Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, October 30, 2015

Bersyukur terima sumbangan


Hati mana yang tidak gembira apabila diwaktu kewangan terdesak dan peralatan penting di rumah pula rosak, tiba-tiba mendapat jemputan ke majlis penerimaan sumbangan peralatan rumah.
Begitulah luahan perasaan oleh Puan Hashimah Abdul Rahman 49, salah seorang penerima sumbangan barang keperluan rumah daripada Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong.
Ibu tunggal yang masih mempunyai tanggungan yang bersekolah itu, melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jawatan kuasa MTD yang telah bertungkus lumus merancang program kebajikan ini.
Hashimah yang menerima sumbangan sebuah mesin basuh menjelaskan bahawa mesin basuh kepunyaannya sekarang ini kebetulannya rosak dan dia menghadapi masalah kewangan untuk membelinya kerana hanya bekerja sebagai pembantu kantin.
Sumbangan peralatan rumah itu telah dianjurkan oleh MTD Bukit Payong semalam dalam satu majlis ringkas di bangunan Kompleks Pendidikan Madrasah Darul Iman (MDI) di Kedai Buluh.
Seorang lagi penerima Encik Mohammad Amin Hasan 65, turut mengucapkan terima kasih diatas usaha yang sangat membantu rakyat ini oleh MTD Bukit Payong.
Bagi beliau bantuan seperti ini sekiranya mampu, perlu diperluaskan lagi dan beliau berpendapat, tidak semestinya orang yang sama menerimanya.
Menurut Pengerusi  Lajnah Kebajikan MTD Bukit Payong Encik Mustaffa Yaakob, seramai 11 orang yang dikategorikan layak menerima sumbangan ini telah dikenal pasti oleh pihaknya.
Tambah beliau, semua peralatan ini adalah hasil sumbangan oleh beberapa pihak yang mengamanahkannya untuk diagihkan kepada mereka yang layak untuk menerimanya di sekitar Bukit Payong.
Katanya lagi, selain daripada mesin basuh, peralatan seperti dapur juga diberikan kepada beberapa orang yang lain bagi membantu meringankan beban mereka.
Sumbangan disampaikan oleh Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Friday, October 23, 2015

Kenali mana satu keutamaan


 
Ahli PAS digesa untuk mengetahui yang mana satu perkara keutamaan dalam jemaah agar tidak terkeliru dalam membuat keputusan serta tidak terikut-ikut pemikiran orang yang menyeleweng.
Demikian gesaan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika berucap dalam Majlis Konvensyen Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Kemaman.
Jelas beliau lagi dalam Islam ada kaedah yang dipanggil sebagai ‘tsawaabit’ iaitu perkara dasar yang tetap yang mesti kita ikut dan tiada kompromi, dan perkara ‘muruunah’ atau fleksibel yang boleh berubah mengikut keadaan.
Konvensyen yang diadakan di Dewan Taman Islam Kemaman itu, turut dihadiri oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid, Timbalannya Ustaz Nik Nasri Malik dan Adun Cukai Haji Hanafiah Mat.
Sambil memberi contoh dasar seperti amanah dalam agama, ianya tidak boleh diubah walau apa jua keadaan kerana itu adalah perkara asas yang utama, malah dalam mana-mana agama sekalipun amanah ini adalah perkara terpenting.
Beliau yang juga Adun Bukit Payong menegaskan bahawa kegagalan segelintir ahli memahami peraturan ini, menyebabkan mereka keluar parti.
Mereka menolak keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS kerana bagi mereka, keputusan itu tidak memenuhi kehendak mereka.
Sedangkan perkara dasar yang diasaskan ketika penubuhan PAS dahulu iaitu berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias, maka perkara-perkara dasar itu mesti dipertahankan oleh MSU, bukannya untuk memenuhi kehendak sesetengah orang.
Ini kerana menurut beliau lagi, PAS adalah parti yang berteraskan Islam yang berhasrat melaksanakan nilai-nilai dan hukum-hakam bagi menuju keredhaan Allah.
Beliau turut berpesan agar tidak menjadi takjub dengan kehebatan seseorang di dunia ini sebelum terbukti dia mati dalam ketaatan.
“Jangan kita takjub dengan amalan seseorang kerana kita belum tahu apa pengakhiran mereka kerana ada penulis wahyu di zaman rasulullah juga akhirnya murtad dan begitu juga iblis yang enggan menurut arahan Allah,” pesan beliau.
Sehingga kini, walaupun PAS telah dilobi di luar negara oleh pihak-pihak tertentu sebagai parti yang sudah jauh menyeleweng dari Islam, namun kebenaran tetap berpihak kepada mereka yang beristiqamah.
Banyak pihak yang menerima berita itu telah menghubungi PAS kembali bagi mendapatkan penjelasan balas dan alhamdulillah kata beliau, Presiden PAS telah memberikan penjelasan yang jitu kepada mereka dan mereka menerimanya.
YB Ustaz Mohd Nor kemudiannya menyeru kepada semua kira-kira 200 ahli yang hadir agar memperteguhkan jamaah dengan melipat gandakan gerak kerja bagi menghadapi pilihanraya yang bakal menjelma.
Bagi beliau, isu parti yang baharu ditubuhkan itu seharusnya tidak menjadi gangguan kepada ahli-ahli PAS kerana sekarang sudah nyata ketiadaan mereka telah memberikan ruang yang luas bagi PAS bergerak lebih maju.

Saturday, October 17, 2015

Ucapan bersemangat pimpinan gegarkan HF60K



Ucapan dalam program telah dimulakan oleh Pengarah Program Himpunan Fastaqim iaitu YB Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran yang begitu ramai pada malam ini.
Seterusnya beliau juga percaya sekiranya ayahanda beliau masih hidup, pasti beliau akan gembira dengan perhimpunan yang begitu ramai ini
Beliau yang jelas tidak dapat menahan rasa sedih kerana mengenang ayahanda beliau, sebak ketika menyebut berkenaan almarhum ayahandanya.
Manakala N. Balasubrmaniam Pengerusi Dewan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula berkata kehadiran yang begitu ramai hari ini membuktikan PAS adalah untuk semua, parti untuk semua bangsa dan agama.
Krisis dalam PAS tidak menjejaskan sokongan DHPP kepada PAS kerana DHPP tetap beristiqamah dengan PAS sehingga kemenangan.
“Kami akan terus bersama PAS selama-lamanya.
Biar orang bukan Islam hairan bagaimana kami boleh hidup bersama PAS.
DHPP ingin melihat Presiden PAS menjadi Perdana Menteri.
Dengan itu DHPP akan membantu PAS menarik sokongan bukan Islam untuk mengundi PAS dalam PRU akan datang,” katanya disambut dengan laungan takbir oleh hadirin.
DHPP juga berjanji akan terus mendokong prinsip yang dibawa oleh PAS.
Manakala ucapan yang begitu bersemangat oleh Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad berkata kehadiran ini sekaligus menafikan cakap-cakap yang mengatakan PAS akan terpinggir dari arus politik Malaysia.
Di Selangor contohnya kata beliau, dalam masa tiga minggu, PAS Selangor telah berjaya mengumpul sehingga enam ribu keahlian baru.
Sambil beliau menekankan bahawa PAS kuat bukan kerana diri ahlinya tetapi Pas kuat kerana memartabatkan Islam, maka Allah menguatkan PAS.
Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Amar Nik Abdullah, mengucapkan terima kasih atas kehadiran peserta kali ini dan ini menurut beliau lagi, menambahkan semangat PAS Kelantan bagi mempertahankan Kelantan.
Seorang lagi Naib Presiden PAS YB Ustaz Idris Ahmad menekankan bahawa jangan sekali-kali masuk PAS kerana kehebatan individu atau geram kepada musuh sebaliknya kerana asas PAS iaitu Islam.
PAS tidak kurang dalam hilang beberapa tokoh yang hebat seperti bekas (ketika itu Yang DiPertua PAS) Dato’ Asri Muda tetapi PAS tetap kekal dan meneruskan perjalanan politiknya tanpa terjejas dengan pemergian tokoh-tokoh tersebut.
Beliau turut menekankan bagi seluru ahli PAS Kelantan untuk mempertahankan kemenangan PAS di Kelantan yang beliau gelar sebagai ‘Guru Politik Malaysia’ kerana kebanyakkan tindakan politik yang diperkenalkan PAS bagi kebaikan rakyat, ditiru oleh pusat.

Jangan bina jahiliyyah atas jahiliyyah




Itulah antara pesanan penting dari Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya di Program Himpunan Fastaqim 60K.
Atas maksud itulah beliau menekankan bahawa pembinaan negara melalui remaja dan belia mestilah melalui proses Islamisasi dan bukannya hanya menukar kerajaan semata-mata kerana cara begitu tidak akan berbeza dengan pemerintahan yang ada sekarang.
Beliau juga banyak menyentuh berkenaan penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama melibatkan isu 1MDB.
Saudara Mustafa Kamil Ayob kemudiannya mengambil tempat bagi mewakili Kongres Rakyat untuk berucap dalam majlis malam ini, menegaskan bahawa kehadiran yang sebegitu ramai telah menghampakan harapan agar PAS dihapuskan dalam persada politik Negara.
Kongres Rakyat tambah beliau, akan membawa hasrat rakyat kepada kerajaan, NGO-NGO dan kepada semua pihak yang berwajib bagi memastikan hasrat rakyat diberi keutamaan.
Mantan Naib Presiden Keadilan Rakyat itu menegaskan akan bersama-sama PAS dan NGO-NGO lain bagi memastikan Putrajaya akan diambialih pada PRU ke 14 nanti.
YAB Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yaakob melahirkan keyakinan penuh bahawa kejayaan Kelantan mempertahankan kerajaan Islam sehingga 25 tahun adalah hasil sikap istiqamah ahli-ahlinya.
Kelantan telah membuktikan kepada negeri-negeri lain bahawa ia adalah guru politik dengan cara politiknya yang agak berlainan dengan negeri-negeri lain.
Sambil melahirkan rasa syukurnya dengan kejayaan ini, beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ianya adalah hasil kesinambungan daripada pemerintahan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pertembungan antara manusia ini menurut Mursyidul Am PAS Dato’ Dr Haron Din pula telah berlaku bermula dari zaman nabi Adam lagi apabila Habil dan Qabil berbalah merebut pasangan.
Maka kata beliau, pihak yang benar-benar ikhlas dalam menyempurnakan suruhan Allah pastilah golongan yang berisitiqamah yang akan mendapat kemenangan dan keredhaan Allah.
Mengakhiri program ialah amanat Presiden PAS iaitu Dato; Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengambil kesempatan membacakan sajak yang digubah khas untuk program ini.
Beliau menegaskan apa sahaja makhluk yang tidak mengikuti jalan-jalan Allah, mereka akan menjadi zalim kerana mereka melampaui batas.
Tambah beliau lagi, politik cara Islam ialah tetap berada dalam jemaah dimasa senang susah dan tidak sewenang-wenangnya bertindak lari dari rumah terutama mendapat pujukan daripada pihak lain.
Sebagaimana contoh yang diberikan oleh beliau iaitu baiah dalam peristiwa Aqabah oleh para sahabat dari Madinah, mereka berisitiqamah dalam baiah mereka sehingga kepada semua khulafa’ ar-rasyidin kerana keimanan mereka.
Himpunan malam ini kata beliau adalah untuk mengukuhkan gerakan ini bagi memastikan PAS kekal dalam keredaan Allah disamping menunjukkan kesungguhan ahli-ahli PAS.
Atas apa jua halangan, ahli-ahli serta pemimpin digesa bersedia dan bersama-sama berisitiqamah untuk mempertahankan Islam kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.
Program telah ditangguhkan dengan bacaan doa oleh Presiden PAS yang begitu sebak membacakan bait-bait akhir doa dan bacaan ikrar perjuangan oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan dan diikuti oleh para hadirin.

Fastaqim 60K melebihi sasaran kehadiran



Menjelang solat isyak, kelihatan hampir segenap penjuru dan ruang Stadium Sultan Muhammad IV telah dipenuhi dengan para penyokong PAS yang telah datang dari segenap penjuru Malaysia.
Dianggarkan sasaran 60 ribu kehadiran penyokong PAS dalam Program Himpunan Fastaqim 60K telah dicapai dan masih ada ramai lagi di luar stadium yang masih beratur untuk memasuki stadium.
Selesai solat isyak berjemaah yang telah diimamkan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Nasrudin Hasan sebagai pengerusi majlis, telah mengumumkan kira-kira 100 ribu yang hadir.
Kemudian beliau mengarahkan ahli-ahli dari Jabatan Amal untuk mengagihkan 60 ribu bendera PAS kepada semua yang hadir.
Acara pertama pada sesi malam ialah acara perarakan masuk keseluruhan AJK PAS Pusat, ketua dewan-dewan, termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS diiringi oleh pasukan motosikal berkuasa besar ke pentas utama.
Selesai AJK mengambil tempat, lagu NegaraKu dan Lagu PAS dikumandangankan seterusnya bacaan al-Quran diperdengarkan.
Gimik pertunjukkan tentera-tentera berkuda kemudiannya mencuri perhatian penonton apabila menggabungkan persembahan montaj serta melakukan aksi silat secara langsung sebelum membuat penyerahan kapsul kepada Presiden PAS.
Acara seterusnya ialah ucapan oleh para pimpinan.

Wednesday, September 9, 2015

Pulau bebas cukai Tasik Kenyir bakal jual arak


Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Jidin Shafee pada Sidang Dun Terengganu 8 September lalu, mengesahkan bahawa arak adalah antara barangan yang akan dijual di Zon Bebas Cukai Kenyir apabila ia mula beroperasi nanti.
Tambah beliau lagi, selain daripada arak, barangan seperti rokok, kain batik, pakaian, kasut serta pelbagai barangan lain turut akan dijual di sana.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh wakil Wakaf Mempelam YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang inginkan penjelasan berkaitan barangan yang akan dijual di Zon Bebas Cukai Kenyir nanti sebagai tarikan utamanya.
Soalan asal oleh wakil Batu Burok, YB Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kepada kerajaan ialah apakah perkembangan terakhir Projek Pembangunan Pusat Bebas Cukai di Kenyir.
Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah apabila diminta mengulas perkara ini, pengakuan  Dato’ Mat Jidin itu tidak ada yang mengejutkan kerana dasar Umno itu sendiri.
“Bagi saya tindakan Umno itu adalah satu tindakan yang tidak mengejutkan kerana apa yang kita harapkan dari kepimpinan Umno berkaitan dengan Islam.
Inilah Umno yang sememangnya rakyat kenal sejak dahulu, jadi ianya tidak menghairankan.
Jika ini yang dikatakan sebagai dasar kepada pemerintahan Islam ala Umno, maka rakyat seharusnya membuat satu pendirian yang tegas kepada cara Umno ini,” tegas beliau.
Mengulas isu yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata dengan sinis bahawa majoriti masyarakat Hulu Terengganu yang terdiri daripada melayu Islam itu menyambut baik cadangan kerajaan itu.
Tambah beliau lagi, tidak diketahui akan adanya permintaan oleh kaum bukan Islam bagi penjualan arak itu di Zon Bebas Cukai Kenyir.
“Kami warga Hulu Terengganu khususnya daerah tempat Batu Bersurat ini sangat berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah mendedahkan bagaimana sucinya perjuangan agama bangsa dan negara yang didendangkan kepada rakyat.
Dan saya percaya masyarakat di Hulu Terengganu ini sangat-sangat mengalu-alukan hasrat kerajaan kerana memilih Kenyir untuk bawa masuk perkara ini.
Sebenarnya tiada permintaan dari kaum bukan Islam untuk pembinaan Kawasan Bebas Cukai yang mempunyai arak ini
Ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri yang bawa masuk (arak).
Oleh itu masyarakat Hulu Terengganu perlu nilai perjuangan sebenar Umno dan kami Pemuda PAS dengan secara asas sangat-sangat sedih dengan pengumuman yang diisytiharkan di dalam Dun semalam,” tegas beliau.
Berikut adalah salinan soal jawab diantara Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Dato Mohd Jidin Shafee dalam sesi soal jawab dalam sidang Dun Terengganu semalam.
Haji Mohd Abdul Wahid Endut: “Apakah jenis barang-barang yang dikatakan akan ditawarkan bebas cukai?
Adakah macam kalau pergi tempat-tempat tertentu di Airport atau Pulau Langkawi yang bebas cukai seperti rokok bebas cukai, arak bebas cukai.
Jika boleh kita nak tahu barang-barang itu yang boleh memberikan semacam motivasi untuk orang pergi.Jikalau sekadar arak dengan rokok orang tak pergi bebas cukai pun melainkan yang suka hisap rokoklah.
Dato’ Mohd Jidin: Mengenai barang-barang, kita ada beberapa cadangan tetapi oleh kerana kita tak jual lagi, nak jawab payahlah, arak ke mungkin kain batik ke.
Yang saya difahamkan kasut ada, baju ada, beg tangan ada, arak pun ada, pinggan mangkuk pun ada.

Kerajaan tidak berhasrat minta royalti 20 peratus


Kerajaan hari ini melalui kenyataan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman secara jelas menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk meminta royalti sebanyak 20 peratus seperti kerajaan Sarawak lakukan.
Menjawab soalan tambahan oleh wakil Wakaf Mempelam, YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang bertanyakan adakah kerajaan negeri akan mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak yang meminta 20 peratus royalti, Ahmad Razif menegaskan kerajaan negeri tiada hasrat itu.
Sebaliknya beliau menjelaskan kerajaan negeri telah meminta kerajaan pusat agar memberikan lebih kemudahan kewangan dalam banyak bentuk lain kepada kerajaan negeri.
Sebagai contoh, beliau memberitahu dewan bahawa kerajaan negeri telah mendapat kira-kira RM3 billion nilaian termasuk kemudahan dan pelbagai lagi daripada kerajaan pusat.
Soalan asal telah dikemukakan oleh wakil Rhu Rendang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Menteri Besar berbunyi Apakah status terkini telaga minyak Blok PM 307 Bertam dari sudut pemilikannya serta setakat manakah proses carigalinya telah dilaksanakan.
Apabila Haji Mohd Abdul Wahid bertanyakan berkenaan status kes saman royalti antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, Razif menyatakan bahawa kes saman itu telah ditarik balik oleh kerajaan negeri.
Mengulas berkenaan isu itu wakil YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, tindakan YAB MB itu merugikan rakyat negeri Terengganu kerana berapakah bandingan antara RM3 billion dengan lebihan 15 peratus yang sepatutnya diperolehi rakyat.
“Beliau sepatutnya melihat dengan lebih jauh dan berani bagi memperjuangkan hak rakyat, tapi sayangnya dia memilih untuk mendiamkan kehendak seluruh rakyat.
Semestinya dia sedar akan jumlah RM3 billion itu adalah jauh lebih rendah daripada 15 peratus royalti itu iaitu kira-kira RM6 billion, jadi apakah yang hendak dibanggakan dengan RM3 billion itu bila kita sepatutnya menerima RM6 billion?,” soal beliau.
Ketua Penerangan PAS Terengganu itu juga membidas jawapan yang diberikan oleh Razif berkaitan penarikan balik saman royalti kerajaan Terengganu ke atas kerajaan pusat yang menjadikan kerajaan Kelantan sebagai rujukan samada meneruskan kes tersebut atau tidak.
Tetapi apabila timbul isu berkaitan dengan meminta royalti 20 peratus dari kerajaan pusat, Razif tidak pula mahu menjadikan Sarawak sebagai kes rujukan, sebaliknya seperti mahu menyerlahkan sikap penakutnya.
Untuk rekod, lima peratus royalti minyak Terengganu ialah sebanyak kira-kira RM2 billion setahun.
Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada kali ini berlangsung selama separuh hari pada 8 September 2015.