Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, February 27, 2015

Kenyataan Media : Sampai masanya Terengganu laksanakan Hudud

 
Bismillah

Saya melihat keputusan kerajaan BN Terengganu baru-baru ini yang telah meneruskan perlaksanaan dan penguatkuasaan beberapa bahagian daripada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh Kerajaan PAS dibawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu pada penggal 1999-2004 yang lalu, sebagai satu pengiktirafan kerajaan sekarang terhadap kesungguhan perlaksanaan syariat Islam dizaman pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dahulu.
Alhamdulillah PAS yang telah berusaha sekian lama bagi memartabatkan undang-undang al-Quran ini yang gagal dilaksanakan oleh BN yang setelah 58 tahun memerintah negara ini, telah berjaya meletakkan asas undang-undang ini kembali ke dalam tampuk pentadbiran kerajaan Terengganu ketika zaman pemerintahannya setelah ianya dibuang selepas tahun 1940-an oleh British. Sebelum itu undang-undang Islam telahpun dilaksanakan oleh Sultan Zainal Abidin III bersama penasihatnya yang juga seorang ulamak tersohor, Tok Ku Paloh, dengan undang-undang yang diberi nama Itqan al-Muluk bi Ta’Dil as-Suluk kira-kira 100 tahun yang lalu. Nyata di sini, peranan dan kesungguhan ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, membantu sultan dalam pentadbiran mendekati kepada keredhaan Allah.
Dengan perlaksanaan sebahagian enakmen ini, saya yakin dan percaya sudah sampai waktunya dan mendesak agar kerajaan pimpinan YAB Dato’ Ahmad Rafiz Abdul Rahman meneruskan kepada undang-undang hudud pula. Sebab dengan tertegaknya hudud, tumpuan tidak hanya kepada kesalahan-kesalahan kecil seperti kes pakaian yang mencolok mata dan seumpamanya sahaja, tetapi jauh daripada itu, ianya mencangkupi kesalahan-kesalahan besar seperti pecah amanah, penyelewengan, pembaziran seperti kes stadium runtuh, selain daripada kes-kes hudud yang sudah dikenali seperti mencuri dan berzina serta qisas (hukum balas) seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Jika tidak, maka hukuman dari enakmen ini hanyalah terpilih dan tidak menyeluruh kerana sang penyeleweng tidak diberikan pendidikan dan hukuman, tetapi hanya kepada rakyat biasa yang berpakaian tidak senonoh.
Bagi memperkukuhkan lagi cadangan perlaksanaan hudud ini, saya juga mendesak agar kerajaan sedia ada memperkuatkan lagi fungsi mahkamah syariah, hakim-hakimnya, pendakwaraya-pendakwaraya syarienya serta penguatkuasaannya, supaya kekuatan enakmen ini dapat dilihat dengan jelas kewujudan ruh Islam didalamnya. Perlu diingat, hukuman Allah adalah untuk mendidik bukan menghukum, maka tindakan memperkasakan fungsi mahkamah syariah ini adalah bayangan kepada mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kerajaan dalam melaksanakan enakmen ini. Dengan dilaksanakan segala ini, maka jelaslah kepada kita bahawa undang-undang ini bukanlah hanya wayang untuk diperlakonkan kepada masyarakat, tetapi ianya adalah hukum tetap yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia untuk dilaksanakan tidak kira siapapun kita.
Akhirnya saya menyeru kepada rakyat Terengganu agar melihat ini adalah satu pengiktirafan oleh kerajaan BN kepada usaha serta pengorbanan kerajaan PAS dahulu dan saya juga menyeru agar rakyat kembali meletakkan kerajaan PAS mentadbir semula negeri Terengganu ini setelah terbukti undang-undang Islam yang telahpun tertegak di negeri Terengganu sejak lama dahulu, mendahului kerajaan Islam Melaka. Jelas, undang-undang Islam yang berjaya diwujudkan dalam sistem pemerintahan kerajaan Islam Terengganu pada awal dan akhir abad lalu, adalah kerana kesungguhan tokoh-tokoh ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
9 Jamadil Awwal 1436 bersamaan 28 Februari 2015

Monday, February 23, 2015

Gobind Singh tak perlu takut dengan hudud dan qisas

Petikan : Buletin Online

KUALA TERENGGANU – PAS terlibat dengan Pakatan Rakyat (PR) bukan kerana dijemput oleh mana-mana pihak termasuk DAP, tetapi kerana kesediaan PAS sendiri yang sedar perlunya kerjasama untuk menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk rakyat.
 
Oleh itu, Ketua Penerangan PAS Terengganu Ustaz Mohd Nor Hamzah menegaskan, DAP tidak berhak ‘mengusir PAS’ dari Pakatan Rakyat.
 
Beliau menyifatkan, Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Dio tidak faham terhadap Enakmen Jenayah Syariah Islam apabila Gobind mendakwa, PAS akan terkeluar daripada PR sekiranya membentangkan rang undang-undang pindaan enakmen tersebut.
 
“Apakah pendirian YB Gobind Singh ini menggambarkan ketidakfahaman beliau sendiri terhadap Enakmen Jenayah Syariah Islam?
 
Kerana enakmen ini tidak ada hubungkait dengan orang bukan Islam, perlaksanaannya melibatkan orang Islam yang (menjadi) majoriti rakyat Kelantan.
 
Sepatutnya dia sebagai ahli politik yang matang perlu menyedari dan tidak perlu takut dengan perlaksanaan enakmen (itu),”jelasnya.
 
mOHD nOR hAMZAHADUN Bukit Payong itu yang bercakap kepada pihak media di Pejabat PAS Terengganu pada Isnin 23 Februari juga, menyifatkan kenyataan Gobind tidak mewakili pendirian masyarakat bukan Islam.
 
Beliau berkata, rakyat bukan Islam di negeri Kelantan sendiri tidak bersikap sebagaimana yang ditunjukkan oleh Gobind yang juga Ahli Parlimen Pucong.
 
Ustaz Mohd Nor berpendapat, Gobind sedang memperjuangkan pendapat pribadi mendiang Karpal Singh, yang juga ayah kepada Gobind, dan bukannya pendapat majoriti rakyat.
 
“Bukan pendapat rakyat bukan Islam (non-muslim) keseluruhannya, yang mengundi DAP (dalam pilihanraya).
 
Rakyat yang mengundi DAP sebenarnya bukan mengundi DAP tetapi mengundi Pakatan Rakyat, yang didalamnya (terkandung) keperrcayaan mereka terhadap kejujuran PAS,”tegas beliau.
 
Oleh itu, beliau berkata, DAP boleh tidak bersetuju dengan PAS sebagaimana PAS tidak bersetuju terhadap DAP dalam beberapa isu yang timbul.
 
Katanya, PAS menghormati pendirian DAP dan sehingga kini, tidak pernah memaksa DAP melaksanakan Undang-undang Syariah d negeri yang di kuasai oleh DAP, Pulau Pinang.
 
“PAS berhak untuk tidak bersetuju dengan DAP dan PAS menghormati DAP tidak bersetuju dengan PAS, bahkan sehingga sekarang PAS tidak memaksa kerajaan dibawah pimpinan DAP di Pulau Pinang untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Islam Hudud dan Qisas walaupun rakyat di negeri Pulau Pinang juga mahu undang-undang Islam dilaksanakan,”tambahnya.

Tuesday, February 17, 2015

Lakonan hebat Umno-BN penyebab harga kekal


Bismillah
Setelah agak lama harga minyak di negara kita ini menuruni tangga ke bawah selepas pengumuman kerajaan terhadap harga runcit petrol yang ditetapkan berdasarkan harga pasaran minyak dunia yang turun, rakyat masih ternanti-nanti bilakah agaknya mereka akan juga dapat merasai tempias nikmat penurunan harga minyak ini. Jika sebelum ini, tempias “nikmat” kenaikan harga barang kerana kenaikan harga minyak, rakyat sentiasa terpaksa menerimanya walaupun tidak meminta dan tidak menyukai kenaikan paksa rela ini. Maka persoalan mulai timbul dalam benak pemikiran rakyat, kenapa penurunan harga barang tidak juga berlaku setelah harga minyak jatuh walaupun setelah puas rakyat meminta dan meminta? Di sini saya ingin mengajak rakyat sekelian agar kita sama-sama cuba menjejaki atas alasan apakah harga barang-barang ini masih berada di takuk lama.
Kerajaan berkuasa mengadakan sekatan ataupun undang-undang bagi mengawal harga barang. Walaupun dikatakan para peniaga dari kaum tertentu yang menguasai pasaran, tetapi kerajaan tetap entiti tunggal yang mempunyai kuasa dalam mengawalnya. Namun begitu, bagi menutupi kelemahan dan kegagalan mereka, pelbagai cerita direka sehinggakan tergamak mengajak rakyat memboikot kaum tertentu bagi mengawal harga. Sama seperti cicak, apabila tersepit, Umno mula memutuskan ekornya iaitu ekor perkauman. Selain daripada menggunakan isu perkauman, pimpinan Umno juga menuduh pembangkang pasif dengan tuntutan penurunan harga barang. Sedangkan jelas dapat dilihat rakyat, PR adalah konsisten aktif menentang kenaikan harga barang dengan mengadakan kempen penurunan harga barang. Bukan sahaja kempen kesedaran biasa, malahan juga dengan cara agresif. Tetapi agak pelik jika pihak kerajaan pula yang berdemo bagi memaksa peniaga menurunkan harga barang. Lebih pelik, peniaga buat tak layan dan teramat pelik, langsung tiada pula tindakan keatas peniaga.
Lihat sahaja ketika musim perayaan, apabila berlaku kenaikan keatas barang-barang kawalan, apa yang dilakukan oleh kerajaan BN? Kronologi yang sama berulang iaitu barang kawalan “hilang” dari pasaran. Kemudian muka menteri dengan bengisnya muncul di TV dan akhbar dan menegaskan akan mengambil tindakan keras keatas peniaga yang menyembunyikan barang kawalan. Selepas itu muncul pula sang menteri yang diambil gambarnya di pasar-pasar dengan muka yang masih garang dan memaklumkan kerajaan telah berjaya mendapatkan kembali bekalan barangan terkawal yang diimport dari negeri Pasir Berdengung dan memberikan peringatan dan amaran yang lebih keras kepada para peniaga untuk tidak menaikkan harga.
Namun harga tetap naik, malah lebih mahal. Maka setelah tidak beberapa lama, timbul kembali muka menteri dengan wajah yang agak “cool” dan memaklumkan bahawa harga barang terpaksa dinaikkan dan berjanji bahawa kenaikan itu tidak membebankan rakyat yang sememangnya sudah lama terbeban. Kemudian amaran sekali lagi dikeluarkan tetapi tidak sekeras dahulu, bagi peniaga yang menaikkan harga melebihi sepatutnya. Dan rakyat diminta membuat laporan jika ada peniaga yang menaikkan harga barangan. Namun akhirnya tiada laporan kenaikan harga yang diterima kata menteri. Kemudian bos menteri mengangkat seekor ayam dan kata bos menteri, harga ayam ini ialah RM1. Rakyat sepatutnya bijak mencari kedai yang murah tegasnya yang menyebabkan rakyat terlopong mendengar kemurahan harga itu dan kerana kepandaian bos menteri memilih kedai harga yang begitu murah. Sehinggakan ketika tulisan ini ditulis, rakyat masih gagal mengesan mana letaknya kedai itu. Begitulah kitaran pembodohan berlaku berulang-ulang kepada rakyat.
Disebalik semua itu, kegagalan mengawal harga barang, dikembalikan kepada rakyat kerana kegagalan rakyat mencari kedai yang menjual dengan harga murah. Sedangkan tiada tindakanpun yang diambil terhadap tauke-tauke besar yang ada diantaranya dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang dan tanpa rasa takut kepada kerajaan walaupun ada amaran, ugutan dan boikot oleh kerajaan. Jelas sekali menjadi bukti bahawa kerajaan sebenarnya pengecut dan takut bagi mendesak tauke-tauke besar ini walaupun kuasa ada pada kerajaan. Ataupun mungkin ada kepentingan mereka dalam perniagaan tauke-tauke ini? Moga ianya dijauhkan Allah.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang diketuai oleh bekas Menteri Luar Syed Hamid Albar semalam pula menjelaskan bahawa, pengusaha bas tidak semestinya menurunkan harga tambang bas semata-mata kerana penurunan harga minyak kerana bukan minyak sahaja yang menjadi faktor kenaikan tambang, tetapi beberapa faktor lain turut perlu diambil kira. Faktor minyak katanya hanya kira-kira 10 peratus sahaja bagi keseluruhan kos pengendalian pengangkutan awam. Ditambah jangkamasa kenaikan ini mungkin hanya sekejap, jadi tiada keperluan tambang diturunkan. Sayangnya kaedah dan alasan ini tidak pula terpakai ketika mereka meminta dinaikkan kadar tambang dahulu, hanya semata-mata kenaikan harga minyak yang mereka tekankan, maka Syed Hamid bersetuju untuk naikkan tambang sambil menunding jari kepada ibu bapa yang didakwa beliau tidak membantah. Lihatlah, apabila bekas menteri yang memahami setakat mana tindakan yang akan diambil oleh kerajaan diatas isu ini, bertindak demikian. Bermakna dia tahu setakat mana kesungguhan “ugutan” kerajaan itu. Tiada rasa takut, tiada rasa bimbang, tiada rasa bersalah, menunjukkan dia mahir dan tahu apa yang dia dan kerajaan lakukan. Malah bertindak seperti pelindung kepada pengusaha kenderaan awam pula. Maka rakyatlah yang pasti menjadi mangsa mereka.
Bagi nelayan pula, dilaporkan ada sesetengah mereka yang cuma memperolehi kira-kira RM500 sebulan. Juga dengan penoreh yang masih bergelut dengan harga getah yang tidak sampai RM2 sekilogram, cuba anda fikirkan kesan daripada kenaikan harga barang-barang keatas golongan ini yang tidak pernah tahu untuk berhenti walaupun harga minyak turun. Kepada siapa hendak mereka mengadu? Golongan nelayan ini nyata telah dirampas kedua-dua hak mereka. Hak mereka di laut, dirampas oleh sebahagian nelayan asing dan hak mereka di darat ditarik oleh kerajaan mereka sendiri. Dan paling menghiris hati mereka, majoriti nelayan adalah penyokong tegar Umno. Inilah balasan Umno kepada mereka. Dan bagi mengurangkan kepedihan itu, maka timbullah pak lebai Umno menjaja dalil taat kepada pemerintah dan redha dengan ketentuan harga naik.
Oleh itu, janganlah kita terpedaya dengan lakonan Umno serta rakan-rakan mereka dalam isu ini. Airmata mereka adalah airmata buaya, keperihatinan mereka hanyalah ketika pilihanraya, perkelahian palsu mereka atas dasar bangsa untuk mengalihkan isu sahaja, perdamaian mereka adalah muslihat kepada masyarakat, agama pula diguna secara terpilih, jika ada terkena pada mereka, didiamkan. Jika mereka rugi, rakyat yang kena pikul. Maka lihatlah wahai rakyat, kepalsuan Umno dan kuncu-kuncunya dalam kesungguhan bagi menyelesaikan permasalahan rakyat ini. Ia adalah penyelesaian terpilih dan penuh muslihat. Wallahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
Rabu 28 Rabiu’lAkhir 1436 bersamaan 18 Februari 2015

