HEADER

HEADER

Thursday, July 17, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 16 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah
(Surah al-A’raaf). Bani Israel yang tinggal bersama nabi Harun, telah membuat patung berupa anak lembu daripada emas dan mengeluarkan suara. Malah mereka telah mengugut nabi Harun untuk membunuhnya jika melarang. Nabi Harun terpaksa mendiamkan dirinya. Sekembalinya nabi Musa, baginda tersangat marah dan hampir-hampir memukul nabi Harun. Tetapi setelah jelas nabi Harun diugut maka nabi Musa memohon keampunan ke atas nabi Harun. Pembuat dan penyembah patung-patung itu kemudiannya dikenakan kehinaan oleh Allah di dunia lagi. Kecuali orang yang diterima taubatnya.
Nabi Musa membawa 70 orang dari kaumnya untuk memohon taubat kepada Allah keatas kaumnya. Mereka telah diuji oleh Allah dengan gempa yang kuat kerana kemurkaan Allah (hal ini berlaku kerana mereka yang ada ketika peristiwa penyembahan anak lembu itu berlaku, tidak mengamalkan dasar amar ma’ruf nahi mungkar. Oleh itu semua daripada mereka kena murka Allah). Hanya ada sebahagian kecil dari kaum Musa yang menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar ini.
Allah menegaskan lagi akan kenabian Muhammad saw dan kelebihan-kelebihan yang telah diberikan kepadanya seperti baginda buta huruf tetapi mempunyai kitab, namanya ada dalam Taurat dan Injil. Al-Quran yang diturunkan kepada baginda juga meringankan hukuman-hukuman berat daripada kitab-kitab terdahulu.
Dikisahkan kepada rasulullah kisah Bani Israel yang dilarang Allah menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka membuat helah menahan jaring pada hari Jumaat agar dapat menangkap ikan tetapi bukan pada hari Sabtu. Maka segolongan kaum mereka menghalang pekerjaan ini dengan menyebut larangan-larangan Allah. Tetapi sebahagian lain dari mereka pula melarang kumpulan yang melarang itu dengan kata mereka mengapa perlu melarang golongan yang Allah akan binasakan? Maka jawab kumpulan yang melarang itu, ini adalah untuk melepaskan diri kami dari Allah nanti.Maka jadilah golongan yang derhaka itu kera yang hina (ayat 166).
Dalm ayat ke 167, Allah memaklumkan akan menghantar kaum-kaum yang akan menimpakan sengsara kepada kaum Yahudi kerana kekufuran mereka. Kaum Yahudi jadi berpecah-pecah dan berpuak, bertaburan di dunia. Ada yang taat kepada Allah dan ada yang derhaka. Kemudian mereka akan diganti dengan keturunan yang jahat yang mewarisi Taurat tetapi mengambi kehinaan dunia sambil berkata dosa mereka akan diampunkan. Sedangkan mereka telah mengetahui yang mana baik dan buruk dari Taurat.
Yahudi pernah diugut oleh Allah kerana melanggar perjanjian mengamal ajaran Taurat dengan mengangkat gunug Tursina ke awang-awangan di atas mereka. Ketika itu mereka takut dan percaya gunung itu akan terhempas, maka mereka sujud dan berjanji lagi.
Di alam ruh kita telah bersaksi bahawa Allah adalah tuhan kita. Nanti ia menjadi dalil kepada Allah bahawa peringatan telah diberikan dan kita tiada alasan untuk mengelak (ditambah dengan kehadiran para rasul dan kitab). Orang yang diberi kitab tetapi memilih untuk tidak mematuhinya dan mengikut syaitan serta bermati-matian mengejar dunia dan menurut nafusnya, Allah mengibaratkan dia seperti anjing yang termengah-mengah dengan lidah yang terjulur, samada kita halau atau tidak. Begitulah hinaya bandingan yang diberikan. Ada orang Allah beri petunjuk kerana kesungguhannya mencari kebenaran, ada juga yang disesatkan kerana keingkaran dia sendiri.
Ahli neraka adalah mereka yang tidak menggunakan hati bagi memahami al-Quran serta tidak mahu menggunakan panca indera bagi melihat kebesaran Allah. Mereka ini disamakan dengan binatang ternak, malah jauh lebih sesat.

Pelajarilah dan ambillah manafaat dari asmaa’ullah al-Husna (nama-nama Allah yang baik). Berdoalah kepada Allah dengan menggunakan nama-nama Allah itu. 

Ada kumpulan manusia yang memberi petunjuk dengan kebenaran dan menjalankan keadilan. Ada pula yang sebaliknya. Mereka yang derhaka ini akan ditarik oleh Allah sedikit demi sedikit ke jurang kebinasaan. Sahabat-sahabat rasulullah dituduh gila oleh kaum musyrik kerana mengikut ajaran rasulullah, tetapi Allah menafikan. Pastinya kaum musyrik ini tidak akan beriman kerana mereka menolak al-Quran yang dibawa oleh rasulullah. Sesiapa yang disesatkan kerana keingkaran mereka sendiri, maka tiada siapa yang boleh menolong dan Allah biarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan itu.

Hanya Allah mengetahui bilakah saatnya kiamat itu. Rasulullah juga tidak mengetahuinya tetapi hanya baginda menerangkan, kiamat ini menggerunkan dan tidak ia datang melainkan dalam keadaan mengejut. Rasulullah hanya manusia biasa yang tidak boleh mendatangkan manafaat dan menolak keburukan. Semua itu kuasa Allah. Baginda hanyalah pesuruh bagi Allah yang memberi ingatan kepada manusia sifat baik dan keji yang mereka lakukan terhadap Allah. Antara sikap manusia ini ialah, apabila mereka berada dalam keadaan berharap atau cemas, mereka memohon kepada Allah dan apabila terselamat atau berjaya, maka mereka mensyirikkan Allah.

Sedangkan semua benda yang mereka sekutukan dengan Allah itu langsung tidak dapat menolong mereka sendiri apatah lagi orang lain? Allah mencabar kepada semua musyrikin untuk mereka membuktikan sembahan mereka itu memberi manafaat kepada mereka jika mereka benar. Oleh itu kita semestinya berpaling dari golongan yang jahil dan mintalah perlindungan dari Allah dari hasutan syaitan (membaca ta’awwuz). Orang bertaqwa bila dihasut syaitan akan sentiasa ingat kepada Allah. Manakala orang yang sesat akan terus menerus melakukan kesesatan dengan bantuan syaitan.

Jangan kita mempersendakan ayat-ayat al-Quran seperti mana kaum musyrikin lakukan sedangkan ianya adalah wahyu Allah. Dengarlah dengan teliti serta diamlah ketika al-Quran dibacakan untuk mendapat rahmat. Berzikirlah dengan merendah diri dan penuh takut kepada Allah dan tidak menyaringkan suara, kerana malaikat yang berada di sisi Allah sentiasa bertasbih, bersujud kepada Allah dan tidak merasa angkuh. Tamat surah al-A’raaf. Wallaua’lam

0 comments:

Post a Comment