HEADER

HEADER

Tuesday, December 9, 2014

Bajet : MB tidak sensitif isu royalti

Pembentangan bajet 2015 bagi negeri Terengganu semalam dilihat tidak begitu memberangsangkan kerana masih banyak lompang yang terdapat didalamnya terutama dalam isu berkaitan jumlah bajet, bonus dan juga royalti.

Jumlah bajet keseluruhan lebih besar dari negeri Selangor itu dilihat tidak berkadar terus dengan pembangunan serta bonus setengah bulan kepada kakitangan kerajaan, berbanding Selangor yang memperuntukan sebulan setengah gaji.
Demikian ulasan Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika mengulas tentang bajet yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Menurut beliau lagi, pemberian wang kepada pelajar cemerlang juga sepatutnya dalam bentuk tunai, bukan simpanan semata-mata kerana mungkin ibu bapa pelajar itu miskin dan mahu menggunakannya bagi tujuan persekolahan pelajar-pelajar.
“Yang pertama bajet negeri Terengganu lebih tinggi dari bajet negeri Selangor, diwaktu yang sama, bonus yang diberikan kepada kakitangan kerajaan hanya gaji separuh bulan dan minimum RM500, sedangkan Selangor, sebulan setengah.
Yang kedua, kerajaan hanya memberi sesuatu kepada pelajar dalam erti kata tidak boleh digunakan, dalam bentuk simpanan semata-mata, sedangkan kadang-kadang keperluan segera perlu ada pada keluarga mereka (pelajar),” kata beliau.
Pembentangan bajet negeri Terengganu dilakukan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.
Sidang dewan dijadualkan belangsung selama empat hari bermula Isnin 8 Disember dan dijangka berakhir pada Khamis 11 Disember ini.
Manakala dalam hal pelaburan bijih besi dan silicon, tiada maklumat yang diberikan berkenaan peruntukan dan hasil dari kedua-dua industri ini kepada rakyat Terengganu, termasuklah anggaran peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.
Cadangan untuk mewujudkan kawasan perindustrian baru juga dilihat sebagai usaha yang kurang munasabah kerana masih banyak lagi kawasan-kawasan industri yang ada belum dibangunkan sepenuhnya seperti di Bukit Kor, Marang.
Mengulas tentang transformasi yang diwar-warkan oleh kerajaan negeri, ternyata menurut beliau, kerajaan negeri hanya beretorik dengannya kerana kerajaan jelas takut untuk mengikut jejak Selangor.
Selangor baru-baru ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM200 ribu bagi pembangunan disetiap Dun tanpa mengira Dun itu diwakili oleh kerajaan ataupun pembangkang.
“Sebenarnya kerajaan bawah menteri besar baru ini tidak berani untuk melakukan transformasi, islah yang beliau laung-laungkan.
Untuk memberikan bajet langsung kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi, pilihanraya yang diperakui oleh perlembagaan kerajaan Malaysia.
Oleh kerana itu, sebenarnya transformasi tidak wujud secara jelas melainkan hanya untuk mewujudkan imej barunya dan menaikkan imej barunya agar dia dianggap sebagai menteri besar yang hebat,” tegas beliau.
Beliau juga melahirkan kekesalan apabila menteri besar ketika pembentangannya menyebut bahawa kerajaan negeri tidak peduli apa juga nama yang diberikan samada royalti, dana khas ataupun wang ehsan.
Yang penting bagi mereka ialah wang itu disalurkan secara tetap kepada kerajaan negeri, sedangkan kata beliau lagi royalti lima peratus petroleum itu adalah hak Terengganu.
Oleh itu menurut beliau lagi, ini menjadi bukti bahawa kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat tentang hak rakyat Terengganu sedangkan ianya sepatutnya diperjuangkan untuk rakyat Terengganu.
Bajet yang berjumlah kira-kira 2.4 billion itu adalah bersumberkan 88 peratus dana khas dari kerajaan pusat.

0 comments:

Post a Comment