainkan oleh pihak musuh seperti membatalkan perjanjian, Allah melalui rasulullah langsung memberikan amaran agar mereka menyerah atau berlawan dengan orang Islam (tidak seperti sekarang, Islamlah yang diugut apabila terjadi sesuatu walaupun bukan salah dari pihak Islam). Pengisytiharan ini diputuskan oleh Allah dan rasul pada hari Haji Akbar. Dengan itu musyrikin adalah lepas dari tanggungjawab orang-orang Islam kecuali mereka yang mengadakan hubungan damai dan tidak mencabulinya, maka wajib orang Islam menghormati perjanjian itu.

Setalah sampai tempoh empat bulan pengisytiharan itu dan jika musyrikin itu masih berdegil, maka bolehlah diperangi dan dibunuh mereka itu kecuali jika mereka bertaubat dan masuk Islam. Juga jika ada musyrikin yang meminta perlindungan, maka boleh kita melindungi mereka dan mesti mengajarkan Islam kepada mereka, sebab mereka tidak tahu mengenai Islam. Diterangkan orang musyrik ini jika menguasai kita, mereka akan mengkhianati kita dan keluarga kita. Kenapa harus kita memerangi kaum musyrik yang melampau ini tidak lain hanyalah untuk menghentikan mereka dari kekufuran dan bagi mereka bertaubat. Tidak patut kita takut kepada mereka yang musyrik yang mencabuli perjanjian. Allah lah yang patut kita takut dan Dia berjanji akan menolong kita menghapuskan kaum musyrik itu.

Orang kafir tidak layak memakmurkan masjid-masjid Allah (Baitullah), hanyalah orang yang beriman dan bertaqwa yang layak memakmurkan masjid Allah. Orang musyrikin menyangka kerja memberi minum kepada jemaah haji adalah sama nilainya dengan keimanan orang-orang Islam, mereka ternyata silap. Orang yang beriman, berjihad serta sanggup berhijrah kerana Allah, syurgalah balasannya tetapi musyrikin akan ke neraka. Allah memberikan amaran kepada sesiapa yang hatinya masih menyayangi dunia melebihi sayangnya kepada Allah, azab Allah akan menanti.

Dikisahkan dalam perang Hunain, tentera Islam hampir mengalami kekalahan kerana serangan hendap oleh musuh. Ini kerana mereka merasakan dengan bilangan tentera Islam yang ramai ketika itu, mereka tidak akan mampu dikalahkan oleh sesiapapun. Allah memberikan pengajaran bahawa bilangan yang ramai tidak membawa apa-apa makna jika kita merasa megah dan ketaqwaan kepada Allahlah yang menjemput bantuan dari Allah. 

Orang-orang musyrikin itu itu adalah najis dan diharakan keatas mereka dari memasuki masjidil Haram. Namun timbul rasa takut perniagaan akan terjejas, maka Allah memberikan mereka jaminan rezeki. Perangi golongan kafir sehingga mereka tunduk kepada kita dengan membayar jizyah.

Yahudi mengatakan Uzair adalah anak Allah manakala Nasrani pula mengatakan Isa anak Allah. Ini kerana mereka mengikut membabi buta ajaran pendita-pendita yang telah menyelewengkan kitab-kitab Allah. Sedangkan tiada dalam kitab mereka arahan supaya mengangkat Isa sebagai tuhan. Mereka ingan memadamkan cahaya Allah, tetapi gagal. Dan Allah tetap mengekalkan kemurnian Islam melalui ajaran dari rasulNya walaupun orang kafir membencinya.

Jangan kita ikut perangai ahli kitab yang suka memakan harta dengan cara yang salah. Juga kita mesti mengeluarkan zakat kerana Allah berjanji akan mengazab sesiapa yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment