HEADER

HEADER

Monday, December 8, 2014

Khatan beramai-ramai bagi tahun ke 26 :


Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong melalui Lajnah Kebajikan, telah mengadakan program berkhatan beramai-ramai bersempena cuti sekolah akhir tahun baru-baru ini.
Program tersebut telah disertai oleh kira-kira 55 orang kanak-kanak dari seluruh Dun Bukit Payong dan mengambil masa dua hari bagi mengkhatankan kesemua peserta tersebut.
Menurut seorang petugas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Bukit Payong, Aziz Mamat, program kali ini ialah program kali ke-26 sejak ianya dimulakan pada tahun 1988.
Program ini juga menurut beliau ialah program kebajikan yang mana yuran yang dikenakan sangat berpatutan iaitu RM50 bagi anak-anak ahli, RM70 bagi bukan ahli, manakala bagi anak-anak yatim, ianya percuma.
“Program ini ialah kali ke-26 sejak 1988. Kita Cuma nak bantu keluarga dan disamping beri semangat kepada kanak-kanak.
Biasanya kalau dia tengok ramai yang bersunat, mereka jadi berani.
Yuran yang kita kenakan sangat berpatutan, lebih murah dari yang di luar sana,” kata beliau.
Menurutnya lagi, walaupun jumlah kanak-kanak yang turut serta berkurangan dari tahun lepas, namun kemeriahan tetap dirasakan oleh kanak-kanak.
Lebih meriah apabila Adun Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah turut hadir bagi menyampaikan cenderahati kepada peserta.
Seperti tahun-tahun yang lepas, adegan kejar-mengejar segelintir peserta yang ketakutan adalah salah satu perkara lucu yang mencuit hati ibu bapa dan para peserta dalam program seperti ini.

0 comments:

Post a Comment