Ahli PAS digesa untuk mengetahui yang mana satu perkara keutamaan
dalam jemaah agar tidak terkeliru dalam membuat keputusan serta tidak
terikut-ikut pemikiran orang yang menyeleweng.
Demikian gesaan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Badan
Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika
berucap dalam Majlis Konvensyen Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Kemaman.
Jelas beliau lagi dalam Islam ada kaedah yang dipanggil
sebagai ‘tsawaabit’ iaitu perkara dasar yang tetap yang mesti kita ikut dan tiada
kompromi, dan perkara ‘muruunah’ atau fleksibel yang boleh berubah mengikut
keadaan.
Konvensyen yang diadakan di Dewan Taman Islam Kemaman itu,
turut dihadiri oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Abdul Hamid, Timbalannya
Ustaz Nik Nasri Malik dan Adun Cukai Haji Hanafiah Mat.
Sambil memberi contoh dasar seperti amanah dalam agama, ianya
tidak boleh diubah walau apa jua keadaan kerana itu adalah perkara asas yang
utama, malah dalam mana-mana agama sekalipun amanah ini adalah perkara
terpenting.
Beliau yang juga Adun Bukit Payong menegaskan bahawa
kegagalan segelintir ahli memahami peraturan ini, menyebabkan mereka keluar
parti.
Mereka menolak keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS kerana
bagi mereka, keputusan itu tidak memenuhi kehendak mereka.
Sedangkan perkara dasar yang diasaskan ketika penubuhan PAS
dahulu iaitu berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias, maka perkara-perkara
dasar itu mesti dipertahankan oleh MSU, bukannya untuk memenuhi kehendak
sesetengah orang.
Ini kerana menurut beliau lagi, PAS adalah parti yang
berteraskan Islam yang berhasrat melaksanakan nilai-nilai dan hukum-hakam bagi
menuju keredhaan Allah.
Beliau turut berpesan agar tidak menjadi takjub dengan
kehebatan seseorang di dunia ini sebelum terbukti dia mati dalam ketaatan.
“Jangan kita takjub dengan amalan seseorang kerana kita belum
tahu apa pengakhiran mereka kerana ada penulis wahyu di zaman rasulullah juga
akhirnya murtad dan begitu juga iblis yang enggan menurut arahan Allah,” pesan
beliau.
Sehingga kini, walaupun PAS telah dilobi di luar negara oleh
pihak-pihak tertentu sebagai parti yang sudah jauh menyeleweng dari Islam,
namun kebenaran tetap berpihak kepada mereka yang beristiqamah.
Banyak pihak yang menerima berita itu telah menghubungi PAS
kembali bagi mendapatkan penjelasan balas dan alhamdulillah kata beliau,
Presiden PAS telah memberikan penjelasan yang jitu kepada mereka dan mereka
menerimanya.
YB Ustaz Mohd Nor kemudiannya menyeru kepada semua kira-kira
200 ahli yang hadir agar memperteguhkan jamaah dengan melipat gandakan gerak
kerja bagi menghadapi pilihanraya yang bakal menjelma.
Bagi beliau, isu parti yang baharu ditubuhkan itu seharusnya
tidak menjadi gangguan kepada ahli-ahli PAS kerana sekarang sudah nyata
ketiadaan mereka telah memberikan ruang yang luas bagi PAS bergerak lebih maju.
0 comments:
Post a Comment