Sunday, February 8, 2015

Kami mahukan geran - OKU



(Rumah yang baru sebahagiannya masih dalam pembinaan peringkat akhir)
 
Pulau Kerengga : Setelah menduduki selama lebih dari 30 tahun, penghuni perkampungan orang kelainan upaya di Kampung Rahmat, Pulau Kerengga, Marang, mahu agar mereka diberikan hak keatas tanah-tanah tersebut.
Rata-rata penghuni sangat teruja dan menjawab dengan yakin soalan berkenaan hak milik tanah, mereka mahukan geran tanah apabila diajukan soalan adakah mereka mahukan geran tanah bagi tanah yang mereka diami selama ini.
Dalam tinjauan yang dilakukan baru-baru ini, terdapat beberapa rumah baru seperti model rumah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), yang telah siap dibina, yang dikatakan akan menggantikan rumah lama mereka yang sudah usang.
Tinjauan telah dilakukan oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, sebagai tindakan susulan beliau yang telah mengenengahkan isu hak pemilikan tanah penghuni perkampungan ini dalam sidang DUN terdahulu.
Bagi Ustaz Mohd Nor, beliau bersetuju agar penghuni dipindahkan ke kediaman baru atas faktor rumah yang sediada didapati sudah usang dan boleh membahayakan terutama rumah-rumah asal yang belum dibaik pulih.
Akan tetapi, tiga isu utama perlu dahulu diselesaikan oleh pihak kerajaan iaitu geran pemilikan kepada penghuni, pampasan mengubah suai rumah pilihan kepada penghuni yang telah mengubah suai rumah mereka.
“Saya berpendapat memang sesuai penghuni untuk berpindah kerana meilhat kepada keuzuran rumah-rumah lama mereka ini, mungkin akan menjadi isu keselamatan pula.
Namun tiga perkara utama mesti diselesaikan oleh kerajaan iaitu perkara utama yang telah saya bangkitkan dalam dewan tempohari berkaitan geran hak milik kepada semua penghuni.
Geran ini penting sebab sudah lebih 30 tahun mereka tinggal di sini.
Keduanya ialah pampasan yang setimpal kepada penghuni yang telah mengubah suai rumah mereka yang diarahkan berpindah ke kediaman baru, mereka telah banyak berhabis wang dan tenaga.
Dan akhir sekali harap kerajaan boleh berikan pilihan kepada penghuni yang sudah mempunyai rumah yang selesa untuk berpindah atau tidak sebab mereka sudah selesa dan ada yang mempunyai anak yang ramai,” tegas beliau.
Mereka dijangka akan dipindahkan secara berperingkat ke kediaman baru mereka dan rumah lama yang using (gambar kiri), akan dirobohkan setelah selesai perpindahan itu.
Apa yang menjadi persoalan bagi mereka sekarang,  bilakah mereka akan berpindah dan adakah tanah rumah baru itu akan menjadi hak milik mereka atau apakah mereka hanya diberikan hak menduduki tanpa hak memiliki seperti sekarang.
Seorang penghuni Kampung Rahmat Mokhtar Jusoh 45, berkata beliau tidak mendapat penjelasan yang jitu dari kerajaan berkenaan perancangan kerajaan atas rumah baru dan lama yang ada di situ kerana tiada program penerangan secara khusus oleh kerajaan.
Beliau tidak kisah jika diarahkan berpindah ke kediaman baru, tetapi beliau benar-benar berharap agar diberikan penjelasan yang tepat berkenaan rancangan kerajaan dan sekaligus mendapat geran hak milik.
“Rumah tu (lama) pun dah senget dah, jadi tak apalah saya pindah rumah baru pun.
Tapi saya musykilkan, kalau balik semua budak-budak  (anak-anak) saya tu, saya rasa memang tak muat juga (rumah baru).
Tapi tak apalah, asalkan jadi hak milik saja, kita boleh buatlah (pembesaran),” kata beliau.
Namun begitu, penama kepada rumah baru itu juga masih belum diketahui, meninggalkan mereka dalam keadaan tertanya-tanya kepada siapakah rumah itu akan diberikan kerana tiadanya penjelasan dari pihak berwajib.
Sementara itu seorang lagi penghuni, Hanafi Abdul Rahman 57 berkata, beliau berharap agar dikecualikan dari rancangan perpindahan ini kerana bagi beliau, rumah yang beliau duduki sekarang (gambar kanan) ini jauh lebih luas dan selesa berbanding rumah baru.
Beliau yang telah banyak menghabiskan wang bagi membesarkan rumahnya kerana mempunyai keluarga yang agak besar, kini mempunyai lima bilik berbanding tiga di rumah yang baru.
Harapan beliau sekiranya tetap diarahkan berpindah, agar kerajaan menimbangkan bagi membayar pampasan pembesaran rumah beliau selain dari diberikan juga hak milik geran tanah.
“Yang ada rumah besar-besar gini, ada lima enam buah lagi di sini.
Saya memang tak kecil hatilah kalau orang tak bagi rumah barupun kalau macam tu gayanya (merujuk kepada saiz rumah baru).
Sebab barang saya banyak, anak saya ramai, nak tidur mana? Tanya beliau.
Terdapat juga penduduk Kampung Rahmat ini yang menjalankan perniagaan, agak keberatan untuk berpindah kerana ruang di rumah baru agak kecil bagi mereka meneruskan perniagaan mereka.
Sama seperti yang lain, mereka mengharapkan geran bagi kediaman baru dan pampasan yang setimpal akan dibayar oleh kerajaan kerana pembesaran rumah lama mereka bagi membuka kedai, tidak sedikit wang yang telah dihabiskan.

Friday, February 6, 2015

Kenyataan Media : Peningkatan kadar jenayah juvana di Terengganu membimbangkan


Bismillah
Saya ingin mengambil kesempatan bagi mengulas kenyataan Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkaitan dengan kenaikan peratusan kadar jenayah juvana 2014 di Terengganu iaitu sebanyak 11.28 peratus berbanding tahun 2013. Dalam kenyataan beliau yang diterbitkan oleh Bernama dan disiarkan juga dalam Facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM), beliau menyatakan bahawa peningkatan ini ialah dari 133 orang pelajar pada tahun 2013 kepada 148 pelajar pada tahun lepas.
Dalam kenyataan itu lagi turut disentuh ialah antara sebab utama berlakunya jenayah dikalangan juvana ini ialah pengaruh rakan dan kemiskinan. Antara jenayah yang dilakukan ialah pecah rumah dan mencuri motorsikal. Dan PDRM katanya lagi akan berkerjasama dengan pihak sekolah bagi membendung jenayah ini dengan mengadakan sekolah angkat dan juga ceramah-ceramah bagi memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar untuk tidak terpengaruh dengan anasir-anasir jahat.
Jelas di sini bermaksud jika sekiranya kadar kemiskinan tinggi maka kadar jenayah juga akan meningkat. Secara mudahnya ia boleh dikaitkan dengan kegagalan kerajaan Terengganu membendung kemiskinan, sekaligus statistik jenayah turut bergerak naik. Bayangkan dengan bajet tahunan sebanyak lebih dua billion, kemiskinan masih menjadi igauan ngeri rakyat Terengganu yang kurang lebih berjumlah 1.1 juta ini yang masih teguh berada di tempat senarai negeri termiskin di Malaysia. Sekiranya kerajaan Terengganu benar-benar berusaha, kemiskinan ini insyaAllah ianya dapat dikurangkan. Sekaligus kadar jenayah dapat diturunkan jumlahnya. Akan tetapi kemanakah perginya perancangan kepada sasaran rakyat yang benar-benar layak mendapatkan bantuan tanpa mengira fahaman politik itu pergi? Inilah antara perkara yang rakyat Terengganu perlu kaji dan selidiki.
Namun, tidak semestinya atas alasan miskin untuk mereka melakukan jenayah. Jika mereka kaya sekalipun, tetapi tidak dilindungi dengan agama secukupnya, maka peluang bagi terjadinya jenayah itu sangat besar. Apa yang penting ialah didalam Islam diajar untuk manusia takutkan Allah samada di tempat tersembunyi mahupun terbuka. InsyaAllah mereka tidak akan melakukannya walaupun dipujuk kawan dan walaupun dia miskin. Inilah kuncinya. Kita perlu melihat kepada akar permasalahan ini iaitu agama. Inilah Islam, ibu bagi segala penyelesaian masalah kehidupan kita.
Saya mencadangkan agar PDRM mengadakan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi membincangkan modul khusus mata pelajaran keagamaan bagi ditekankan kepada semua pelajar-pelajar Islam kita (sudah tentulah di Terengganu majoriti pelajar adalah melayu Islam). PAS Terengganu dengan kepakaran yang ada, sedia berkerjasama dgn PDRM,  JHEAT dan Kementerian Pelajaran bagi membincangkan isi kandungan modul subjek agama itu demi masa depan anak-anak muda di Terengganu khasnya. Tidak cukup dengan ceramah kesedaran yang diadakan secara bermusim sahaja kerana berapa banyak sekolah dan berapa ramai pegawai PDRM yang ada bagi melaksanakan program ceramah itu? Akan tetapi jika subjek khusus keagamaan diadakan, ianya akan lebih mudah untuk membentuk pelajar-pelajar yang ada. Ini insyaAllah bukan sahaja dapat memberi kesan penurunan kepada kadar jenayah juvana tetapi juga akan menurunkan kadar umat Islam yang buta ilmu agama dimasa depan.
Tidak dilupakan juga, peranan ibubapa yang mutakhir ini kelihatannya hanya menyerahkan anak-anak mereka kepada guru-guru tanpa mereka membantu guru-guru itu bagi membentuk disiplin dalam diri anak-anak mereka. Ibubapa terlalu sibuk mengejar harta kerana hambatan kehidupan dan harga barang yang mahal serta juga bagi memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga yang mana akhirnya terkadang, anak-anak menjadi mangsa keadaan. Ini sebenarnya bala dari Allah, keperitan hidup yang terpaksa dilalui sehingga mengabaikan agama dan keluarga masing-masing, secara tidak langsung rantaian ini bersambung dengan rantaian anak-anak kehausan terhadap kasih sayang dari ibubapa, ditambah dengan kejahilan dan kemudiannya akan mencari jalan keluar mengikut hawa nafsu kerana ketiadaan agama yang ditanam oleh ibubapa dalam jiwa anak-anak. Maka terhasillah jenayah-jenayah ini yang mana terkadang bukan lahir kerana kemiskinan, tetapi kerana inginkan perhatian dan juga kejahilan dalam agama.
Oleh itu ibubapa adalah faktor terpenting bagi membentuk remaja yang bebas jenayah, yang takutkan Allah serta mempunyai rasa tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Namun tidak dapat tidak, kerajaan juga mesti dipertanggungjawabkan atas kerosakan rantai kehidupan ini kerana jika kerajaan benar-benar fokus serta berusaha bersungguh-sungguh bagi menjaga kebajikan rakyat dengan segala sumber yang ada di dalam negara ini, sepatutnya kadar jenayah ini akan menjadi minima. Bukan hanya tahu menyalahkan bangsa lain jika berlaku kenaikan harga barang contohnya. Skrip sama yang diulang-ulang bagi mendapat sokongan, melagakan rakyat dengan sentimen bangsa.
"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." Itulah kata kata yang lahir daripada Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi. Apakah yang kita nampak pada remaja-remaja kita di Malaysia sekarang? Dapatkah kita meneka masa depan negara kita? Moga Allah melindungi kita semua dari kebinasaan atas kejahilan dan kelemahan kerajaan kita. Saya menyeru kepada semua, agar kembali kepada Islam dengan sebenar-benarnya.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu (BPPNT)
Sabtu 17 Rabiu’lAkhir 1436 bersamaan 7 Februari 2015