HEADER

HEADER

Wednesday, July 9, 2014

Pencapaian apa yang Razif telah capai?

Bismillah

Apabila PM membuat lawatan kerja rasmi bagi  mendengar taklimat pembangunan negeri sebagai input bagi menggubal  Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) baru-baru ini, antara komen beliau berkaitan negeri Terengganu ialah, beliau berpuas hati dengan pencapaian Menteri Besar Terengganu Datuk Abdul Razif Abdul Rahman yang telah memerintah Terengganu selama hampir dua bulan selepas krisis kepimpinan Umno Terengganu meletus Mei lalu.

Saya masih mencari-cari apakah perkara yang dikatakan sebagai “pencapaian” oleh Datuk Razif yang telah memuaskan hati PM. Sebagai wakil rakyat dari Parti Islam Semalaysia (PAS) saya mahu melihat pencapaian yang diutamakan itu mestilah mengenai kepentingan agama Islam, kemudian permasalahan rakyat yang dhaif yang memerlukan bantuan segera kemudiannya barulah kepada infrstruktur-infrastruktur lain yang dirancang bagi kesejahteraan rakyat. Dan semua itu mesti bebas dari campur tangan politik kepartian.

Tetapi selama dua bulan ini berita yang ada hanyalah pertukaran seramai kira-kia 50 orang kakitangan kerajaan sebaik sahaja MB baru mengambil alih tugas. Ada juga pengumuman penangguhan dan akan menyemak kenaikan cukai pintu yang telah diumumkan oleh MBKT setelah dibantah keras oleh PAS dan NGO. Yang terbaru ialah agihan buah kurma dan air zam-zam ke seluruh masjid di negeri Terengganu. Sementara itu, dasar kepada kerajaan yang baru dan hala tujunya tidak begitu jelas kelihatan. Tiada juga kedengaran sebutan berkenaan pembayaran pampasan kepada penduduk di Kampung Pasir Putih Merchang kerana projek pelebaran jalan Kuala Terengganu - Dungun.

Dari pandangan saya, saya melihat pertukaran Razif sebagai MB ini hanyalah seperti menyambung semula pemerintahan Idris Jusoh . Ini jelas dapat dilihat kerana Razif adalah dari kem Idris yang bermusuh dengan Ahmad Said. Umum sedia maklum bahawa sokongan akar umbi Ahmad Said sangat lemah. Jadi pertukaran ini tiada masalah bagi PM. Sama sahaja sesiapapun yang menjadi MB. Jika dari Umno, maka kroni akan diutamakan. Jika kroni diutamakan, maka duit rakyat akan menjadi mangsa. Lihat sahaja projek-projek “runtuh” dibawah kepimpinan Idris Jusoh dulu. Sehingga sinonim Terengganu dikenali sebagai Darul Runtuh. Jolokan yang menjengkelkan kita sebagai rakyat Terengganu. Senarainya cukup panjang dan jika disebut, mungkin berjela-jela pula jadinya, cukuplah satu soalan untuk dijawab, siapa dari kalangan orang besar yang telah dikenakan hukuman atas kes stadium runtuh di Terengganu?

Dizaman Idris juga, tiada usaha yang serius untuk membawa kembali maruah rakyat Terengganu iaitu royalti petroleum sebanyak 5 peratus yang telah dirampas dengan zalimnya pada tahun 2000 yang kemudiannya dikenali sebagai wang ehsan. Sedangkan baru-baru ini, dewan undangan Negeri Sarawak telah sebulat suara memutuskan untuk meminta royalti bagi negeri Sarawak sebanyak 20 peratus. Begitu tegasnya usaha Sarawak bagi mengambil hak mereka. Mengikut maklumat dari Dato’ Husam Musa, Ahmad Said adalah seorang yang sangat lantang diperingkat pusat dalam mengusahakan royalti agar dikembalikan ke Terengganu. Selepas ini pasti tiada lagi kelantangan suara Ahmad dalam isu mengembalikan royalti ini yang kita anggap sebagai maruah kita. Saya tidak percaya bahawa Razif selantang Ahmad Said bagi meminta semula royalti dikembalikan ke Terengganu sejajar dengan pemikiran Idris Jusoh.

Apabila naiknya seseorang MB baru dari Umno, antara perkara kebiasaan yang akan dilakukan ialah membawa masuk projek-projek pembangunan ke kawasan-kawasan mereka. Nanti boleh kita lihat Seberang Takir akan mendapat limpahan projek. Oleh itu persoalan yang timbul, apa akan jadi dengan duit rakyat yang telah digaul dan ditanam di Bandar Baru Kijal dan Kawasan Bebas Cukai di Kenyir? Apakah nanti kita akan melihat monumen-monumen sejarah (projek tak siap) menggunakan duit rakyat di Kijal dan Kenyir? Ataupun disebalik pelancong mahu melihat gajah di Santuari Gajah, mereka hanya dapat melihat “Gajah Putih” di Kenyir. Bagaimana pula nasib pengurusan dan binatang-binatang di Zoo Bukit Takal yang pernah diisytiharkan oleh Ahmad Said dalam DUN dahulu yang ianya bakal menggantikan industri petroleum jika kita kehabisan sumber itu? Adakah Razif akan menyambung semula kesemua projek itu?

Inilah tanda-tanda yang bakal kita lihat iaitu pembaziran besar duit rakyat Terengganu yang telah dibuat dan kemudian diwarisi perangai ini dari MB Umno kepada MB Umno yang lain. Tiada bezanya siapa MB Terengganu, asalkan dari Umno, maka inilah yang kebiasaannya akan berlaku. 

Oleh itu saya secara serius memandang perkara ini adalah tidak lain hanyalah pertukaran topeng sahaja, tetapi wataknya tetap sama. Dan saya tidak dapat melihat apakah pencapaian yang memuaskan hati PM terhadap apa yang telah dilakukan oleh Razif selama dua bulan ini kecuali, memudahkan lagi kerja golongan-golongan tertentu membaham duit royalti Terengganu ini.

Marilah kita sama-sama dibulan yang penuh keberkatan ini berdoa agar seluruh rakyat Terengganu dan negeri Terengganu ini terselamat dari rancangan yang tidak betul oleh golongan-golongan yang tertentu dalam membelanjakan hasil negeri yang mana ianya adalah amanah dan bukannya ghanimah.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
11 Ramadhan 1435 bersamaan 9 Julai 2014

2 comments:

  1. Haha.. Yb oh Yb... Razif baru 2 bulan... YB doh 2 penggal di bukit payong... nape yb buat kepada rakyat bukit payong.. selain menipu...hihi

    ReplyDelete
  2. Mari kita lihat yb2 Pas yg menang.. cthnya... Adun Wakaf pelam Wahid Endut sudoh 4 penggal di wakaf pelam.. banyok jasa bantu rakyat?????... semua masalah rakyat selesai belake ???? Haha... base bodo kelu Yb bukit payung ning... tengok gok diri sendiri dulu kalu nok cakap bab org lain.... tuiih...

    ReplyDelete