HEADER

HEADER

Sunday, May 3, 2015

Tiga jawatan utama DUPT kekal


Dewan Ulamak PAS Terengganu (DUPT) bersepakat mengekalkan ketiga-tiga jawatan utama penggal lalu, bagi sesi 2015-2017 yang dipertandingkan dalam pemilihan yang dilangsungkan dalam Muktamar Tahunan Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu semalam.
Dalam pemilihan yang telah diadakan di Dewan Seminar Masjid Jamek Tok Jiring itu, Dato’ Hussein Awang telah dipilih kembali menerajui DUPT , manakala Dr. Abu Bakar Abdullah dan Ustaz Ismail Osman, masing-masing dilantik kembali sebagai timbalan dan naib.
Ustaz Ismail Osman sebelum ini dilantik memangku jawatan Naib Ketua DUPT, menggantikan Ustaz Nik Mohammad Zawawi Nik Salleh yang melepaskan jawatan naib kerana menerima amanah sebagai Pemangku Timbalan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).
Ketiga-tiga jawatan  utama itu telah dipersetujui secara syura oleh semua Ahli Jawatankuasa (AJK) yang telah dipilih oleh perwakilan.
Turut terpilih sebagai AJK DUPT ialah Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ustaz Hamzah Ngah, Ustaz Mohd Suhaimi Daud, YB Ustaz Ariffin Deraman, Ustaz Nik Mohd Nasri Nik Malik, Ustaz Hamdan Mohammad.
Manakala tiga lagi jawatan AJK dimenangi oleh YB Ustaz Ridhuan Hashim, Ustaz Mohd Razki Alias dan Ustaz Jamaludin Jusoh.
Jawatan Pengerusi Tetap dimenangi oleh Ustaz Sood Said tanpa bertanding sementara timbalannya pula disandang Ustaz Abu Bakar Salleh dan pemeriksa kira-kira diamanahkan kepada Cikgu Shukrimun Shamsudin dan Kamarudin Yunus.
Dalam ucapan penggulungannya, Dato Hussein memaklumkan kepada perwakilan, bahawa beliau menerima jawatan itu hanya kerana beliau takut mati di luar perjuangan dan terpaksa menerima amanah yang berat itu.
Sementara itu, dalam perbahasan muktamar DUPT yang secara tradisinya berlangsung dalam keadaan harmoni itu, majoriti perwakilan menyentuh berkenaan pendidikan samada di peringkat tinggi ataupun rendah.
Ini membuktikan bahawa golongan ulamak amat mementingkan pendidikan bagi melahirkan generasi yang lebih baik dari masa ke semasa bagi menghadapi cabaran yang lebih mencabar bagi gerakan Islam.
Usul yang telah diterima tanpa bahas ialah berkaitan tarbiyyah ahli-ahli yang dilihat tidak menyeluruh kepada pimpinan pusat yang sepatutnya menurut perwakilan Kuala Nerus yang membawa usul itu, pimpinan juga mesti melalui proses tarbiyyah yang sama.
Ini menurutnya, semestinya hanya fikrah PAS yang tulen diterima masuk dan bukannya pemikiran-pemikiran yang lain yang boleh menjejaskan jalan yang dirintis oleh PAS.
Usul kedua yang juga diusulkan oleh Kuala Nerus yang diterima tanpa bahas ialah berkaitan cadangan bagi DUPT mempunyai bangunan pentadbiran sendiri yang dengannya pengurusan DUPT diharap akan lebih efisyen dan berpusat.
Muktamar kali ke-50 itu telah dirasmikan oleh Pemangku Ketua DUPP Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed, yang dihadiri oleh seramai kira-kira 80 orang termasuk alimat (ilmuan dari kalangan muslimat).
Setiap kawasan menghantar seramai tujuh orang wakil dan Terengganu mempunyai lapan kawasan secara keseluruhan.

0 comments:

Post a Comment