Angkat Sumpah

Hari mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Bukit Payong

Aktivi

Sebahagian aktivi dalam melunaskan amanah sebagai Adun.

HEADER

HEADER

Friday, October 30, 2015

Bersyukur terima sumbangan


Hati mana yang tidak gembira apabila diwaktu kewangan terdesak dan peralatan penting di rumah pula rosak, tiba-tiba mendapat jemputan ke majlis penerimaan sumbangan peralatan rumah.
Begitulah luahan perasaan oleh Puan Hashimah Abdul Rahman 49, salah seorang penerima sumbangan barang keperluan rumah daripada Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong.
Ibu tunggal yang masih mempunyai tanggungan yang bersekolah itu, melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jawatan kuasa MTD yang telah bertungkus lumus merancang program kebajikan ini.
Hashimah yang menerima sumbangan sebuah mesin basuh menjelaskan bahawa mesin basuh kepunyaannya sekarang ini kebetulannya rosak dan dia menghadapi masalah kewangan untuk membelinya kerana hanya bekerja sebagai pembantu kantin.
Sumbangan peralatan rumah itu telah dianjurkan oleh MTD Bukit Payong semalam dalam satu majlis ringkas di bangunan Kompleks Pendidikan Madrasah Darul Iman (MDI) di Kedai Buluh.
Seorang lagi penerima Encik Mohammad Amin Hasan 65, turut mengucapkan terima kasih diatas usaha yang sangat membantu rakyat ini oleh MTD Bukit Payong.
Bagi beliau bantuan seperti ini sekiranya mampu, perlu diperluaskan lagi dan beliau berpendapat, tidak semestinya orang yang sama menerimanya.
Menurut Pengerusi  Lajnah Kebajikan MTD Bukit Payong Encik Mustaffa Yaakob, seramai 11 orang yang dikategorikan layak menerima sumbangan ini telah dikenal pasti oleh pihaknya.
Tambah beliau, semua peralatan ini adalah hasil sumbangan oleh beberapa pihak yang mengamanahkannya untuk diagihkan kepada mereka yang layak untuk menerimanya di sekitar Bukit Payong.
Katanya lagi, selain daripada mesin basuh, peralatan seperti dapur juga diberikan kepada beberapa orang yang lain bagi membantu meringankan beban mereka.
Sumbangan disampaikan oleh Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Friday, October 23, 2015

Kenali mana satu keutamaan


 
Ahli PAS digesa untuk mengetahui yang mana satu perkara keutamaan dalam jemaah agar tidak terkeliru dalam membuat keputusan serta tidak terikut-ikut pemikiran orang yang menyeleweng.
Demikian gesaan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika berucap dalam Majlis Konvensyen Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Kemaman.
Jelas beliau lagi dalam Islam ada kaedah yang dipanggil sebagai ‘tsawaabit’ iaitu perkara dasar yang tetap yang mesti kita ikut dan tiada kompromi, dan perkara ‘muruunah’ atau fleksibel yang boleh berubah mengikut keadaan.
Konvensyen yang diadakan di Dewan Taman Islam Kemaman itu, turut dihadiri oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid, Timbalannya Ustaz Nik Nasri Malik dan Adun Cukai Haji Hanafiah Mat.
Sambil memberi contoh dasar seperti amanah dalam agama, ianya tidak boleh diubah walau apa jua keadaan kerana itu adalah perkara asas yang utama, malah dalam mana-mana agama sekalipun amanah ini adalah perkara terpenting.
Beliau yang juga Adun Bukit Payong menegaskan bahawa kegagalan segelintir ahli memahami peraturan ini, menyebabkan mereka keluar parti.
Mereka menolak keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS kerana bagi mereka, keputusan itu tidak memenuhi kehendak mereka.
Sedangkan perkara dasar yang diasaskan ketika penubuhan PAS dahulu iaitu berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias, maka perkara-perkara dasar itu mesti dipertahankan oleh MSU, bukannya untuk memenuhi kehendak sesetengah orang.
Ini kerana menurut beliau lagi, PAS adalah parti yang berteraskan Islam yang berhasrat melaksanakan nilai-nilai dan hukum-hakam bagi menuju keredhaan Allah.
Beliau turut berpesan agar tidak menjadi takjub dengan kehebatan seseorang di dunia ini sebelum terbukti dia mati dalam ketaatan.
“Jangan kita takjub dengan amalan seseorang kerana kita belum tahu apa pengakhiran mereka kerana ada penulis wahyu di zaman rasulullah juga akhirnya murtad dan begitu juga iblis yang enggan menurut arahan Allah,” pesan beliau.
Sehingga kini, walaupun PAS telah dilobi di luar negara oleh pihak-pihak tertentu sebagai parti yang sudah jauh menyeleweng dari Islam, namun kebenaran tetap berpihak kepada mereka yang beristiqamah.
Banyak pihak yang menerima berita itu telah menghubungi PAS kembali bagi mendapatkan penjelasan balas dan alhamdulillah kata beliau, Presiden PAS telah memberikan penjelasan yang jitu kepada mereka dan mereka menerimanya.
YB Ustaz Mohd Nor kemudiannya menyeru kepada semua kira-kira 200 ahli yang hadir agar memperteguhkan jamaah dengan melipat gandakan gerak kerja bagi menghadapi pilihanraya yang bakal menjelma.
Bagi beliau, isu parti yang baharu ditubuhkan itu seharusnya tidak menjadi gangguan kepada ahli-ahli PAS kerana sekarang sudah nyata ketiadaan mereka telah memberikan ruang yang luas bagi PAS bergerak lebih maju.

Saturday, October 17, 2015

Ucapan bersemangat pimpinan gegarkan HF60K



Ucapan dalam program telah dimulakan oleh Pengarah Program Himpunan Fastaqim iaitu YB Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz yang mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran yang begitu ramai pada malam ini.
Seterusnya beliau juga percaya sekiranya ayahanda beliau masih hidup, pasti beliau akan gembira dengan perhimpunan yang begitu ramai ini
Beliau yang jelas tidak dapat menahan rasa sedih kerana mengenang ayahanda beliau, sebak ketika menyebut berkenaan almarhum ayahandanya.
Manakala N. Balasubrmaniam Pengerusi Dewan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) pula berkata kehadiran yang begitu ramai hari ini membuktikan PAS adalah untuk semua, parti untuk semua bangsa dan agama.
Krisis dalam PAS tidak menjejaskan sokongan DHPP kepada PAS kerana DHPP tetap beristiqamah dengan PAS sehingga kemenangan.
“Kami akan terus bersama PAS selama-lamanya.
Biar orang bukan Islam hairan bagaimana kami boleh hidup bersama PAS.
DHPP ingin melihat Presiden PAS menjadi Perdana Menteri.
Dengan itu DHPP akan membantu PAS menarik sokongan bukan Islam untuk mengundi PAS dalam PRU akan datang,” katanya disambut dengan laungan takbir oleh hadirin.
DHPP juga berjanji akan terus mendokong prinsip yang dibawa oleh PAS.
Manakala ucapan yang begitu bersemangat oleh Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad berkata kehadiran ini sekaligus menafikan cakap-cakap yang mengatakan PAS akan terpinggir dari arus politik Malaysia.
Di Selangor contohnya kata beliau, dalam masa tiga minggu, PAS Selangor telah berjaya mengumpul sehingga enam ribu keahlian baru.
Sambil beliau menekankan bahawa PAS kuat bukan kerana diri ahlinya tetapi Pas kuat kerana memartabatkan Islam, maka Allah menguatkan PAS.
Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Amar Nik Abdullah, mengucapkan terima kasih atas kehadiran peserta kali ini dan ini menurut beliau lagi, menambahkan semangat PAS Kelantan bagi mempertahankan Kelantan.
Seorang lagi Naib Presiden PAS YB Ustaz Idris Ahmad menekankan bahawa jangan sekali-kali masuk PAS kerana kehebatan individu atau geram kepada musuh sebaliknya kerana asas PAS iaitu Islam.
PAS tidak kurang dalam hilang beberapa tokoh yang hebat seperti bekas (ketika itu Yang DiPertua PAS) Dato’ Asri Muda tetapi PAS tetap kekal dan meneruskan perjalanan politiknya tanpa terjejas dengan pemergian tokoh-tokoh tersebut.
Beliau turut menekankan bagi seluru ahli PAS Kelantan untuk mempertahankan kemenangan PAS di Kelantan yang beliau gelar sebagai ‘Guru Politik Malaysia’ kerana kebanyakkan tindakan politik yang diperkenalkan PAS bagi kebaikan rakyat, ditiru oleh pusat.

Jangan bina jahiliyyah atas jahiliyyah




Itulah antara pesanan penting dari Timbalan Presiden PAS Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya di Program Himpunan Fastaqim 60K.
Atas maksud itulah beliau menekankan bahawa pembinaan negara melalui remaja dan belia mestilah melalui proses Islamisasi dan bukannya hanya menukar kerajaan semata-mata kerana cara begitu tidak akan berbeza dengan pemerintahan yang ada sekarang.
Beliau juga banyak menyentuh berkenaan penyelewengan-penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama melibatkan isu 1MDB.
Saudara Mustafa Kamil Ayob kemudiannya mengambil tempat bagi mewakili Kongres Rakyat untuk berucap dalam majlis malam ini, menegaskan bahawa kehadiran yang sebegitu ramai telah menghampakan harapan agar PAS dihapuskan dalam persada politik Negara.
Kongres Rakyat tambah beliau, akan membawa hasrat rakyat kepada kerajaan, NGO-NGO dan kepada semua pihak yang berwajib bagi memastikan hasrat rakyat diberi keutamaan.
Mantan Naib Presiden Keadilan Rakyat itu menegaskan akan bersama-sama PAS dan NGO-NGO lain bagi memastikan Putrajaya akan diambialih pada PRU ke 14 nanti.
YAB Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yaakob melahirkan keyakinan penuh bahawa kejayaan Kelantan mempertahankan kerajaan Islam sehingga 25 tahun adalah hasil sikap istiqamah ahli-ahlinya.
Kelantan telah membuktikan kepada negeri-negeri lain bahawa ia adalah guru politik dengan cara politiknya yang agak berlainan dengan negeri-negeri lain.
Sambil melahirkan rasa syukurnya dengan kejayaan ini, beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata ianya adalah hasil kesinambungan daripada pemerintahan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pertembungan antara manusia ini menurut Mursyidul Am PAS Dato’ Dr Haron Din pula telah berlaku bermula dari zaman nabi Adam lagi apabila Habil dan Qabil berbalah merebut pasangan.
Maka kata beliau, pihak yang benar-benar ikhlas dalam menyempurnakan suruhan Allah pastilah golongan yang berisitiqamah yang akan mendapat kemenangan dan keredhaan Allah.
Mengakhiri program ialah amanat Presiden PAS iaitu Dato; Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengambil kesempatan membacakan sajak yang digubah khas untuk program ini.
Beliau menegaskan apa sahaja makhluk yang tidak mengikuti jalan-jalan Allah, mereka akan menjadi zalim kerana mereka melampaui batas.
Tambah beliau lagi, politik cara Islam ialah tetap berada dalam jemaah dimasa senang susah dan tidak sewenang-wenangnya bertindak lari dari rumah terutama mendapat pujukan daripada pihak lain.
Sebagaimana contoh yang diberikan oleh beliau iaitu baiah dalam peristiwa Aqabah oleh para sahabat dari Madinah, mereka berisitiqamah dalam baiah mereka sehingga kepada semua khulafa’ ar-rasyidin kerana keimanan mereka.
Himpunan malam ini kata beliau adalah untuk mengukuhkan gerakan ini bagi memastikan PAS kekal dalam keredaan Allah disamping menunjukkan kesungguhan ahli-ahli PAS.
Atas apa jua halangan, ahli-ahli serta pemimpin digesa bersedia dan bersama-sama berisitiqamah untuk mempertahankan Islam kata beliau sebelum mengakhiri ucapan.
Program telah ditangguhkan dengan bacaan doa oleh Presiden PAS yang begitu sebak membacakan bait-bait akhir doa dan bacaan ikrar perjuangan oleh Setiausaha Agung PAS Dato’ Takiyuddin Hassan dan diikuti oleh para hadirin.

Fastaqim 60K melebihi sasaran kehadiran



Menjelang solat isyak, kelihatan hampir segenap penjuru dan ruang Stadium Sultan Muhammad IV telah dipenuhi dengan para penyokong PAS yang telah datang dari segenap penjuru Malaysia.
Dianggarkan sasaran 60 ribu kehadiran penyokong PAS dalam Program Himpunan Fastaqim 60K telah dicapai dan masih ada ramai lagi di luar stadium yang masih beratur untuk memasuki stadium.
Selesai solat isyak berjemaah yang telah diimamkan oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob, Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ustaz Nasrudin Hasan sebagai pengerusi majlis, telah mengumumkan kira-kira 100 ribu yang hadir.
Kemudian beliau mengarahkan ahli-ahli dari Jabatan Amal untuk mengagihkan 60 ribu bendera PAS kepada semua yang hadir.
Acara pertama pada sesi malam ialah acara perarakan masuk keseluruhan AJK PAS Pusat, ketua dewan-dewan, termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS diiringi oleh pasukan motosikal berkuasa besar ke pentas utama.
Selesai AJK mengambil tempat, lagu NegaraKu dan Lagu PAS dikumandangankan seterusnya bacaan al-Quran diperdengarkan.
Gimik pertunjukkan tentera-tentera berkuda kemudiannya mencuri perhatian penonton apabila menggabungkan persembahan montaj serta melakukan aksi silat secara langsung sebelum membuat penyerahan kapsul kepada Presiden PAS.
Acara seterusnya ialah ucapan oleh para pimpinan.

Wednesday, September 9, 2015

Pulau bebas cukai Tasik Kenyir bakal jual arak


Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Jidin Shafee pada Sidang Dun Terengganu 8 September lalu, mengesahkan bahawa arak adalah antara barangan yang akan dijual di Zon Bebas Cukai Kenyir apabila ia mula beroperasi nanti.
Tambah beliau lagi, selain daripada arak, barangan seperti rokok, kain batik, pakaian, kasut serta pelbagai barangan lain turut akan dijual di sana.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh wakil Wakaf Mempelam YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang inginkan penjelasan berkaitan barangan yang akan dijual di Zon Bebas Cukai Kenyir nanti sebagai tarikan utamanya.
Soalan asal oleh wakil Batu Burok, YB Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kepada kerajaan ialah apakah perkembangan terakhir Projek Pembangunan Pusat Bebas Cukai di Kenyir.
Menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah apabila diminta mengulas perkara ini, pengakuan  Dato’ Mat Jidin itu tidak ada yang mengejutkan kerana dasar Umno itu sendiri.
“Bagi saya tindakan Umno itu adalah satu tindakan yang tidak mengejutkan kerana apa yang kita harapkan dari kepimpinan Umno berkaitan dengan Islam.
Inilah Umno yang sememangnya rakyat kenal sejak dahulu, jadi ianya tidak menghairankan.
Jika ini yang dikatakan sebagai dasar kepada pemerintahan Islam ala Umno, maka rakyat seharusnya membuat satu pendirian yang tegas kepada cara Umno ini,” tegas beliau.
Mengulas isu yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah berkata dengan sinis bahawa majoriti masyarakat Hulu Terengganu yang terdiri daripada melayu Islam itu menyambut baik cadangan kerajaan itu.
Tambah beliau lagi, tidak diketahui akan adanya permintaan oleh kaum bukan Islam bagi penjualan arak itu di Zon Bebas Cukai Kenyir.
“Kami warga Hulu Terengganu khususnya daerah tempat Batu Bersurat ini sangat berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah mendedahkan bagaimana sucinya perjuangan agama bangsa dan negara yang didendangkan kepada rakyat.
Dan saya percaya masyarakat di Hulu Terengganu ini sangat-sangat mengalu-alukan hasrat kerajaan kerana memilih Kenyir untuk bawa masuk perkara ini.
Sebenarnya tiada permintaan dari kaum bukan Islam untuk pembinaan Kawasan Bebas Cukai yang mempunyai arak ini
Ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri yang bawa masuk (arak).
Oleh itu masyarakat Hulu Terengganu perlu nilai perjuangan sebenar Umno dan kami Pemuda PAS dengan secara asas sangat-sangat sedih dengan pengumuman yang diisytiharkan di dalam Dun semalam,” tegas beliau.
Berikut adalah salinan soal jawab diantara Haji Mohd Abdul Wahid Endut dengan Dato Mohd Jidin Shafee dalam sesi soal jawab dalam sidang Dun Terengganu semalam.
Haji Mohd Abdul Wahid Endut: “Apakah jenis barang-barang yang dikatakan akan ditawarkan bebas cukai?
Adakah macam kalau pergi tempat-tempat tertentu di Airport atau Pulau Langkawi yang bebas cukai seperti rokok bebas cukai, arak bebas cukai.
Jika boleh kita nak tahu barang-barang itu yang boleh memberikan semacam motivasi untuk orang pergi.Jikalau sekadar arak dengan rokok orang tak pergi bebas cukai pun melainkan yang suka hisap rokoklah.
Dato’ Mohd Jidin: Mengenai barang-barang, kita ada beberapa cadangan tetapi oleh kerana kita tak jual lagi, nak jawab payahlah, arak ke mungkin kain batik ke.
Yang saya difahamkan kasut ada, baju ada, beg tangan ada, arak pun ada, pinggan mangkuk pun ada.

Kerajaan tidak berhasrat minta royalti 20 peratus


Kerajaan hari ini melalui kenyataan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman secara jelas menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk meminta royalti sebanyak 20 peratus seperti kerajaan Sarawak lakukan.
Menjawab soalan tambahan oleh wakil Wakaf Mempelam, YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang bertanyakan adakah kerajaan negeri akan mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak yang meminta 20 peratus royalti, Ahmad Razif menegaskan kerajaan negeri tiada hasrat itu.
Sebaliknya beliau menjelaskan kerajaan negeri telah meminta kerajaan pusat agar memberikan lebih kemudahan kewangan dalam banyak bentuk lain kepada kerajaan negeri.
Sebagai contoh, beliau memberitahu dewan bahawa kerajaan negeri telah mendapat kira-kira RM3 billion nilaian termasuk kemudahan dan pelbagai lagi daripada kerajaan pusat.
Soalan asal telah dikemukakan oleh wakil Rhu Rendang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Menteri Besar berbunyi Apakah status terkini telaga minyak Blok PM 307 Bertam dari sudut pemilikannya serta setakat manakah proses carigalinya telah dilaksanakan.
Apabila Haji Mohd Abdul Wahid bertanyakan berkenaan status kes saman royalti antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, Razif menyatakan bahawa kes saman itu telah ditarik balik oleh kerajaan negeri.
Mengulas berkenaan isu itu wakil YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, tindakan YAB MB itu merugikan rakyat negeri Terengganu kerana berapakah bandingan antara RM3 billion dengan lebihan 15 peratus yang sepatutnya diperolehi rakyat.
“Beliau sepatutnya melihat dengan lebih jauh dan berani bagi memperjuangkan hak rakyat, tapi sayangnya dia memilih untuk mendiamkan kehendak seluruh rakyat.
Semestinya dia sedar akan jumlah RM3 billion itu adalah jauh lebih rendah daripada 15 peratus royalti itu iaitu kira-kira RM6 billion, jadi apakah yang hendak dibanggakan dengan RM3 billion itu bila kita sepatutnya menerima RM6 billion?,” soal beliau.
Ketua Penerangan PAS Terengganu itu juga membidas jawapan yang diberikan oleh Razif berkaitan penarikan balik saman royalti kerajaan Terengganu ke atas kerajaan pusat yang menjadikan kerajaan Kelantan sebagai rujukan samada meneruskan kes tersebut atau tidak.
Tetapi apabila timbul isu berkaitan dengan meminta royalti 20 peratus dari kerajaan pusat, Razif tidak pula mahu menjadikan Sarawak sebagai kes rujukan, sebaliknya seperti mahu menyerlahkan sikap penakutnya.
Untuk rekod, lima peratus royalti minyak Terengganu ialah sebanyak kira-kira RM2 billion setahun.
Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada kali ini berlangsung selama separuh hari pada 8 September 2015.

Saturday, July 11, 2015

PAS Bukit Payong ‘kejar’ pahala


Dalam satu hadis riwayat at-Tirmizi “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut”.
Dan dalam surah al-Baqarah ayat 148 pula yang bermaksud “ Oleh itu berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebaikan”.
Kedua-dua ayat dan hadis ini telah menjadi sebagai pemangkin Ajk Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payong dalam mengerjakan kebajikan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini bagi menambah pahala.
Dengan niat mahu melakukan kebajikan, semalam, seramai kira-kira 25 orang petugas yang sebahagian besar mereka terdiri daripada Ajk MTD Bukit Payong telah mengadakan program pengagihan bubur lambuk di sekitar Bukit Payong.
Dua lokasi utama telah dipilih menjadi tempat agihan iaitu di persimpangan lampu isyarat Masjid Bukit Payong dan juga di hadapan Pasar Kedai Buloh.
Sebanyak 500 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada orang ramai selepas asar dan habis dalam masa kira-kira setengah jam sahaja.
Menurut penyelaras program Ahmad Sahrizan Yahya, program ini adalah pertama kali diadakan bagi oleh MTD dan tidak menyangka sambutan yang begitu menggalakkan dari orang ramai.
“Kita sediakan kira-kira 500 bekas bubur lambuk dan habis dalam masa 30 minit sahaja.
Disamping mengagihkan bubur ini di tepi jalan, kita juga bergerak ke beberapa rumah orang-orang tua dan uzur untuk diberikan kepada mereka.
Kita tak jangka sambutan yang sangat menggalakkan ini, alhamdulillah.
InsyaAlah selepas ini, kita akan berbincang bagi menjadikannya sebagai acara tetap MTD,” kata Sahrizan.
Pada kebiasaan dibulan Ramadan, sememangnya amalan memberi makanan berbuka puasa sebegini, masih menjadi tradisi di kebanyakan tempat di Terengganu.

Friday, July 3, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 30 : Bacaan Tiga Minit

Surah Ibrahim. Diturunkan di Mekah, mengandungi 52 ayat. Dinamakan Ibrahim bersempena nama Nabi Ibrahim mulai ayat 35. Al-Quran adalah gunanya bagi rasul mengeluarkan manusia dari kegelapan kekufuran kepada cahaya keimanan. Jangan kita jadi orang yang mengutamakan dunia, menghalang manusia dari agama Allah kerana itulah ciri-ciri orang yang sesat. Nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan kepada sesuatu kaum adalah dari kalangan mereka sendiri bagi memudahkan kefahaman. Hidayah dan dan kesesatan adalah milik Allah.
Bani Israel mempunyai banyak keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah. Maka Allah menyuruh mereka mengenang “Hari-Hari Allah” itu supaya mereka bersyukur. Dan kesyukuran itu akan ditambahkan nikmat, tetapi jika kufur, azab Allah sangat keras. Allah tidak rugi apa-apa jika manusia kufur. Sebagaimana yang terjadi kepada kaum nabi-nabi yang terdahulu yang kufur, mereka merana terkena azab. Setelah diberi dalil, mereka menolak dan meminta mukjizat lain sambil mengejek. Bukan itu sahaja, nabi-nabi itu diugut untuk diapa-apakan. Tetapi Allahlah yang menjadi penyelamat orang-orang yang beriman
Azab neraka yang mereka akan lalui iaitu meminum air tubuh mereka yang dibakar, busuk. Mereka mesti minum walaupun tidak mahu, dan mereka tidak akan mati di dalam neraka. Orang yang kafir, usaha baik mereka hanyalah seperti debu yang berterbangan ditiup angin. Sia-sia kerana dia sesat. Pengikut kepada golongan kufur akan mencari ketua mereka minta dilepaskan dari seksa neraka. Tetapi ketua mereka sendiri tidak terlepas dari azab. Hinggakan syaitan juga berlepas diri dari semua orang yang mengikutinya ketika di dunia dahulu dan membenarkan Allah. Manakala balasan bagi orang-orang yang yakin dan beriman kepada Allah adalah syurga yang kekal abadi
Kalimah yang baik seperti tauhid, zikir, al-Quran atau kalimah iman ibarat satu pohon yang bagus, akarnya mencengkam kuat dan pucuknya menjulang tinggi. Mengeluarkan buah yang lazat dengan izin Allah, ianya memberi manafaat yang banyak. Manakala sebaliknya kalimah yang buruk seperti syirik, diibaratkan sebagai satu pokok yang yang tidak berguna dan subur. Tidak gagah berdiri, akarnya bila-bila masa boleh tercabut. Begitulah bandingan kepada orang yang beriman – pokok yang bagus dan orang-orang kafir seperti pokok yang tidak berguna. Allah membantu orang beriman agar tetap teguh dengan pendirian mereka dunia dan akhirat
Banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia, sehingga tidak akan mampu manusia membilangnya, tetapi manusia tetap ingkar. Contoh dalam peristiwa Nabi Ibrahim dengan kaumnya yang menyembah berhala ketika di Bablyon. Nabi Ibrahim kemudiannya berpindah ke Mekah dan berdoa kepada Allah agar keturunannya tidak menyembah berhala, tetapi tetap mendirikan sembahyang yang benar kepada Allah. Baginda juga mendoakan agar Mekah dijadikan tempat bagi tumpuan manusia, diberi keamanan, mensyukuri dikurniakan Ismail dan Ishak walaupun dia sudah tua, memohon keampunan kepada orang tuanya.
Allah tidak pernah lalai daripada kaum yang kafir,Cuma menunggu masa sahaja, untuk mengazab mereka. Dan apabila datang azab, mereka akan terbeliak tercengang dengan apa yang berlaku kerana kebingungan. Ketika itu, orang yang zalim merayu utnutk diberikan peluang kembali ke dunia, bagi menyahut kembali seruan Allah di dunia dahulu. Tetapi mereka ditempelak kembali kerana di dunia dahulu mereka telah diberi masa dan sebaliknya mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan diapa-apakan selepas mati nanti. Sedangkan kesan kaum yang derhaka kepada Allah telah ada dan dilihat oleh mereka.
Mereka yang merancang kejahatan kepada Islam, akan Allah membalas balik rancangan mereka itu, walau sehebat manapun mereka rasa rancangan mereka itu. Jadi Allah tahu dan sedar akan rancangan mereka. Dan apabila tiba masa dibangkitkan, orang-orang yang berdosa akan berada dalam keadaan diberkas dan dibelenggu, pakaian mereka dari minyak tar dan seluruh muka dan badan mereka diliputi jilatan api neraka. Ini berlaku kerana Allah mahu membalas tiap-tiap usaha manusia di dunia dahulu. Oleh itu, baca dan kajilah al-Quran kerana ianya adalah peringatan bahawa Allah itu tuhan yang Maha Esa, tiad sektu baginya dan Dia berkuasa atas segala makhluk di dunia dan akhirat. Kemana lagi kita mahu berlepas diri? Tamat Surah Ibrahim dan juzuk ke-13. Wallahua’lam

Tadabbur Ringkas Quran 29 : Bacaan Tiga Minit

Muqaddimah Surah ar-Ra’d (Guruh). Diturunkan di Mekah, mengandungi 43 ayat. Pada permulaan surah, diberi pernyataan, langit yang dibina tiada bertiang, yang Dia bersemayam di atas arasy, menjaga peredaran cakerawala dan segala kuasa pentadbiran alam ini adalah ciptaan dan kepunyaan Allah. Sampai masa, semuanya akan musnah dan semua makhluk akan mengadap Allah. Pada bumi juga ada tanda-tanda, jika manusia mahu berfikir tentang kebesaran Allah.
Tetapi yang menghairankan, orang kafir masih bertanya dengan keraguan adakah mereka yang telah mati akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian baharu. Kemudian dengan nada sinis, memohon kepada rasulullah agar diturunkan azab. Sedangkan mereka telah lihat sediri tanda-tandanya yang tidak jauh dari mereka. Mereka juga meminta mukjizat seperti nabi-nabi sebelum ini (menunjukkan mereka percaya mukjizat nabi dan azab yang terkena pada kaum sebelumnya). Tetapi Allah menyatakan rasulullah hanyalah membawa peringatan azab dan nikmat dan akan memimpin kaumnya ke jalan yang benar.
Allah mengetahui perkara yang ghaib, sehinngakan janin dalam rahim ibu, bagaimana keadaannya, Allah tahu. Oleh itu, samada manusia mahu menyembunyikan sesuatu dalam hatinya atau menzahirkannya, Allah tahu akan perkara itu. Allah mengirim malaikat untuk menjaga setiap manusia (malaikat hazafah. Malaikat ini berlainan dari Kiraaman Kaatibiin). Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah nasib mereka sendiri. Iaitu jika kaum itu kaya dan baik akhlaknya, mereka tidak membuat dosa, maka Allah akan kekalkan mereka dalam kebaikan. Sehinggalah mereka mengubah cara mereka kepada akhlak yang keji, kerana itulah bermulanya kehancuran kehidupan.
Petir, kilat, guruh dan hujan adalah kejadian ciptaan Allah. Orang yang mensyirikkan Allah diibaratkan membuat kerja sia-sia seperti membuka tangan mereka dan mengharapkan air masuk ke dalam mulut mereka yang pastinya tidak akan sampai. Sedangkan semua makhluk Allah di alam ini tunduk kepadaNya samada suka atau tidak, disedari atau tidak. Buktinya, jika ditanya kepada orang kafir, siapakah yang mentadbir langit dan bumi ini, maka dijawab mereka, Allah. Tetapi mereka tetap berdegil walaupun diberikan bukti-bukti yang nyata. Bandingan yang hak dengan yang batil ialah seperti hujan yang turun, membasahi bumi, membawa bersama buih-buih. Dan barang-barang seperti emas, perak yang dibakar, akan meninggalkan buangannya. Maka yang menyuburkan bumi serta memberikan hasil ialah air hujan dan buih berlalu pergi. Yang menjadi perhiasan ialah emas dan perak, tetapi bahan buangannya tiada harga. Maka itulah bandingan antara yang hak dan batil.
Bagi orang yang diazab kerana menolak seruan Allah, mereka sanggup untuk menebusnya dengan harta sepenuh bumi atau sekali ganda. Sayangnya kerana mereka tidak mahu menggunakan akal ketika hidup. Bagi hamba Allah yang menuruti segala perintah Allah samada yang wajib dan sunat kerana takutkan Allah akan diberi balasan yang sebaik-baiknya iaitu syurga, hidup bersama keluarga (jika keluarga juga beriman) dan disambut malaikat. Dunia ini adalah kesenangan kecil sahaja berbanding akhirat. Atas dunia, Allah memewahkan dan menyempitka rezeki sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Zikir kepada Allah adalah satu cara mententeramkan hati. Rasulullah diutuskan adalah bagi mengajak manusia kemabali kepada Allah dengan mukjizat al-Quran. Al-Quran ini adalah mukjizat, tetapi orangkafir tidak mahu mengakuinya. Mereka meminta mukjizat dalam bentuk lain sambil mengejek-ngejek rasulullah. Sedangkan nabi dan rasul terdahulu juga mendapat nasib yang sama, sehinggalah Allah menurunkan azab ke atas mereka yang menentang. Orang kafir ini telah diperdaya oleh iblis dengan memperhiaskan kesyirikan itu supaya Nampak benar dan hawa nafsu mereka pula menyekat untuk mereka melihat kebenaran. Dan pastilah mereka akan ke neraka.
Dengan turunnya al-Quran, Allah memberitahu bahawa sebahagian kecil ahli kitab gembira kerana mereka mebaca kitab dan percaya. Mereka jujur dengan kebenaran dan kemudiannya masuk Islam. Manakala sebahagian besar lagi tetap kufur, malah mengadakan pakatan untuk menghancurkan Islam. Allah turut member amaran kepada rasulullah, jika sekiranya rasulullah mengikut hawa nafsu, maka tiada apa yang akan dia peroleh dari Allah.
Kedegilan orang kafir sangat keras kerana biarpun telah meilhat kesudahan bagi orang yang menentang Allah, mereka tetap menentang. Usaha mereka bagi melancarkan serangan kepada rasulullah digagalkan Allah. Mereka berkeras tidak mahu mengakui kerasulan Muhammad saw, tetapi Allah memberikan jaminan yang Dia menjadi saksi kerasulan Muhammad saw dan juga melalui kitab Taurat, Zabur dan Injil, telahpun dinyatakan dan diperakui oleh mereka yang jujur dalam berpegang kepada kitab-kitab itu semua. Wallahua’lam. Tamat Surah ar-Ra’d.

Wednesday, July 1, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 28 : Bacaan Tiga Minit

Juzuk ke-13. Masih dalam surah Yusuf. Setelah Nabi Yusuf dibersihkan daripada fitnah dan keluar dari penjara yang mana dia kemudiannya dilantik oleh raja menjadi pembesar Mesir. Di sini ada sedikit perkara yang menarik iaitu Nabi Yusuf meminta supaya dia dijadikan sebagai penjaga perbendaharaan Mesir dalam ayat ke-55. Maka ayat ini dijadikan dalil harus seseorang itu jika benar-benar amanah boleh meminta jawatan yang ada padanya kebolehan untuk dia menjawat jawatan itu. Begitulah caranya Allah menaikkan martabat Nabi Yusuf dan Dia berkuasa memilih sesiapa sahaja untuk itu. Namun kemuliaan ini tidak dapat menandingi kemuliaan akhirat.
Saudara-saudara Nabi Yusuf diperintahkan oleh Nabi Ya’kub untuk datang dari Palestin ketika musim kemarau kerana mencari makanan seramai 10 orang tanpa adik kandung Nabi Yusuf, Bunyamin. Nabi Yusuf masih ingat akan saudara-saudaranya itu tetapi menyembunyikannya. Nabi Yusuf mengatur rancangan untuk bertemu Bunyamin dengan memberikan bekalan kepada mereka dan meletakkan kembali barang dagangan mereka yang dibawa sebagai tukaran tanpa pengetahuan mereka. Nabi Yusuf memberi syarat kedatangan mereka pada lain kali mestilah dengan Bunyamin atau tiada bekalan lagi yang akan diberikan. Apabila mereka pulang ke Palaestin, segera mereka memujuk Nabi Ya’kub agar membenarkan Bunyamin mengikuti mereka bagi mereka menerima lagi bekalan dari Nabi Yusuf.
Nabi Ya’kub sudah hilang kepercayaan kepada anak-anaknya kerana peristiwa mereka dengan Nabi Yusuf dulu. Tetapi apabila mereka melihat bekalan mereka dikembalikan oleh Nabi Yusuf, maka mereka semakin bersungguh untuk membawa Bunyamin bersama kerana pastinya mereka akan mendapat lagi bekalan. Akhirnya Nabi Ya’kub membenarkan mereka membawa Bunyamin tetapi dengan sumpah atas nama Allah untuk menjaga Bunyamin. Dengan pelbagai pesan agar menjaga keselamatan, seperti menyuruh mereka masuk ke Mesir melalui berlainan pintu agar mereka tidak dilihat sebagai satu kumpulan berbahaya. Merekapun berangkat ke Mesir sekali lagi. Tetapi malang, Bunyamin kemudiannya ditangkap kerana dituduh mencuri bejana raja ketika mahu pulang ke Palestin
Nabi Yusuf diilhamkan oleh Allah menggunakan cara itu untuk memisahkan mereka dengan Bunyamin, kekal tinggal di Mesir kerana ditahan mencuri. Tetapi apabila terbukti bejana itu ada dalam simpanan Bunyamin, saudara-saudara mereka segera menuduh dengan berkata saudara kandung Bunyamin (Nabi Yusuf) juga dulu juga pernah mencuri, yang membuatkan Nabi Yusuf merasa marah, tetapi ditahannya. Setelah usaha mereka cuba memujuk agar Bunyamin diganti dengan salah seorang dari mereka gagal, maka bermesyuaratlah mereka tentang bagaimana mahu memberitahu kepada Nabi Ya’kub. Abang mereka yang sulung, memutuskan untuk tinggal di Mesir kerana malu atas kegagalan mereka menjaga Bunyamin.
Mereka kemudiannya memberitahu perkara yang berlaku kepada Nabi Ya’kub dan berlepas diri dengan perbuatan Bunyamin kerana bukan salah mereka. Nabi Ya’kub kecewa bila mendengar cerita itu tetapi dia seorang yang sangat penyabar sambil berharap kedua-dua Bunyamin dan anaknya yang sulung akan kembali kepadanya. Nabi Ya’kub langsung teringatkan Nabi Yusuf dan menimbulkan rasa tidak puashati anak-anak mereka kerana mata Nabi Ya’kub menderita disebabkan menangis teringatkan Nabi Yusuf. Nabi Ya’kub kemudiannya memerintahkan anak-anaknya agar tidak berputus asa mencari semula Bunyamin dan Nabi Yusuf. Merekapun bertolak kembali ke Mesir, tetapi dengan membawa barang dangan yang kurang mutunya kerana kemarau. Mereka meminta belas ihsan nabi Yusuf untuk menerima barangan mereka seperti biasa dan menegmbalikan Bunyamin kepada mereka.
Ketika itulah Nabi Yusuf mengungkit kembali kisah mereka membuangnya dahulu yang menyebabkan mereka terkejut. Mereka meminta kemaafan dan sedar akan ketaqwaan dan kesabaranlah Nabi Yusuf maka dia ditinggikan kedudukannya. Nabi Yusuf yang berjiwa besar, memaafkan kesemua adik beradiknya kerana kejahilan mereka dahulu. Dia kemudiannya memberikan bajunya untuk diletakkan ke muka Nabi Ya’kub yang akan membuatnya dapat melihat dengan sempurna semula. Kekuatan perasaan kasih seorang ayah, dapat menghidu bau Nabi Yusuf, walaupun rombongan anak-anaknya masih belum sampai ke Palestin. Sehinggakan dia dikatakan oleh ahli keluarga yang bersamanya di Palestin sebagai tidak siuman. Selepas semuanya selesai, anak-anak nabi Ya’kub memohon keampunan atas dosa-dosa mereka yang lalu, Nabi Yusuf menjemput semua saudaranya bersama keluarga mereka untuk tinggal di Mesir kerana Mesir adalah negeri yang selamat.
Kemudian setelah semua keluarganya berkumpul, mereka 11 orang saudaranya dan dua ibu bapanya, tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf, bertepatan sepertimana yang Nabi Yusuf mimpikan dahulu. Akan tetapi sifat tawadhuk sebagi seorang nabi pilihan, Nabi Yusuf sebaliknya memuji Allah atas limpah kurnia yang telah diberikan kepadanya dan memohon agar dia dimatikan dalam keadaan husnul khatimah. Tiada kesombongan dalam hatinya.
Kisah Nabi Yusuf ini adalah perkara ghaib yang diceritakan oleh Allah kepada nabi. Rasulullah walaupun sangat ingin manusia beriman kepada Allah, tetapi kebanyakannya tidak mahu padahal bukan rasulullah meminta upah dari mereka. Walaupun banyak tanda yang Allah berikan, tetap mereka kufur. Orang yang dikatakan beriman juga ada yang melakukan syirik. Mereka rasa mereka aman dari azab Allah. Rasulullah diperintahkan Allah agar menegaskan jalannya dan pengikutnya adalah jalan lurus kepada agama Allah dan bukan dari golongan orang yang mempersekutukan Allah. Kita digalakkan untuk mengembara melihat akan kesan-kesan buruk kaum yang kufur kepada Allah supaya kita bertambah takut kepada Allah. Kaum yang ingkar diberi Allah tempoh bertaubat sehingga pada suatu waktu, Allah akan menyelamatkan para nabi dan rasul dan mengazabkan orang kafir ketika waktunya sudah sampai. Dan azab itu tiada sesiapa yang beoleh menghalangnya. Oleh itu perlu kita mengambil iktibar dengan kisah para nabi dari al-Quran kerana ianya cerita benar dan bukan cerita yang diada-adakan untuk menjadi petunjuk kepada manusia yang terkemudian. Tamat Surah Yusuf. Wallahua’lam.

Sunday, June 28, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 27 : Bacaan Tiga Minit

Surah Yusuf. Diturunkan di Mekah, mengandungi 111 ayat. Kisah Nabi Yusuf memenuhi hampir keseluruhan surah ini. Allah menyatakan al-Quran diturunkan dalam bahasa arab untuk kita memahaminya. Menurut Tafsir al-Qaasimi, bahas arab adalah bahasa yang terbaik yang dapat menampung makna-makna dan rahsia-rahsia al-Quran yang sangat luas itu berbanding dengan bahasa lain. Diturunkan kepada rasulullah kisah yang indah dalam surah Yusuf ini, sedangkan nabi tidak tahu langsung akan peristiwa ini. Nabi Yusuf pernah bermimpi yang sebelas bintang, matahari dan bulan tunduk kepadanya, yang sebenarnya bermaksud 11 adik beradik dan kedua ibu bapanya. Nabi Ya’kub yang memahami maksud mimpi Nabi Yusuf itu, segera mengarahkan Nabi Yusuf mendiamkan hal itu dari adik beradiknya, bimbang mereka berdengki kerana itu adalah tanda kenabian.
Benar, saudara mereka berlainan ibu, menaruh rasa dengki terhadap Nabi Yusuf dan adiknya Bunyamin dan menuduh Nabi Ya’kub tidak adil. Maka dirancang pembunuhan keatas Nabi Yusuf, tetapi salah seorang dari mereka mencadangkan hanya dibuang dalam perigi.Maka dipujuk Nabi Ya’kub agar dibenarkan mereka membawa Yusuf keluar bermain. Nabi Ya’kub mengelak tetapi akhirnya mereka berjaya memujuk Nabi Ya’kub. Mereka kemudiannya membuang Nabi Yusuf ke dalam perigi dan pulang dengan berpura-pura sedih. Mereka mengatakan bahawa Nabi Yusuf mati dimakan serigala sedangkan Nabi Ya’kub tahu mereka menipu. Dan dia hanya berserah kepada Allah dengan bersabar atas kejadian yang menimpa.
Sementara itu, Nabi Yusuf yang ada di dalam telaga itu kemudiannya dapat naik ke permukaan setelah bergayut dengan tali timb yang digunakan oleh pedagang untuk mengangkat air. Saudara Nabi Yusuf kemudiannya datang dan menjual Nabi Yusuf kepada pedagang tersebut dengan harga yang murah sahaja. Kemudian dia dijual di mesir. Tetapi Nabi Yusuf diselamatkan oleh Allah dengan menjadikan tuannya kasih kepadanya dan memberikan layanan yang baik kepadanya. Bahkan Allah mengajarkannya pual dengan ilmu mentakwil mimpi. Nabi Yusuf juga dikurniakan kecerdikan dan ilmu oleh Allah apabila meningkat dewasa.
Ketika ini isteri tuannya, (Zulaikha) berusaha memujuknya untuk berzina, tetapi ditolak oleh Nabi Yusuf dan berdoa agar Allah menyelamatkannya dari perbuatan keji itu kerana dia takutkan Allah. Dan Allah menyelamatkanNabi yusuf dari zina itu. Dan ketika Nabi Yusuf berlari ke pintu untuk keluar, Zulaikha menarik bajunya dan ketika itu muncul lah suaminya, lantas Zulaikha segera membuat fitnah, menuduh Nabi Yusuf cuba berbuat jahat kepadanya. Dan Nabi Yusuf memeprtahankan dirinya. Lalu diberi pendapat oleh saudara Zulaikha yang ada bersama, supaya memeriksa baju kedua-duanya. Baju yang koyak di depan menandakan Nabi Yusuf berbohong dan jika koyak di belakang, Zulaikhalah yang berbohong. Apabila mendapati baju Nabi Yusuf koyak di belakang, maka suami Zulaikha menyuruh Zulaikha bertaubat kerana jelas dia bersalah.
Tersebar berita itu, maka wanita-wanita Mesir mengutuk Zulaikha sebagai perempuan yang keji. Namun bagi membalas kejian mereka itu, Zulaikha membuat satu rancangan dengan menjemput mereka ke majlisnya. Dalam majlisnya dia memberikan pisau kepada semua tetamunya. Dan ketika mereka sedang menggunakan pisau bagi memotong makanan, Zulaikhapun menyuruh Nabi Yusuf keluar ke ruang tamu. Maka tercenganglah tetamu-tetamu wanita itu dan tanpa sedar telah memotong tangan mereka dengan pisau itu. Zulaikha telah berjaya menunjukkan bahawa sememangnya Nabi Yusuf sangat tampan dan pastinya ramai yang terrgoda, bukan dia sahaja.
Nabi Yusuf memohon kepada Allah utnuk dia dipenjarakan bagi menyelamatkan diri dari fitnah dan diperkenankan Allah. Di dalam penjara Nabi Yusuf bertemu dengan dua orang khadam raja. Mereka bermimpi dan meminta ditafsirkan mimpi mereka kerana melihat Nabi Yusuf sebagai orang yang mulia. Walaupun di dalam penjara. Nabi Yusuf masih berdakwah supaya manusia menyembah Allah yang esa. Dan dia menafsirkan mimpi itu, salah seorang daripada khadam itu akan mati dihukum bunuh. Apabila khadam yang terselamat itu keluar, Nabi Yusuf meminta dia memberitahu kepada raja berkenaan dirinya di dalam penjara itu, tetapi khadam itu telah dilupakan oleh syaitan, maka tinggal Nabi Yusuf dalam penjara selama beberapa tahun lagi.
Beberapa tahun kemudian, raja bermimpi akan tujuh ekor lembu kurus memakan tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh tangkai hijau serta tujuh yang kering. Tiada seorangpun yang tahu maksud mimpi itu. Khadam yang terselamat itu lantas teringatkan Nabi Yusuf dan segera menemuinya untuk meminta Nabi Yusuf menafsir mimpi itu. Setelah diterangkan bahawa rakyat Mesir disuruh bertanam selama tujuh tahun dan menyimpan hasilnya kerana Mesir akan mengalami musim kemarau selama tujuh tahun`selepas tujuh tahun menanam itu. Kemudiannya baharulah akan datang subur. Maka segeralah raja memerintahkan agar Nabi Yusuf dibawa mengadapnya dan menyiasat kembali apakah punca dia dipenjara.
Setelah dipanggil semua saksi-saksi, maka mengakulah wanita-wanita itu termasuk Zulaikha yang merekalah yang sebenarnya memerangkap Nabi Yusuf dan mengaku bahawa Nabi Yusuf adalah seorang yang berakhlak mulia. Zulaikha mengaku akan keterlanjurannya tetapi mempertahankan bahawa dia tidak melakukan zina Cuma terpedaya dengan syaitan dan cuba mengajak Nabi Yusuf berzina. Dengan pengakuan itu, maka bersihlah Nabi Yusuf dari segala tuduhan jahat keatasnya. Dan paling penting dia mahu suami Zulaikha mengetahui bahawa dia tidak berzina dengan isteri tuannya itu. Tamat Juzuk 12. Wallahua’lam.

Saturday, June 27, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 26 : Bacaan Tiga Minit

Kisah Nabi Hud dan kaumnya ‘Aad disebut dalam ayat ke 50 yang mana kaumnya juga menyembah selain dari Allah. Walaupun tidak meminta upah dari mereka, dakwah Nabi Hud tetap ditolak oleh kaumnya. Begitulah sikap kaum yang tidak mahu menggunakan akal. Kaum ‘Aad adalah kaum yang tinggal di semenanjung arab, dari kalangan manusia yang gagah, hidup bertani, tetapi hujan jarang turun. Tetapi dalam keadaan kekurangan hujan itupun, mereka masih menyekutukan Allah. Mereka tidak mempercayai Nabi Hud dan berkata Nabi Hud adalah seorang yang gila kerana dijadikan begitu oleh tuhan-tuhan mereka disebabkan pada pandangan mereka Nabi Hud sentiasa mengina tuhan-tuhan mereka.
Tetapi keyakinan Nabi Hud ialah Allah yang menguasai semua makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi ini, bukannya tuhan lain, maka Hud tidak gentar dengan mahkluk. Nabi Hud tidak rugi jika kaumnya menolak seruan dakwahnya kerana Allah pasti akan membinasakan kaum yang kafir dan menggantikannya dengan kaum yang lain. Maka apabila azab iaitu angin ribut yang memusnahkan kaum ‘Aad, nabi Hud tetap selamat. Mereka dimusnahkan kerana sikap mereka sendiri yang mengikut pemimpin yang zalim dan dilaknat sehingga kiamat.
Begitu juga dengan kisah kaum Tsamud, di negeri al-Hijr, dimana dari kalangan mereka sendiri nabi diutuskan iaitu Nabi Salih kerana mahu menyelamatkan mereka dari kesesatan yang nyata dengan tidak menyembah Allah. Walaupun diberikan mukjizat sebagaitanda kenabian, kaumnya tetap derhaka, malah lebih jauh dari itu, mereka menyembelih unta mukjizat Nabi Salih sambil mencabar azab Allah. Maka selepas tiga hari, mereka menerima azab yang dijanjikan dengan suatu suara yang kuat dan mematikan mereka semua dalam kehinaan. Nabi Salih dan pengikutnya, seperti nabi-nabi lain juga, terselamat dari azab itu.
Dikisahkan juga tentang Nabi Ibrahim juga menerima tetamu iaitu malaikat Allah yang dalam perjalanan untuk menghapuskan kaum Lut, sambil membawa berita gembira iaitu Sarah akan mengandungkan Ishak dan kemudian anak Ishak iaitu Ya’qub. Walaupun sarah ketawa tidak percaya, tetapi itulah kehendak Allah. Ibrahim dinyatakan Allah sebagai seorang yang lemah lembut, bimbang akan keselamatan saudaranya iaitu Nabi Lut, tetapi malaikat hanya menurunkan azab ke atas kaumnya dan isteri Lut sahaja, dan Lut akan diselamatkan.
Apabila malaikat sampai ke rumah Lut, mereka menyamar menjadi lelaki-lelaki yang tampan yang mencemaskan Nabi Lut kerana kaumnya yang sukakan seks sejenis, segera datang menyerbu rumahnya untuk mendapatkan tetamu nabi Lut. Walaupun ditawarkan anak perempuannya untuk dinikahkan kepada mereka, mereka tetap menolak dan tetap inginkan tetamu Nabi Lut. Bagaimana kuatnya Nabi Lut menahan dan menghalang kaumnya yang menggila itu, sudah pastinya dia tidak terdaya kerana tiada kekuatan. Namun tetamu Nabi Lut menenangkan dia dengan member jaminan yang kaumnya tidak dapat berbuat apa-apa kepada Nabi Lut. Malaikat-malaikat itu menyuruh Nabi Lut lari meninggalkan kampungnya bersama keluarganya dan pengikutnya yang beriman ditengah malam, kecuali isterinya yang bakal menerima azab kerana menjadi sebahagian dari kaum Lut yang derhaka itu. Apabila tiba waktu subuh, maka negeri Sodom itu diterbalikkan, dihujani dengan batu batan dari tanah yang dibakar secara bertalu-talu. Sebagai peringatan kepada kaum musyrikin, negeri Sodom itu tidak lah jauh dari mereka dan mereka boleh melihat kesan keingkaran kaum Lut itu.
Disebutkan juga kisah di negeri Madyan dekat Jordan, iaitu kaum nabi Syu’aib yang kebanyakan dari mereka ialah para peniaga yang sering menipu dalam timbangan mereka. Dinasihatkan oleh Nabi Syu’aib agar berlaku amanah dalam timbangan, jangan diambil harta secara haram kerana azab Allah akan menimpa orang yang menipu. Lazimnya jawapan yang diterima oleh para nabi dan rasul ini hampir sama, mereka melakukan semua itu kerana menurut ajaran nenek moyang mereka, bukan kerana dalil dari kitab. Dan jelas, mereka juga mengetahui akan azab-azab yang telah Allah turunkan kepada kaum yang derhaka sebelum mereka keranaNabi Syu’aib mengingatkan mereka akan peristiwa itu, tetapi mereka tetap dengan pekerjaan mereka. Pada akhirnya apabila sudah merasa rimas dengan nashat dan teguran Nabi Syu’aib, mereka mengugut mahu membunuh Nabi Syu’aib. Kesedihan sebagai seorang nabi dapat dirasakan kerana dakwahnya tidak diterima dan dia hanay menunggu azab keatas kaumnya sebagai bukti dakwahnya benar. Dan akhirnya kaumnya dibinasakan sama seperti yang terjadi kepada kaum Tsamud, iaitu mereka mati kerana suara pekikan yang kuat.
Begitu juga dengan Nabi Musa yang berhadapan dengan Fir’aun yang akhirnya dibinasakan oleh Allah kerana kesombongannya mengaku tuhan di dalam laut. Walaupun telah ditunjukkan mukjizat oleh Nabi Musa, Fir’aun tetap kufur. Di akhirat, Fir’aun akan mengetuai kaumnya masuk ke neraka dan dia serta kaumnya yang menderhaka, mendapat laknat tidak putus-putus di dunia dan akhirat.
Semua kejadian ini jelas menunjukkan yang manusialah yang menganiaya diri mereka. Dan berhala yang mereka sembah tak dapat menolong mereka sedikitpun. Azab ini semua akan menjadi I’tibar kepada orang-orang yang beriman yang percaya kepada hari pembalasan. Pada hari itu, tiada seorangpun yang dapat menolong seorang yang lain kecuali dengan izin Allah. Jadi jangan kecewa dengan golongan musyrik yang tak menerima Islam. Mereka akan diazab. Yang penting, kena istiqamah atas jalan Allah. Jangan cenderung kepada penzalim, nanti akan dibakar api neraka. Kebanyakan kaum yang diazab itu, orang yang cerdik pandai dan kaya di kalangan mereka tidak mencegah mungkar, tapi sibuk dengan harta dunia. Jika mereka mengamalkan mar ma’ruf nahi mungkar, nescaya Allah akan menyelamatkan mereka. Allah berkuasa menjadikan manusia duduk dalam satu agama sahaja, tetapi Allah berikan akal fikiran kepada mereka untuk mereka berfikir, tetapi mereka memilih untuk melawan Allah. Hanya yang mendapat rahmat bersatu dalam agama Allah. Neraka akan dipenuhi dengan jin dan manusia yang berdosa. Orang beriman akan terlepas dari kejahatan orang yang kufur. Tamat surah Hud. Wallahua’lam.

Tuesday, June 23, 2015

Tadabbur Ringkas Quran 25 : Bacaan Tiga Minit

Surah Hud- Diturunkan di Mekah mengandungi 123 ayat. Dinamakan Hud bersempena peristiwa berkaitan Nabi Hud dalam ayat 50-60.
Al-Quran ialah kitab sebuah kitab yang tersusun dengan ayat-ayat yang teguh dan dijelaskan maksudnya satu persatu dari Allah yang Maha Bijaksana. Ianya tidak akan berubah dan tidak akan dapat diubah maksudnya oleh sesiapapun. Dalam al-Quran dihuraikan kisah para nabi, iktiqad, hukum, nasihat dan banyak lagi. Ini adalah untuk memberikan kekuatan kepada manusia agar tidak menyembaha sesuatu yang lain daripada Allah. Dan rasul adalah pembawa berita azab bagi yang ingkar dan berita gembira bagi yang taat dan beriman. Kepada manusia yang kufur, hendaklah mereka bertaubat daripada kesyirikan, kembali mentaati suruhan Allah supaya Allah memberikan kenikmatan kepada mereka. Jika mereka ingkar, maka azab siksa menanti mereka. Segala yang ada di dalam hati mereka walau mereka mahu menyembunyikannya, Allah tetap mengetahuinya. (Tamat Juzuk 11)
(Juzuk 12) Segala rezeki makhluk Allah, ada tersimpan di dalam Lauh Mahfudz.Dijadikan langit dan bumi dalam masa enam hari, adalah untuk menguji manusia, siapakah yang lebih baik amalannya. Tetapi bagi orang kafir, ianya semata-mata sihir. Jika azab tidak datang segera, mereka mengejek-ngejek apa yang menghalang azab itu untuk datang. Tetapi jika azab itu datang, maka tiadalah yang dapat menghalangnya.
Sikap manusia selalu tidak tahu bersyukur. Jika diuji dengan kesusahan, maka mereka meratapinya seperti mereka tidak pernah mendapat nikmat. Apabila mendapat semula nikmat, maka mereka bermegah-megah dan lupa untuk bersyukur kepada Allah. Kecuali sebahagian kecil yang tetap teguh dengan menyembah Allah walau dalam keadaan susah atau senang, hati mereka tetap dengan Allah. Merka pastinya beroleh keampunan dan pahala yang besar.
Rasul diwajibkan menyampaikan wahyu dari Allah kepada manusia dan tidak boleh melayan orang-orang yang ingkar itu. Ada sebahagian mereka bertanya, kenapa nabi tidak datang dengan harta yang banyak? Atau dengan malaikat? zSedang nabi hanyalah penyampai seruan Allah. Kemudian dituduh pula nabi sebagai yang mereka cipta al-Quran, sedangkan mereka tidak mampu membuat surah-surah sebanding al-Quran walaupun dikerah seluruh manusia. Sepatutnya mereka segera beriman setelah gagal mengemukakan surah sebanding al-Quran. Barangsiapa yang mencari dunia tanpa menjadikan al-Quran sebagai pedoman halal haramnya, mereka akan mendapat bahagian dunia mereka. Tetapi tiadalah bahagian mereka di akhirat nanti kecuali azab neraka. Dan tidaklah sama mereka dengan golongan yang menjadikan al-Quran sebagai saksi dan petunjuk dalam hidup mereka. Maka janganlah ragu-ragu dengan al-Quran kerana ianya benar dari Allah tetapi ramai manusia yang mendustakannya.
Golongan yang berdusta atas agama Allah akan mendapati saksi-saksi dari kalangan malaikat, nabi-nabi dan anggota badan mereka sendiri akan memberikan keterangan tentang kezalimannya. Mereka juga ketika di dunia menghalang orang lain dari membuat kebaikan. Mereka tidak dapat melawan kuasa Allah dan tiada yang dapat membantunya kerana kebenciannya kepada jalan agama Allah yang teramat sangat ketika hidup dahulu. Rugilah mereka itu. Manakala orang beriman adalah golongan yang beruntung di akhirat, tinggal kekal di syurga. Bandingan mereka seperti orang pekak dan buta dengan orang celik dan mendengar.
Nabi Nuh diutuskan kepada kaumnya untuk berdakwah supaya jang menyembah selain dari Allah. Tetapi telah menjadi sunnatullah, para nabi dan rasul, mereka sentiasa disokong oleh golongan miskin, lemah dan tertindas. Jadi pembesar di negri nabi Nuh menolak dakwah nabi Nuh dan menganggap beliau seorang pendusta kerana penyokong nabi Nuh terdiri dari kalangan mereka yang lemah. Namun nabi Nuh bukan mahukan harta mereka, tetapi hanya menyuruh mereka kembali kepada Allah. Dia juga tidak datang dengan membawa kekayaan. Oleh itu pembesar-pembesar itu meminta azab dari nabi Nuh untuk membktikan kebenarannya. Mereka meneruskan penghinaan kepada nabi Nuh dengan menggelarkannya sebagai pendusta dengan menggunakan gelaran nabi. Dan Allah memerintahkan nabi Nuh membuat sebuah bahtera dengan panduan Allah dan berjanji akan menenggelamkan kaum yang zalim itu.
Walaupun diejek, nabi Nuh tetap dengan kerjanya membina bahtera. Apabila tiba masa taufan datang, nabi Nuh diperintahkan agar membawa masuk sepasang binatang untuk tiap-tiap jenis, ahli keluarganya yang taat serta orang-orang beriman. Mereka naik dengan menyebut nama Allah. Pun begitu, ketika melihat anaknya yang berada di luar bahtera, belau memanggilnya tetapi anaknya tetap degil kerana kufur dan diapun mati dalam keadaan derjaka ditelan air. Setala binasa semuanya, maka air diperintahkan Allah supaya berhenti dan bahtera itupun berhenti di atas Gunung Judiy.
Maka binasalah kaum kafir itu, termasuklah anak nabi Nuh sendiri. Dengan sedih dia masih merayu kepada Allah, tetapi ditegaskan Allah anaknya itu bukan lagi dari kalangan keluarganya kerana kekufurannya telah memisahkan nabi Nuh dengan anaknya dan memerintahkan agar nabi Nuh tidak lagi memohon sesuatu yang dia tidak ketahui. Setelah selesai, mereka diperintahkan agar turun dari bahtera dan menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi dengan diberi ingatan oleh Allah bahawa akan terjadi juga dari kalangan ank cucu mereka yang kufur dan akan mendapat azab Allah. Wallahua’lam

Tadabbur Ringkas Quran 24 : Bacaan Tiga Minit

Ketika hari kiamat, penyembah-penyembah patung akan dikumpulkan dan segala patung-patung itu berkata sebagai melepaskan diri, yang kaum musyrik sembah itu, tidak lain hanyalah hawa nafsu mereka sendiri dan Allah sebagai saksi mereka. Dengan itu, hilanglah perkara rekaan mereka ketika hidup dulu. Kaum musyrik ketika di dunia, apabila ditanya siapakah yang menjadikan alam ini, mengaturnya, menghidup dan mematikan makhluk, pasti akan menjawab: Allah lah yang menguasai segalanya. Jadi apa sebabnya mereka tidak mahu bertaqwa? Dan apabila ditanya pula makhluk-makhluk yang mereka sekutukan itu mampu berbuat seperti Allah, mereka mengaku tidak. Dan mereka juga mengakau Allah yang meberi hidayah. Jadi mengapa mereka berpaling daripada pemberi hidayah? Bukan itu semua perbuatan yang tidak dapat diterima akal?
Sebenarnya, kaum musyrik ini menurut sangkaan sahaja, tanpa dalil. Maka al-Quran dan kitab-kitab terdahulu adalah pembawa dalil-dalil keterangan dan tidak ada syak ianya datang dari Allah. Namun tetap orang kafir mengatakan Quran itu rekaan Muhammad. Dan apabila dicabar untuk membawakan surah yang sebanding dengan al-Quran, mereka gagal walaupun dibantu oleh semua pihak. Dan orang yang mendustakan kitab-kitab Allah akan mendapat balasan pedih dari Allah. Oleh itu Allah menyuruh nabi agar berlepas diri dari orang-orang yang zalim ini kerana mereka ibarat orang yang pekak, buta datang mendengar ilmu dari rasulullah tetapi kesalahan juga yang dicari. Hanya Allah pemberi hidayah. Mereka sebenarnya menganiaya diri sendiri.
Hidup ini sangatlah singkat dan amat rugilah orang-orang yang mendustakan Allah. Diutuskan nabi dan rasul kepada semua umat untuk memberikan hukum-hakam dari Allah supaya manusia tidak teraniaya. Tetapi manusia tetap memperolok-olokkan para nabi dan rasul itu dengan bertanyakan bila datangnya azab Allah itu? Sedangkan nabi tidak berkuasa memberi manafaat dan mudharat kepada manusia dan hanya menunggu saat ketentuan Allah sahaja untuk berlaku, tidak lewat ataupun cepat. Tetapi adakah mereka bersedia untuk keluar dari azab jika azab itu benar-benar datang? Dan jika mereka insaf ketika azab itu datang, ianya sudah tidak berguna lagi. Malah jika mereka mengorbankan segala harat mereka untuk menghilangkan azab itu, ianya sia-sia sahaja. Dan Allah tidak menganiaya mereka sedikitpun kerana telah mengutuskan nabi dan rasul kepada mereka.
Bumi ini milik Allah, Dia yang menghidup dan mematikan makhluk, jadi ingatlah. Dia juga menurunkan Quran sebagai nasihat, pengajaran, penawar penyakit batin, juga menjadi hidayah dan rahmat kepada orang-orang beriman. Al-Quran adalah jauh lebih baik dari himpunan segala benda yang tidak kekal.Namun al-Quran telah dijadikan manusia sebagai barang untuk didustakan. Apabila ada hokum yang ditetapkan oleh al-Quran, mereka melanggarnya menunjukkan yang mereka itu tidak tahu bersyukur dengan limpah rahmat dari al-Quran. Segala perbuatan kita samada kecil mahupun besar, akan dicatat oleh malaikat. Oleh itu bagi wali-wali Allah, mereka tidak merasa sedih kerana keimanan dan ketaqwaan mereka terhadap Allah. Mereka gembira menanti janji-janji Allah. Bagi golongan yang ingkar itu, tidak perlulah disusahkan kerana Allah maha mengetahui. Penyekutu Allah ialah golongan yang menurut sangkaan sahaja dan pendusta.
Allah tidak mempunyai anak, sebagaimana dakwaan jahat yang dikatakan oleh kaum kafir. Dan mereka pasti gagal. Jika senang, hanya sementara di dunia sahaja. Akhirat nanti azab yang menanti mereka. Kisah nabi Nuh dinyatakan dalam ayat ke -71 sebagai pengajaran kepada kita iaitu perihal kaumnya yang menolak dan merancang kejahatan ke atasnya. Pesan nabi Nuh, jika kamunya berpaling, tiada yang merugikannya, dia tidak meminta upah kerana upahnya ada di sisi Allah. Tetapi apabila kejahatan ke atas nabi Nuh semakin menggila, maka Allah selamatkan nabi Nuh berserta pengikutnya dari banjir besar. Demikian juga dengan rasul-rasul selepas nabi Nuh, mereka didustakan oleh kamu mereka seperti Fir’aun yang menentang nabi Musa dan Harun. Apabila dibawakan mukjizat, dikatakan sihir dan menuduh nabi Musa datang untuk membolot kekayaan Mesir dari tangan mereka. Apabila nabi Musa menang melawan ahli sihirnya, Fir’aun tetap kufur. Pun begitu, kalimah Allah tetap terpelihara walaupun dibenci oleh ahli maksiat. Penyokong kebenaran hanyalah sedikit bagi melawan kejahatan Fir’aun. Tetapi mereka diberikan berita gembaira yang mereka akan terselamat daripada kejahatan Fir’aun. Allah pula memaqbulkan permintaan nabi Musa agar dimusnahkan harta benda Fir’aun. Apabila dibawa Bani Israel menyeberang Laut Merah, Fir’aun telah ditenggelamkan di dalamnya. Ketika itu Fir’aun berkata beliau beriman kepada Allah, namun taubatnya itu tidak lagi diterima Allah. Manakala jasadnya ditimbulkan Allah supaya menjadi iktibar kepada generasi selepasnya untuk mengambil pengajaran.
Bani Israel dikurniakan kitab yang menerangkan akan kedatangan nabi yang terakhir iaitu nabi Muhammad saw. Oleh itu mereka sebenarnya mengetahui banyak perkara tetapi mereka tetap mendustakan walaupun sudah mendapat kebenaran melalui kitab-kitab mereka itu. Maka rasulullah diberi ingatan oleh Allah agar tidak menjadi dari kalangan orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan ragu-ragu. Orang yang tidak beriman tetap mendustakan ayat Allah sehingga mereka melihat azab. Oleh itu iisah Fir’aun mesti dijadikan sempadan supaya beriman kepada Allah sebelum datangnya azab sebagaimana terselamatnya kaum nabi Yunus yang bertaubat sebelum ditimpa azab oleh Allah. Maka Allah telah mengurniakan kenikmatan dan menjauhkan kehinaan kerana taubat mereka itu diterima Allah.
Rasulullah tidak bertanggungjawab menjadikan semua manusia beriman. Ianya terserah kepada Allah. Jadi tidak perlu bersusah hati dan bersedih, kerana rasul hanya menyampaikan sahaja. Bagi orang yang kufur, walau apapun yang dibuktikan dari kekuasaan Allah, mereka tetap tidak mendapat faedah darinya. Mereka ini sebenarnya hanya menunggu azab Allah sahaja. Dan apabila azab itu datang, Allah akan menyelamatkan orang-orang yang beriman. Tiada syak lagi dalam agama Islam kerana yang disembah ialah Allah iaitu dzat yang menghidup dan mematikan manusia. Bukan seperti patung-patung yang tidak bernyawa itu. Sesekali rasulullah bukan dari kalangan musyrik yang menzalimi diri sendiri dengan menyembah sesuatu yang tiada member manafaat dan mudharat.
Apa yang datang samada bahaya atau kebaikan, tiada suatupun yang dapat mengangkatnya kecuali dengan izin Allah. Kebenaran al-Quran yang diturunkan oleh Allah adalah sebagai hidayah kepada diri manusia itu sendiri. Dan jika mereka berpaling, maka merekalah yang sesat dan nabi bukan wakil yang mengurus iman manusia. Maka bersabarlah dalam berjuang sehingga datangnya keputusan Allah membezakan antara hak dan batil iaitu kemenangan yang dijanjikan. Tamat Surah Yunus. Wallahua’lam.