HEADER

HEADER

Wednesday, July 2, 2014

Tadabbur Ringkas al-Quran 4 : Bacaan Tiga Minit

Bismillah

Surah A-li ‘Imran. Dinamakan surah ini bersempena dengan perihal keluarga Imran yang ada disebutkan dalam ayat ke 33. Ada diantara kita salah menyebut al-Imran. Harap kesalahan sebutan ini diperbaiki. 

Dalam ayat pertama sehingga ayat ke 91 ini banyak berkisar tentang perdebatan ketuhanan nabi Isa oleh nasrani dengan rasulullah, penyelewengan isi kandungan kitab-kitab oleh pendeta yahudi dan nasrani. Sehingga dalam ayat ke 61 rasulullah mengajak wakil nasrani bersumpah laknat berkaitan dengan kebenaran yang dibawa.

Isi kandungan penting antaranya ialah perihal ayat muhkamat (yang tetap tegas dan nyata maksudnya menjadi perkara pokok) dan mutasyabihat (yang kurang jelas maksudnya). Oleh itu terkadang ada golongan yang berniat serong memberikan makna lain dan menyeleweng dari kehendak sebenar.  Inilah golongan yang sesat. Manakala golongan yang menetapkannya dengan kehendak Allah merekalah golongan yang beriman.

Manusia sememangnya dihiaskan perasaan dan nafsu mereka kepada perkara-perkara keduniaan yang menyeronokkan. Mereka tertarik kepada wanita, emas, perak, binatang ternak dan kenderaan hebat. Semua ini tidak salah asalkan betul jalannya. Akan tetapi yang lebih baik daripada semua itu ialah syurga yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa iaitu orang yang sentiasa berdoa memohon keampunan Allah dan menggunakan harta mereka ke jalan yang benar.

Agama yang benar di sisi Allah adalah Islam dan ini dimaklumi oleh ahli kitab. Tugas rasul adalah menyampaikannya sahaja. Tetapi ia ditolak oleh ahli kitab dan mendakwa akan masuk neraka beberapa hari sahaja.

Allah berkuasa menaik dan menurunkan kuasa seseorang itu. Menghidup dan mematikan sesuatu.

Keluarga ‘Imran diberikan beberapa kelebihan oleh Allah. Nazar isterinya yang mengharapkan anak lelaki untuk berkhidmat kepada Allah sebaliknya mereka beroleh anak perempuan Maryam yang mendapat banyak keistimewaan dari Allah. Maryam juga dipilih Allah untuk mengandungkan nabi Isa tanpa bapa bagi menunjukkan kuasaNya. Nabi Zakaria yang menjaga Maryam juga dikurniakan seorang anak lelaki nabi Yahya, walaupun dia sudah tua dan isterinya mandul. Allah berkuasa keatas sesuatu.

Nabi Isa dikurniakan banyak mukjizat dengan izin dari Allah seperti dapat berkata-kata ketika bayi menghidupkan orang yang mati, mengubati sakit buta dan sopak, menjadikan burung dari tanah liat dan lain-lain lagi. Ini semua bagi membuktikan kenabiannya dan bagi menyambung kebenaran dari kitab Taurat. Baginda dalam menegakkan agama Allah ini dibantu oleh sekumpulan sahabatnya yang digelar Hawariyyuun. Tetapi sebaliknya musuh-musuhnya ingin membunuhnya dan Allah telah menyelamatkannya dengan mengangkat baginda ke langit.

Allah menegaskan bahawa tiada bezanya kejadian nabi Adam dengan kejadian nabi Isa. Adam dijadikan dari tanah dan Allah berkata “jadi” maka jadilah ia. (Oleh itu jika Nasrani menganggap nabi Isa itu tuhan kerana cara kelahirannya, maka bagaimana dengan nabi Adam?). 

Dalam ayat ke 61 rasululllah telah mencabar wakil ahli kitab dari kalangan nasrani bagi bersumpah laknat dengan baginda mengumpulkan seluruh keluarga baginda agar laknat tertimpa keatas pihak yang berbohong tentang ketuhanan. Akan tetapi sumpah itu tidak disahut oleh ahli kitab. Rasulullah juga menyeru agar ahli-ahli kitab itu kembali kepada kalimah yang satu iaitu mentauhidkan Allah.

Kedegilan ahli kitab mempertengkarkan akan agama nabi Ibrahim dijawab dengan nabi Ibrahim beragama (Islam) terlebih dahulu daripada kedatangan agama yahudi dan nasrani. Nabi Ibrahim tegas Allah adalah seorang yang mentauhidkan Allah (muslim) dan bukan dari kalangan musyrik. Maka selayaknya orang orang yang mewarisi agama nabi Ibrahim ialah orang Islam.

Ahli kitab juga mencampur adukkan kandungan kitab dan bercita-cita untuk menyesatkan orang Islam, tetapi sebaliknya merekalah yang sesat. Didedahkan juga sikap tidak amanah mereka bukan sahaja dalam penafsiran kitab tetapi juga dalam hal jual beli, perjanjian, sanggup mencabuli sumpah dan sebagainya. 

Sebahagian mereka juga ada yang mahu manusia menyembah mereka. Ada juga yang menjadikan malaikat dan nabi-nabi sebagi tuhan. Sedangkan mereka telah berikrar dengan nabi masing-masing akan kerasulan nabi Muhammad saw.

Oleh itu Allah menegaskan tidak akan diterima orang yang mencari selain dari Islam. Bagi mereka yang ingkar akan ditimpa laknat dari Allah, malaikat dan juga manusia yang beriman. Kecuali bagi mereka yang bertaubat dan membaiki kesilapan mereka.

Tetapi bagi yang tetap mati dalam keadaan kafir tidak akan diterima Allah walaupun mereka cuba menebus dengan emas sepenuh bumi agar tidak diazab diakhirat nanti. Tiada bagi mereka penolong. Wallahua’lam

0 comments:

Post a Comment