HEADER

HEADER

Saturday, July 26, 2014

Perutusan Eidul Fitri Adun Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil hamd

Alhamdulillah segala puji kepada Allah tuhan yang mentadbir alam ini. Kita sekali lagi diberi kesempatan bagi menyambut kedatangan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad saw serta keluarga dan juga para sahabat baginda.

Dikesempatan ini, saya mewakili Majlis Tindakan DUN Bukit Payong serta keluarga saya, ingin mengucapkan Eid Mubarak kepada semua penduduk di DUN Bukit Payong dan Terengganu khususnya dan Malaysia amnya serta dimana juga anda berada. Maaf zahir dan batin.

Bersempena Syawal ini, marilah kita merenung kembali segala peristiwa yang telah mengganggu umat Islam diseluruh dunia. Isu Palestin, Syiria, Rohingya, Ughyur, Sri Lanka, Iraq dan lain-lain. Ini adalah isu sejagat yang sepatutnya diinsafi oleh semua lapisan masyarakat Islam di dunia. Ianya isu tanpa sempadan kenegaraan, ianya adalah isu penyatuan fikrah pemikiran sesama muslim. Isu penindasan atas nama apapun juga yang sebenarnya disebalik semua itu, adalah kerana golongan yang ditindas itu beragama Islam. Anehnya penindasan ini berlangsung tanpa sempadan oleh tentera Ahzab moden, tetapi kita umat Islam tersekat untuk membantu kerana sempadan. Benarlah pesanan rasulullah, umat Islam akhir zaman tidak ubah seperti buih , walaupun banyak tetapi tiada kekuatan.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi saw. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (Riwayat Abu Daud).

Betapa hinanya kita kerana sanggup mengejar keduniaan dan takut kepada kematian, sedangkan mati itu pasti dan harta kita itu akan ditinggalkan. Natijahnya kita sememangnya dihina oleh musuh Islam yang tidak merasa takut atau segan untuk menyembelih umat Islam di seluruh pelusuk dunia sambil saudara mara seislam kita yang lain hanya memandang sayu dengan menggeleng-gelengkan kepala, mengutuk, memboikot  dan kemudiannya kembali meneruskan rutin seharian mencari kekayaan selepas meluahkan rasa kesal mereka itu. Tiada daya selain itu, kerana kita lemah.

Kita telah jauh lari dari al-Quran yang diturunkan Allah sebagai penyelesaian utama permasalahan hidup kita khususnya bagi kita mencari jalan kembali kepada Allah. Kita menggunakan kompas lain dalam mencari arah kehidupan kita sehinggakan kita sesat, sedangkan sudah diberitahu bahawa hanya al-Quran dan sunnah sahaja kompas kehidupan yang benar.

Setelah kita kehilangan pesawat MAS MH370 kira-kira empat bulan lalu, kini kita terpaksa menghadapi pula satu peristiwa yang menyayat hati iaitu pesawat MAS MH17 telah terhempas di kawasan berdekatan sempadan Russia-Ukraine iaitu satu kawasan yang mengalami pergolakan dan dalam zon perang. Dikhabarkan ianya telah ditembak jatuh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan membunuh kesemua penumpang termasuk anak kapal. Takziah kepada semua waris penumpang dan anak kapal.

Kembali kita ke dalam negara kita. Setelah kisah-kisah dunia ini kita perhatikan, kita akan dapat melihat bahawa semua perkara keburukan itu bermula dari dalam diri kita. Kita hidup dengan penuh sifat mazmumah dan jauh daripada kehendak Islam yang sebenar apabila kita membuang al-Quran dan sunnah. Contoh yang paling nyata ialah amanah dan pembaziran. Dua perkara ini sangat berkait rapat dalam membentuk negeri yang baik yang bakal mendapat kerahmatan, keampunan dan pertolongan dari Allah  iaitu konsep “Baldatun Toiyyibatun Warabbun Ghafuur”. Dan lihatlah kesudahan negeri Saba’ akibat dari runtuhnya amanah mereka dengan Allah. Hancur ditimpa bala.

Kita pastinya akan gagal dalam membina negeri yang dirahmati Allah jika sekiranya pembaziran yang menggila diteruskan tanpa memperdulikan duit rakyat yang dijahanamkan itu. Lihat sahaja Projek Tasik Kenyir yang telah dilaksanakan dengan menggunakan wang rakyat yang bukan sedikit jumlahnya. Ketika proses membinanya sahajapun sudah membazir, apatah lagi nanti apabila siap kerana empunya yang melahirkan idea ini telahpun turun dari jawatannya. Persoalannya, adakah penggantinya akan melangsungkan kesinambungan apa yang dikatakan sebagai pembangunan di Kenyir yang bukan dari ideanya itu? Pastinya lumpur itu akan cuba dielakkan sejauh mungkin dari terpalit kepadanya.

Apabila pembaziran begitu berleluasa, maka yang hilang sebenarnya adalah amanah. Apabila amanah hilang, maka hubungan antara rakyat dengan pemerintah bertukar menjadi permusuhan. Pemerintah yang sepatutnya melindungi rakyat dari pihak-pihak yang berkepentingan dan juga bagi memberikan keselesaan kepada rakyat, tetapi telah bertukar memeberi perlindungan. Mereka sebaliknya memberikan perlindungan pula kepada syarikat-syarikat besar kerana menumpang sama keuntungan perniagaan mereka itu ke atas rakyat. Hilang kasih sayang pemerintah kepada rakyat maka hilanglah rahmat Allah.

Rakyat dianiaya, simiskin yang mengharapkan wang zakat dan bantuan seperti peminta sedekah. Wang ditabur ketika perlu bagi mendapat pulangan kepada pemerintah dan bukannya kerana amanah. Dengan hubungan rapuh begini maka musuh Islam senang mencelah bagi mencari keuntungan bagi pihak mereka. Lihat sahaja kenyataan MB yang baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan JKKK Parlimen Kuala Terengganu di Stadium Negeri baru-baru ini, jelas memperlihatkan keruntuhan akhlaknya dalam memegang amanah apabila menyuruh JKKK menjaga sejumlah pengundi bagi memenangkan Umno-BN dalam pilihanraya akan datang. Sedangkan duit elaun JKKK dibayar dengan menggunakan wang rakyat.

Bertambah terkejut dalam laporan sebuah akhbar pula memetik kenyataan pegawai kerajaan negeri, yang gajinya dibayar menggunakan wang rakyat yang mana sepatutnya beliau bertindak sebagai pegawai kerajaan yang berkecuali dan bukannya pegawai Umno tetapi dilaporkan berkata dalam majlis yang sama agar JKKK berkerja bagi merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Inilah hasilnya apabila Islam dipinggirkan, maka kewarasan dalam hal dosa dan pahala, sudah tiada lagi. Amanah itu, amanah rakyat, yang mana akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat nanti. Saya menyeru kepada diri saya dan semua agar bertaqwa kepada Allah. Jauhilah politik jijik dan kotor sebegini.

Oleh itu marilah kita sama-sama pada hari yang mulia ini, mengenang kembali kemenangan tentera Islam yang telah diuji keimanan mereka dalam Perang Ahzab yang dinyatakan oleh Allah “digoncangkan” keimanan mereka dengan ujian yang dahsyat. Mereka berjaya akhirnya diatas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah walaupun dikepung dari segenap sudut oleh tentera Ahzab. Tetapi kerana mereka menyempurnakan amanah Allah, maka mereka berjaya mengharunginya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil hamd

0 comments:

Post a Comment