Bismillah
Juzuk sembilan bermula dari ayat
88 surah al-A’raaf. Antara yang jelas jika diperhatikan ialah semua kaum yang
derhaka ini sering mencabar dan meminta azab diturunkan segera atas dosa mereka
itu daripada para rasul yang diutuskan. Allah tidak menimpakan azab keatas
sesuatu kaum kecuali diutuskan rasul kepada mereka. Bila Allah berikan
kesenangan setelah kesusahan (untuk mereka bersyukur) tetapi mereka jadi lupa
diri, sesat dan sombong. Maka Allah turunkan azab setelah diberi peringatan.
Sedangkan jika mereka beriman dan bersyukur, maka Allah akan beri lebih keberkatan.
Orang-orang derhaka ini tidak
sepatutnya merasa aman dari azab Allah kerana sudah jelas kepada mereka bala
yang telah Allah timpakan kepada kaum-kaum terdahulu sehinggakan hilang lenyap
dari muka bumi kerana kederhakaan mereka. Ini kerana setelah datang rasul-rasul
dengan mukjizat serta janji mereka (orang-orang derhaka) untuk taat kepada
Allah, sebaliknya mereka memperolok-olokkan rasul-rasul itu. Mereka itu
semuanya fasik.
Allah memberikan contoh Fira’un
yang meminta mukjizat dari Nabi Musa. Ketika nabi Musa mahu membebaskan Bani
Israel dari Fira’un. Apabila baginda mencampakkan tongkat dan bertukar menjadi
ular kemudian tangan baginda menjadi
putih bersinar, maka dikatakan Fira’un bahawa nabi Musa seorang tukang sihir.
Maka dicari ahli sihir serata Mesir bagi melawan mukjizat nabi Musa. Fira’un
berjanji akan memberikan kedudukan yang tinggi kepada ahli-ahli sihir itu jika
berjaya mengalahkan nabi Musa (perkara yang sama bagi manusia zaman sekarang,
mengejar pangkat dan kedudukan tanpa kira dosa pahala).
Setalah dicampak tongkat dan
tali-tali oleh ahli-ahli sihir itu, maka giliran Musa mencampakkan tongkatnya
setelah diberi wahyu oleh Allah, seterusnya menelan semua sihir-sihir itu.
Setalah melihat itu, segeralah ahli-ahli sihir itu tunduk sujud serta menyatakan
keimanan mereka kepada tuhan Musa dan Harun. Fira’un lantas mengugut menyeksa
ahli-ahli sihir ini dengan memotong tangan dan kaki mereka secara bersilang
kemudian dipalang. Hebatnya, mereka itu tidak merasa gentar sedikitpun dengan
ugutan Fira’un itu. Malah mereka meminta keampunan kepada Allah dan memohon
agar diberikan kesabaran dan mati dalam keadaan beriman kepada Allah.
Semakin kuat cengkaman Fira’un ke
atas Bani Israel, dan mereka ketakutan. Maka kepada Allahlah Musa menyuruh Bani
Israel memohon pertolongan. Nabi Musa berharap agar Allah memusnahkan Fira’un.
Maka diturunkan oleh Allah bala bencana kepada Fira’un dan pengikut-pengikutnya
seperti musim kemarau yang memusnahkan hasil tanaman. Bukan itu sahaja, malah
bala seperti taufan, serangan belalang, serangan katak, kutu dan juga darah.
Ketika bala ini sudah tidak dapat ditahan oleh Fira’un dan sekutunya, maka
dimohonkan kepada Musa agar berdoa kepada Allah supaya menghilangkan bala itu,
disertakan janji-janji mereka untuk beriman dan melepaskan Bani Israel. Dan
apabila bala diangkat oleh Allah maka mereka memngkiri janji mereka.
Ditenggelamkan Fira’un oleh Allah di Laut Merah kerana mendustakan Allah.
Terselamatnya Bani Israel dari
penindasan Fira’un kerana janji Allah keatas orang-orang yang sabar ketika
ujian ditindas. Apabila sampai Bani Israel ke seberang Laut Merah, mereka lihat
ada satu kaum yang menyembah berhala. Maka merekapun meminta agar Musa
membuatkan berhala untuk mereka sembah. Itulah kejahilan Bani Israel, walaupun
baru diselamatkan dari kekejaman Fira’un, mereka masih mencari tuhan lain
selain Allah. Sedangakan penyembah berhala itu akan dihancurkan kerana
kesyirikan dia. Sedangkan Allah telah memberikan berbagai kenikmatan (kepada
Bani Israel ketika itu), patutkah mereka mencari tuhan lain?
Nabi Musa dijanjikan Allah untuk
menerima Taurat dan dia diberikan penghormatan dengan dapat bercakap dengan
Allah (dalam keadaan selayaknya) dalam masa 40 malam urusan penerimaan Taurat
itu. Sementara itu nabi Harun menggantikan tempatnya bagi mengetuai Bani
Israel. Nabi Musa memohon untuk melihat Allah tetapi Allah tidak dapat dilihat
di dunia ini (di akhirat, orang beriman boleh melihat Allah) sebab hancur
gunung apabila Allah menzahirkan kebesarannya (Tajalla) yang membuatkan nabi
Musa jatuh pengsan langsung memohon taubat dan hatinya dimantapkan lagi dengan
keimanan.
Allah telah memilih nabi Musa
melebihi orang lain pada zamannya dengan mengurniakan Taurat. Taurat telah
diturunkan kepada Musa dalam keadaan bertulis pada “Lauh-Lauh” (seperti papan
tulis) yang menjelaskan dasar-dasar dan syariat-syariat bagi umat nabi Musa dan
Allah menyuruh kaum nabi Musa berpegang kepada isi Taurat itu dengan
bersungguh-sungguh dan akan dibinasakan jika ingkar. Allah akan memalingkan
hati orang yang sombong takbur dari perkara baik dan hati mereka menjadi
gembira dengan kesesatan. Orang yang mendustakan ayat-ayat Allah akan gugurlah
amalan baiknya di akhirat nanti.
0 comments:
Post a Comment