HEADER

HEADER

Sunday, March 30, 2014

YB Chukai yang perihatin

Dia suka berjenaka, malah boleh bermesra dengan sesiapapun walaupun kali pertama berjumpa dan bertemu dengannya. Namun apabila datang hal-hal yang penting dan mustahak, dia akan menjadi serius menumpukan perhatiannya kepada perkara tersebut. Mungkin inilah antara ramuan kejayaan YB Haji Hanafiah Mat memikat hati pengundi Chukai dan sekaligus menjadi wakil rakyat PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chukai, dalam parlimen Kemaman. Bukan sahaja pengundi Melayu, malah pengundi bangsa lain juga mudah mesra dengan beliau, bersesuai dengan jawatan yang disandangnya, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Negeri Terengganu.
Kecaknaan beliau terserlah apabila baru-baru ini, beliau telah menziarahi kematian seorang perempuan berbangsa cina yang meninggal akibat kanser di Chukai. Ketika mendapat berita itu, beliau sedang berada dalam program kuliah maghrib yang disampaikan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu di Surau Dusun Nyior. Selesai solat isyak, beliau bergegas ke Rumah Mayat Jakar bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Wong Chan Hai (Kedai Kopi Hai Peng) atas kematian isterinya Puan Tan 71 serta sempat bertanya khabar dengan orang ramai yang hadir. Selesai menandatangani buku takziah di Jakar, beliau bergegas pula ke Pejabat PAS Kawasan Kemaman bagi menghadiri program usrah PAS Kawasan Kemaman.Bagi beliau, hal berkaitan dengan perhubungan antara kaum sangat penting kerana, Malaysia terdiri daripada penduduk yang berbilang bangsa dan tiada kekuatan jika satu daripada bangsa ini diketepikan. Beliau tidak mahu terikut-ikut dengan rentak permainan sesetengah pihak yang sentiasa mencari permusuhan antara kaum bagi menakut-nakutkan rakyat untuk mengekalkan kuasa. “Bagi saya, semua kaum di Malaysia mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Baik Melayu, Cina, India dan lain-lain etnik, kita semua adalah rakan dan kita boleh hidup bersama tanpa ada rasa iri hati,” tegas beliau. Beliau seterusnya menasihatkan semua rakyat Malaysia agar mengekalkan perpaduan antara kaum yang telah lama terjalin ini bagi memastikan keamanan di Malaysia dan tidak bermain dengan api perkauman.

0 comments:

Post a Comment