Bismillah
Masih dalam
surah al-A’raaf. Manusia diberi ingat agar tidak mengikut pedaya syaitan
seperti mereka memperdayakan Adam hingga dikeluarkan dari syurga. Orang tidak
beriman suka mengikut nenek moyang mereka walaupun perkara itu keji. Allah
menyuruh mengikhlaskan diri beribadat kepadaNya semata-mata. Allah mengurniakan
nikmat makan, pakai, perhiasan untuk digunakan tetapi jangan melampau dan
menyombong.
Golongan yang
taat tiada kebimbangan di akhirat nanti. Sementara golongan yang ingkar akan
mendapat bahagian mereka di dunia sehinggalah malaikat maut mencabut nyawa
mereka dan bertanya kemanakah patung-patung yang mereka sembah di dunia dulu.
Mereka akan dimasukkan ke neraka dalam keadaan saling menyalahkan sesama
sendiri atas sebab kesesatan mereka. Orang yang sombong, doa mereka tidak
diterima dan ruh mereka tidak diterima langit sehingga “unta masuk di lubang
jarum”.
Manakala ahli
syurga, akan dicabut dari hati mereka perasaan dendam dan dengki dan mereka
pula tetap menyatakan syukur dengan nikmat hidayah dari Allah itu. Mereka
berseru kepada ahli neraka mengatakan bahawa mereka telah mendapat nikmat apa
yang Allah janjikan sedang orang-orang yang zalim mendapat laknat. Ini kerana
mereka bukan sahaja sesat, tetapi juga menyesatkan orang lain.
Ayat 46,
al-A’raaf ialah satu tembok diantara syurga dan neraka. Di atas tembok itu ada
segolongan lelaki yang mengenal ahli syurga dan neraka. Mereka memberi salam
kepada ahli syurga dan tidak sabar untuk masuk syurga. Dan bila melihat ahli
neraka mereka berdoa supaya Allah menjauhkan mereka dari menjadi ahli neraka.
Mereka mendapati segala kemewahan ahli neraka ketika di dunia dulu tidak dapat
menolong mereka sebaliknya ahli syurga yang mereka hina dulu sekarang beroleh
rahmat dari Allah. Dan Allah telah mengharamkan makanan dan minuman dari syurga
kepada ahli neraka.
Golongan yang
sengaja melalaikan agama Allah, Allah akan biarkan mereka pada hari akhirat.
Kitab Allah adalah petunjuk bagi orang-orang yang beriman. Ketika hari kiamat
nanti, barulah orang-orang derhaka ini mencari syafaat para nabi yang mereka
tentang dulu. Mereka juga mohon kembali ke dunia untuk beramal kerana menyesal.
Allah telah
menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, kemudian bersemayam atas
‘Arasy. Dia juga mencipta malam, siang, matahari, bulan, bintang yang tunduk
kepada perintahNya. Allah menyuruh manusia supaya berdoa dengan merendah diri
dan suara yang perlahan. Allah juga menyuruh agar kita sentiasa berharap dan
takut jika doa kita tidak diterima dan ini juga adalah cara membaiki amalan
kita.
Allah
menghidupkan bumi yang gersang dengan mengurniakan hujan. Dia membandingkan
antara tanah yang baik yang menumbuhkan tanaman dengan hasil yang baik dengan
tanah yang gersang yang menumbuhkan pokok-pokok yang bantut. Menurut Ibnu
Abbas, ini adalah bandingan antara orang mukmin dengan orang yang ingkar dan
dibandingkan dengan turunnya al-Quran itu denga turunnya hujan. Jika ruh yang
baik, akan menyerap ajaran al-Quran itu dan jika ruh yang jahat, tiada kesan
walaupun mereka mendengar al-Quran.
Bermula ayat 59
sehingga ayat 87 (pengakhir juzuk kelapan) ini, ianya banyak berkisar tentang
perihal dakwah para rasul yang diutuskan kepada kaum mereka. Faedah daripada
kisah-kisah ini antaranya, penentangan terhadap rasul oleh manusia, sudah lama
bermula dan sudah menjadi kebiasaan. Allah sentiasa memberitahu akibat
perbuatan ingkar manusia ini akan berakhir dengan azab seksa dari Allah di
akhirat. Manakala bagi yang taat dan beriman, akan beroleh syurga dan
berbahagia selama-lamanya.
Kisah-kisah yang
dinukilkan Allah dalam surah ini ialah kisah nabi Nuh dengan banjir besar serta
bahteranya, nabi Hud dengan kaumnya ‘Aad yang berkebolehan memahat bukit, nabi
Soleh dengan kisah kaumnya Tsamud dan unta mukjizatnya, nabi Luth dengan
kaumnya yang gilakan homoseks serta nabi Syuaib dengan kaumnya yang suka menipu
dalam timbangan mereka. Kesemua rasul ini menerima tentangan dari kaum mereka
sendiri apabila mereka mengajak kaumnya bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan
perkara keji yang dibenci Allah. Sehingga kaum mereka menuduh para rasul inilah
sebenarnya yang sesat. Dan hampir kesemua tentangan dan tuduhan kepada
rasul-rasul ini datang dari pemimpin-pemimpin kaum mereka yang mempunyai
pengaruh. (Tamat juzuk lapan) Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment