Bismillah
Dalam ayat 127
surah an-Nisaa’, Allah menerangkan perihal hukum-hakam berkaitan perempuan
dengan lebih jelas lagi. Antara perkara yang perlu diperhatikan ialah apabila
ada konflik, selesaikanlah dengan cara baik dan seboleh-bolehnya janganlah
bercerai dan bersifat kedekut. Allah juga mengetahui bahawa manusia tidak akan
dapat berlaku adil kepada isteri-isteri mereka (untuk yang berpoligami). Tetapi
janganlah sampai mengabaikan terus isteri-isteri yang lain hanya kerana lebihkan
sayang kepada isteri-isteri tertentu.
Orang-orang
beriman ialah orang yang sentiasa menjadi saksi kepada kebenaran dan menegakkan
keadilan sekalipun jika melibatkan kaum kerabatnya. Tetapi orang yang beriman
kemudian kufur dan berbolak balik antara iman dan kufur tidak akan mendapat
petunjuk dari Allah. Jika ada orang yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah
maka janganlah bergaul dengan mereka sehinggalah mereka menukar tajuk
perbincangan kerana jika kita terus bersama mereka, maka tiada beza antara kita
dengan mereka.
Orang munafik
apabila Islam menang, mereka akan datang untuk menuntut hak mereka dengan
berbagai alasan. Dan apabila tentera kafir menang, mereka akan menuntut pula
dari puak kafir itu bahagian mereka juga dengan berbagai alasan. Orang munafik adalah
penipu dan pandai berpura-pura sedang Allah mengetahuinya. Apabila mahu solat,
mereka berdiri dengan malasnya dan terpaksa berlakon. Padahal hati mereka tidak
mengingati Allah. Keadaan mereka “Muzabzab” iaitu pendirian tidak tetap. Bukan
sahaja tidak menyokong terus kepada golongan kafir, malahan kepada Islampun
mereka tidak menyokong. Munafik akan diletakkan pada tingkat terbawah api
neraka di hari akhirat nanti. Kecuali yang bertaubat dan benar-beanr ikhlas
kepada Allah.
Jangan
mengeluarkan kata-kata buruk walaupun untuk mendedahkan kesalahan orang kecuali
kita dianiaya. Memaafkan kejahatan orang adalah lebih baik. Orang kafir hanya
beriman dengan sebahagian rasul dan kufur dengan sebahagian lain sedangkan
orang beriman, mereka menerima semua rasul tanpa membezakan mereka. Kaum Yahudi
meminta dari nabi Muhammad kitab dari langit sebagai bukti kenabian. Allah
mengingatkan rasulullah agar jangan pelik dengan permintaan itu kerana nabi
Musa mereka lakukan lebih dari itu, minta lihat Allah, sembah patung anak
lembu, langgar larangan hari sabtu, menolak ayat-ayat Allah, membunuh nabi-nabi
mereka, menuduh Maryam dengan tuduhan dusta, serta mengambil riba. Mereka
dilaknat oleh Allah kerana ini dan pasti disiksa akibat perbuatan mereka ini.
Yahudi juga
mendakwa telah membunuh nabi Isa tetapi mereka sendiri keliru adakah benar
mereka telah membunuhnya sedangkan Allah telah mengangkat nabi Isa untuk
menyelamatkannya. Akan tetapi pada akhir zaman nanti, ahli kitab semuanya akan
beriman dengan nabi Isa dan baginda menjadi saksinya. Disebabkan kezaliman
Yahudi ini jugalah maka mereka telah diharamkan memakan makanan yang pernah
dihalalkan keatas mereka sebelum ini.
Rasul-rasul yang
Allah utuskan adalah sama peranan mereka samada yang Allah ceritakan kepada
rasulullah atau tidak, tugas mereka memberitahu berita gembira kepada orang
yang beriman dan membawa amaran kepada orang yang ingkar. Allah dan malaikat
menjadi saksi kebenaran al-Quran ini. Allah menguasai semua benda yang ada di
bumi dan di langit dan diantara keduanya. Maka tiada kerugian bagi Allah jika
manusia kufur kepadaNya. Allah mengingatkan ahli kitab agar berkata benar
berkenaan Allah. Nabi Isa hanyalah pesuruh Allah bukan tuhan dimana ibunya
Maryam mendapat tiupan ruhul Qudus kedalam tubuhnya dari malaikat Jibril dengan perintah Allah.
Berhentilah dari mengatakan Allah itu tiga. Allah tidak mempunyai anak, maha
suci Allah dari hal itu. Nabi Isa sendiri tidak sombong dan angkuh dan mengakui
bahawa dia hanyalah hamba Allah.
Telah datang
bukti dari Allah (dengan beberapa mukjizat melalui nabi Muhammad) dan Al-Quran
adalah nur yang menerangi kehidupan dunia ini dan yang membahagiakan kehidupan
di akhirat. Bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan berpegang teguh dengan
al-Quran maka Allah akan memasukkan dia ke syurga dengan rahmat yang tak
terkira banyaknya.
Ayat terakhir
dari surah an-Nisaa’ ini menerangkan hukum pusaka berkenaan “kalalah” iaitu
seorang yang mati lelaki atau perempuan yang tidak mempunyai anak dan bapa
sebagai pewarisnya. Tamat surah an-Nisaa’. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment