HEADER

HEADER

Monday, June 30, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 2 : Bacaan tiga minit

Bismillah

Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah ialah surah terpanjang yang mengandungi sebanyak 286 ayat di dalamnya. Dikategorikan sebagai “Tujuh Surah Panjang” ataupun Assabuththiwaa. Keistimewaan surah ini dinyatakan dalam Sahih Muslim yang bermaksud “ Bacalah kamu surah al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebajikan yang banyak) dan membiarkannya (mencuaikannya) menyebabkan timbul perasaan sesal kecewa. Dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.
Dinamakan al-Baqarah (lembu betina) kerana dalam ayat ke 67-74 diceritakan kisah bani Isael yang degil dan bodoh dalam menyempurnakan arahan penyembelihan lembu oleh Allah. Secara keseluruhan surah ini menceritakan perihal hukum-hukum seperti solat, puasa, zakat, haji, hukum jinayah, muamalat, wasiat, dan munakahat. Antara intipati penting dalam surah (dalam juzuk pertama sahaja) ini ialah al-Quran adalah sempurna, tiada syak di dalamnya dan menjadi petunjuk bagi orang-orang bertaqwa. Iaitu orang yang beriman dengan perkara-perkara ghaib seperti syurga, neraka, dosa dan pahala. Berlawanan dengan mereka yang kufur yang tidak percaya dan memperolok-olokkan al-Quran ini.
Manusia diciptakan menjadi khalifah Allah, untuk memakmurkan bumi melalui syariat yang ditetapkan Allah. Iblis yang sombong tidak mahu sujud kepada Adam sebagaimana diperintahkan Allah adalah musuh manusia yang utama yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.
Bani Israel adalah satu contoh kaum yang tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan. Beberapa kali Allah memperingatkan agar mereka mengenang kembali nikmat yang telah Allah berikan kepada bangsa mereka tetapi mereka tetap keras kepala. Bukan satu atau dua nabi yang mereka ingkari bahkan lebih dari itu sehingga mereka sanggup membunuh nabi-nabi walaupun dari keturunan mereka.
Mereka pernah dikurniakan Allah makanan al-Mann (sejenis makanan seperti madu) dan al-Salwa (sejenis burung) dari langit, mendapat teduhan awan dari panas mentari di padang pasir, mendapat 12 mata air setelah nabi Musa memukul tongkat baginda ke batu, diselamatkan dari kekejaman Firaun melepasi Laut Merah dan lain-lain lagi, tetapi mereka tetap dengan kekufuran mereka setelah mereka terselamat.
Mereka bukannya bersyukur dengan makanan yang diberikan bahkan meminta makanan lain pula seperti bawang putih, mentimun, sayur-sayuran dan kacang. Mereka menyembah patung anak lembu semasa ketiadaan nabi Musa, mengubah kitab Allah, melanggar perintah Allah untuk tidak menangkap ikan pada hari sabtu dan meminta untuk melihat Allah. Hasil dari kedegilan kaum Yahudi ini maka Allah telah menghinakan mereka menjadi bangsa yang papa kedana dan pada satu peristiwa lain, mereka diubah oleh Allah menjadi babi dan kera. Mereka juga dibenci oleh kebanyakan kaum lain atas sikap mereka itu.
Khusus dalam ayat 67-74 iaitu kisah nama surah ini diberikan, Bani Israel adalah satu golongan yang suka berlebih-lebih dalam bertanya dan cuba melengah-lengahkan suruhan Allah. Sikap ini telah menghancurkan mereka kerana bermula dari suruhan mudah untuk mencari lembu, akhirnya mereka terpaksa bersusah-payah dan hampir-hampir gagal menemuinya. Nabi Musa sendiri meminta berlindung kepada Allah dari golongan yang jahil ini. Kerasnya hati Yahudi ini walaupun telah diberikan kitab, mukjizat dan kenikmatan yang tidak didapati oleh orang lain, mereka tetap kufur kepada Allah.
Dalam tafsir al-Maraaghi dinyatakan tiga kesalahan besar oleh pendita-pendita dan penulis-penulisnya iaitu meminda isi Kitab Taurat dengan mengubah keterangan sifat-sifat nabi Muhammad saw di dalamnya, berdusta atas nama Allah dengan rekaan-rekaan yang mereka tulis dan mengambil upah atas kerja jenayah yang mereka lakukan itu. Allah memberitahu bahawa Yahudi dan Nasrasni tidak akan sekali-kali redha dengan ajaran yang dibawa oleh nabi Muhammad saw sehinggalah kita mengikut mereka. (sekarang ini terlalu ramai umat Islam yang telahpun mengikut mereka dalam semua bidang).
Turut dinukilkan dalam juzuk ini ialah, sejarah berkaitan nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Ismail yang diperintahkan Allah bagi menjadikan Baitullah sebagai tempat ibadat kepada agama Islam. Nabi Ibrahim berwasiat kepada anak cucunya agar tidak mati melainkan dalam keadaan Islam. Semua rasul-rasul adalah sama, tiada beza antara mereka, mereka mentauhidkan Allah. Allah menafikan dakwaan Yahudi dan Nasrani bahawa nabi Ibrahim, Ismail, Ishaq dan Yaakub adalah beragama Yahudi atau Nasrani kerana para rasul ini telahpun ada agama mereka iaitu Islam sebelum kehadiran Yahudi dan Nasrani ini.  
Marilah kita sama-sama merenung isi kandungan juzuk ini dan cuba mengambil pengajaran daripadanya. Wallahua’lam.

0 comments:

Post a Comment