Bismillah
Surah an-Nisaa’
(Perihal Perempuan) 176 ayat. Diturunkan di Madinah. Dinamakan an-Nisaa’ kerana
banyak sekali hukum-hukum berkenaan kaum perempuan disebutkan di dalamnya.
Kandunganya banyak berkisar tentang hukum kekeluargaan seperti poligami, cerai,
nusyuz, perdamaian jika berlaku perselisihan, pembahagian pusaka dan lain-lain.
Allah menyeru
manusia agar bertaqwa yang telah menjadikan manusia daripada satu (Adam) dan
daripada Adam itu dijadikan pula Hawa dan membiakkan keturunan mereka. Kita
dari benih Adam, maka kekalkanlah silaturrahim antara kita. Anak yatim yang
baligh, serahkan harta kepada mereka jangan ditukarkan kepada yang buruk.
Lelaki dibenarkan berkahwin sehingga empat jika mampu, tetapi jika takut tidak
berlaku adil, satu adalah memadai.
Allah larang
makan harta anak yatim dengan cara yang salah. Bagi penjaga anak yatim yang
miskin boleh mengambil harta itu sedikit untuk meneruskan kehidupan sahaja.
Bagi yang kaya hendaklah menahan diri dari mengambilnya. Serahkan harta anak
yatim bila mereka baligh dan adakan saksi bagi penyerahan itu. Mesti amanah
dalam menjaga anak yatim sebagaimana kita tidak mahu orang lakukan khianat
kepada anak-anak kita jika kita mati. Orang yang khianat terhadap harta anak
yatim adalah sebenarnya menelan api neraka ke dalam perutnya.
Pembahagian
harta pusaka dengan panjang disebutkan di dalam surah ini. Secara ringkasnya pusaka
diuruskan setelah selesai wasiat dan hutang simati. Allah menyatakan bahawa
pembahagian pusaka ini adalah batas-batas syariat Allah dan Allah maha mengetahui
akan ketetapan ini. Dan sesiapa yang taat akan dimasukkan ke dalam syurga
Allah. Manakala yang derhaka akan diazab dalam neraka.Jika berdosa maka taubat
hendaklah dilakukan dengan segera dan bukannya ketika sudah hampir mati.
Peraturan zaman
jahiliyyah dahulu, apabila suami meninggal, balunya boleh diwarisi oleh waris
simati. Maka Islam melarang perwarisan ini dalam ayat 19. Bergaullah dengan isteri
dengan cara yang baik, jika ada benci, bersabarlah moga Allah jadikan kebaikan
atas perkara yang kita benci itu. Nikahi mereka dengan cara baik dan jika
menceraikan mereka juga hendaklah dengan cara baik. Dan jika kita telah
membayar harta yang banyak kepada isteri yang diceraikan itu, maka janganlah
mengambil (harta) itu kembali.
Pengharaman dan
penghalalan mengahwini orang-orang tertentu disebutkan dalam ayat ke 23 dan 24.
Ini adalah untuk menunjukkan kepada manusia syariat yang telah dilakukan oleh nabi-nabi
dan orang soleh untuk diikuti. Allah ingin membersihkan dosa manusia yang
bertaubat dan bagi orang yang fasik hanyalah ingin membawa penyelewengan kepada
orang lain.
Jangan kita
makan harta dengan cara yang salah dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Jika
kita menjauhkan diri dari dosa besar, maka Allah juga akan mengampunkan dosa
kecil yang kita lakukan.
Kaum lelaki
adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana
Allah telah lebihkan lelaki dengan beberapa keistimewaan. Hak suami wajib
dijaga oleh isteri. Antaranya pelihara maruah. Jika isteri nusyuz, maka
nasihatilah mereka, jika masih nusyuz pulaukan mereka di tempat tidur. Dan
dibenarkan memukul mereka dengan pukulan ringan sebagai pengajaran. Jika mereka
taat, maka janganlah menyusahkan mereka. Boleh melantik pendamai jika berlaku
krisis rumahtangga.
Orang bakhil dan
orang yang menderma tetapi dengan tujuan menunjuk-nunjuk sebenarnya tiada
kerugianpun jika mereka melakukan kebajikan itu kerana Allah. Dan Allah tidak
menganiaya manusia sekalipun seberat zarrah. Dan jika ada seberat zarrah
kebaikan itu, maka Allah akan gandakannya dengan pahala yang sangat besar.
Orang kafir di akhirat nanti mahu mereka ditelan bumi sahaja kerana tidak dapat
menyembunyikan apa-apapun dari pengetahuan Allah.
Kewajipan mengambil
tayyamum bagi menggantikan wudhu, disebut dalam ayat 43.
Orang Yahudi
bukan sahaja menukar keterangan al-Quran malahan juga memutarbelitkan perkataan
“Raa’ina” (dengan maksud menyeleweng) bagi menghina nabi dan Allah melaknat
mereka dengan sebab kekufuran mereka dan sangat sedikit daripada mereka yang
beriman. Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik. Yahudi juga memberitahu
kepada musyrikin Mekah bahawa musyrikin Mekahlah yang benar, sementara nabi Muhammad yang salah.
Yahudi jika dapat memerintah, pasti tiada kebaikan yang mereka akan berikan
kepada manusia. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment