Bismillah
Surah al-An’aam
ayat 111, juzuk lapan mendedahkan
perihal orang-orang yang kafir, yang meminta didatangkan mukjizat kepada
mereka tetapi Allah maha mengetahui bahawa jika mukjizat itu datang sekalipun,
mereka tidak akan beriman. Dijadikan musuh para nabi itu terdiri dari syaitan
manusia dan jin yang sentiasa membisikkan keraguan dan orang yang tidak beriman
akan mempercayainya. Sehingga ada yang sanggup mencari hakim selain dari Allah
kerana ragu sedangkan kitab Allah itu sangat jelas dan nyata, tiada siapa yang
boleh memindanya.
Disuruh untuk
kita memakan makanan yang halal, akan tetapi yang haram jika terpaksa, kita
boleh memakannya. Orang yang dapat hidayah Allah akan dapat membezakan antara
yang benar dan salah. Mereka juga merasa lapang dada. Tetapi bagi yang kafir
mereka merasakan dada mereka menjadi sesak dan sempit, melihat maksiat yang
mereka buat adalah baik. Allah turut memberitahu disetiap tempat akan ada
golongan berpengaruh yang jahat yang melakukan kejahatan.
Jalan yang lurus
ialah Islam. Di akhirat pengikut jalan syaitan akan ke neraka. Allah telahpun
mengutuskan rasul kepada jin dan manusia untuk jadi hujah Allah di akhirat
untuk memberikan hukuman. Orang yang zalim, tidak akan memperolehi kemenangan.
Orang musyrikin
membuat peraturan sendiri berkenaan hasil tanaman dan binatang ternak yang mana
untuk Allah yang mana untuk berhala. Ketua-ketua mereka juga menghasut rakyat
mereka dengan ritual-ritual sesat seperti bunuh anak, menentukan yang mana
binatang ternak dan sembelih sesuka hati mereka, mana binatang yang halal
sedangkan amat rugilah orang yang membunuh anak mereka dan yang mengharamkan
makanan yang Allah halalkan serta berdusta atas nama Allah. Sehingga Allah
mencabar musyrikin itu melalui rasulullah yang mana satu sebenarnya binatang
yang mereka dakwa diharamkan, ataupun adakah mereka hadir ketika (yang mereka
kata) Allah yang menentukan semua itu kepada mereka atau datuk moyang mereka
(berkenaan pengharaman yang mereka dakwa itu)?
Antara makanan
yang diharamkan bagi orang Islam ialah bangkai, darah yang mengalir, daging
babi dan binatang yang disembelih atas nama selain dari Allah. Manakala bagi
Yahudi binatang yang berkuku dan lemak dari lembu dan kambing. Inilah hukuman bagi
orang-orang Yahudi atas sikap derhaka mereka.
Sikap musyrikin
Mekah ini mereka-reka pengharaman yang mereka dakwa dari Allah tetapi tidak
mahu pula meninggalkan menyembah berhala, zina, membunuh anak dan
sebagainya yang sememangnya haram dari
Allah. Sedangkan jalan lurus Allah inilah yang mesti diturut. Diturunkan
al-Quran untuk menjadi petunjuk dan keterangan agar tidak menjadi dalih bagi
mereka yang tidak mahu beramal.
Amalan yang baik
akan diganda 10 kali dan hanya sekali bagi amal kejahatan. Maka beri’tiqadlah
bahawa semua ibadat, hidup dan mati kita, hanyalah untuk Allah yang mentadbir
sekelian alam. Tiada sekutunya dan dengan itu kita menjadi orang yang berserah
diri (islam) kepada Allah. Tiada tuhan yang lain yang berhak disembah melainkan
Allah. Allah lah yang menjadikan kita sebagi khalifah di bumi dan meninggikan
sesetengah kama atas sesetengah yang lain kerana hendak menguji kita. Tamat
surah al-an’aam.
Surah al-A’raaf.
Diturunkan di Mekah mengandungi 206 ayat. Dinamakan al-A’raaf (Tembok Yang
Tinggi) yang memisahkan antara syurga dan neraka. Surah ini menceritakan
kisah-kisah kaum yang derhaka, kisah keingkaran Iblis, gambaran apa yang
berlaku antara ahli syurga dan neraka serta Allah memujuk rasulullah dan mememrikan
semangat untuk tidak bimbang dan berdukacita dalam berdakwah.
Al-Quran adalah
kitab yang benar, jangan menaruh syak atau keraguan atasnya. Ianya untuk
diamalkan bukan sekadar suka-suka untuk mencari nama. Banyak kaum yang telah
diazab kerana bersikap zalim dan tidak mahu menurut kehendak Allah. Mereka akan
disoal dan juga rasul-rasul mereka juga disoal. Siapa yang timbangan
kebaikannya berat, beroleh kejayaan dan jika sebaliknya, menjadi orang-orang
yang rugi. Kerana Allah memberikan kekuasaan di bumi suapaya manusia bersyukur,
tetapi sedikit sahaja yang bersyukur.
Iblis sombong
tidak mahu sujud kepada Adam walaupun itu arahan Allah kerana merasakan dia
lebih baik dari segi penciptaannya iaitu dari api berbanding Adam dari tanah.
Iblis bersumpah untuk menyesatkan manusia selama-lamanya sehingga datangnya
kiamat. Terdedah aurat Adam dan Hawa apabila melakukan maksiat dengan memakan
buah larangan. Adam dan Hawa memohon keampunan dan Allah menurunkan mereka ke
bumi dengan ingatan sesetengah keturunan mereka akan menjadi musuh sesama mereka.
Manusia akan dimatikan dan dibangkitkan pada hari kiamat. Allah mengurniakan
pakaian bagi menutup aurat dan sebagai perhiasan, tetapi pakaian taqwa adalah
yang sebaik-baiknya. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment