Bismillah
Sambungan
at-Taubah. Untuk kali ini, banyak perkara yang Allah dedahkan berkaitan
ciri-ciri dan perangai sebenar orang-orang munafik. Dalam ayat ke36 Allah
menerangkan akan empat bulan yang dihormati dalam 12 bulan yang Dia ciptakan
ketika mencipta langit dan bumi. Maka dilarang bagi manusia berbuat khianat
dalam empat bulan tersebut. Allah murka kepada orang kafir yang suka mengubah
bulan-bulan haram ini mengikut citarasanya dan mereka akan menggantikannya
dengan bulan lain pula. Syaitan memperhiaskan perbuatan mereka ini agar nampak
baik dan betul.
Allah menegur
segolongan manusia yang tidak serius menyahut panggilan perang di jalan Allah
kerana leka dengan kesenangan dunia. Sedangkan dunia ini hanya sementara. Allah
akan menggantikan golongan yang takut berperang dengan golongan lain dan akan
mengazab mereka yang penakut itu. Jika manusia tidak mahu menolong rasulullah,
maka Allah telahpun menolong baginda melarikan diri dari Mekah bersama Abu
Bakar dengan selamatnya dengan menghantarkan malaikatNya. Jika manusia
mengetahui akan keutamaan berperang di jalan Allah maka mereka akan bergerak ke
medan perang dengan jiwa raga, harta benda
walau dalam keadaan susah sekalipun. Manakala kaum munafik pula, mereka
akan sentiasa member alasan untuk mengelak untuk berperang hatta dengan
bersumpah dusta menggunakan nama Allahpun mereka sanggup.
Allah
memperlihatkan perbezaan antara munafik dengan orang beriman dimana orang
beriman tidak akan mencari alasan menolak ajakan perang di jalan Allah.
Sedangkan mengapa munafik sering mencari alasan ialah kerana Allah tidak suka
mereka berada dalam barisan perang orang beriman, maka Allah lemahkan semangat
mereka disamping syaitan juga menggoda mereka agar duduk di rumah sahaja. Jika
mereka turut sertapun, mereka akan jadi duri dalam daging dan merosakkan
pasukan dengan fitnah mereka.
Bukan itu
sahaja, bahkan munafik ini telah merancang kejahatan atas rasulullah dan para
sahabat semenjak dahulu lagi. Jika rasulullah beroleh kejayaan, hati mereka
sakit dan jika rasulullah mendapat dugaan bencana, mereka memperolok-olokkan
seperti berkata itulah sebabnya mereka tidak ikut berperang dahulu (seperti
mereka tahu bencana akan berlaku) dan mereka pula gembira dengan kesusahan
rasulullah dan sahabat baginda.
Sedangkan yang
dinantikan oleh orang-orang yang beriman hanya dua perkara iaitu kemenangan
ataupun mati syahid (dua hal penting ini tidak dapat dilihat oleh munafik).
Dalam hal menderma harta di jalan Allah pula, derma orang munafik tidak akan
diterima Allah kerana kefasikan dan kekufuran mereka. Mereka tidak menderma
kecuali diiringi dengan rasa benci dan mereka tidak solat kecuali dalam keadaan
malas dan terpaksa. Oleh itu anak pinak dan harta dunia yang dikurniakan Allah
kepada mereka adalah sia-sia kerana Allah berkehendakkan untuk menyeksa mereka
dengan harta dan keturunan mereka itu di akhirat nanti.
Mereka juga
adalah dari kalangan manusia yang pengecut tetapi terpaksa berpura-pura berani.
Jika dalam bab pembahagian zakat, sedekah dan harta, mereka akan mengatakan
rasulullah ini adil jika memperuntukkan sebahagiannya kepada mereka dan marah
jika tiada bahagian mereka. Sedangkan jika mereka bersyukur, itu baik bagi
mereka. Dalam keadaan mereka tidak beriman dan memperolok-olokkan agama Islam,
Allah mendedahkan bahawa kaum munafik ini sebenarnya takut jika ada diturunkan
ayat-ayat al-Quran menjelaskan perihal perangai sebenar mereka. Tetapi jika
ditanya untuk apakah olok-olok itu, mereka akan menjawab ianya sekadar gurauan
sahaja, sedangkan apa yang mereka guraukan itu adalah Allah dan rasul,
patutkah?
Lagi cirri-ciri
munafik ialah mereka samada lelaki atau perempuan, akan menyuruh perbuatan
jahat dan mungkar serta melarang perbuatan baik dan mereka juga amat kedekut.
Mereka melupakan perintah Allah dan Allah pula melupakan mereka. Bagi mereka
balasannya ialah neraka jahannam. Hal ini amat mudah bagi Allah kerana kaum
yang degil sebelum ini adalah jauh lebih besar dan kuat dari kaum munafik ini,
telah Allah musnahkan setelah diberi peringatan melalui para rasul mereka. Maka
ternyata mereka menganiaya diri mereka sendiri.
Manakala
orang-orang yang beriman, sikap mereka mengajak manusia kepada perkara baik dan
melarang perkara kejahatan, medirikan solat, mengeluarkan zakat dan taat kepada
Allah dan rasulNya. Mereka dijanjikan syurga oleh Allah. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment