HEADER

HEADER

Wednesday, May 13, 2015

Teks Ucapan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Terengganu dari Adun Bukit Payong


Bismillahirrahmanirrahiim

YB Dato’ Yang DiPertua, YAB Dato’ Sri Menteri Besar, YB-YB ahli dewan, pegawai-pegawai kerajaan, hadirin dan hadirat sekelian.
Saya ambil peluang untuk sama-sama menjunjung kasih titah ucapan DYMM Tuanku Sultan yang menyatakan tentang pentingnya penerapan nilai-nilai Islam dalam asas pembangunan dan kecekapan pengurusan. Diantara nilai yang sangat utama dalam kehidupan setiap manusia khususnya orang yang beriman ialah amanah. Huzaifah ibnu Yaman pernah menyebut didalam satu hadis :
“Rasulullah telah meriwayatkan kepada kami dua hadis. Satu ceritanya aku sedang melihatnya dan aku menunggu untuk melihat yang keduanya. Rasulullah telah menceritakan kepadaku tentang amanah yang diletakkan oleh Allah dalam hati lelaki-lelaki. Kemudian mereka mula mempelajari al-Quran apabila al-Quran diturunkan, kemudian mereka mempelajari sunnah nabi saw. Kemudian rasulullah menceritakan amanah ini akan diangkat oleh Allah.”
Disebut juga dalam satu riwayat, Huzaifah menyatakan bahawa, aku mula melihat dipenghujung usianya tentang sukar untuk aku berniaga, berjual beli dan menyerahkan taat setia kepada seseorang, melainkan kepada seseorang, seseorang, seseorang. Menunjukkan bahawa diakhir zaman ini amanah akan diangkat oleh Allah, apabila amanah ini tidak dianggap penting, amanah ini tidak dianggap suatu perkara yang utama dalam mengurus dan mentadbir.
Setiap orang ada amanah, setiap agensi ada amanah, setiap intitusi ada amanah, kerajaan negeri ada amanahnya, kerajaan pusat ada amanahnya. Bumi ini adalah amanah Allah kepada seluruh pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat, khususnya pemerintah. Negeri Terengganu adalah satu amanah yang mememiliki kekayaan yang dikurniakan oleh Allah. Hasil yang paling banyak yang dikurniakan oleh Allah kepada kita yang mengkayakan negeri ini ialah hasil petroleum. Oleh kerana itu saya memohon agar kerajaan negeri, bukan sahaja memberi penjelasan tetapi juga penegasan melalui MB yang baharu. Sikap, bukan sahaja berkenaan isu royalti, tetapi isu blok yang berkait dengan Bertam 307. Kerana isu ini sangat membimbangkan, penegasan perlu dibuat. Kerana bukan sahaja penjelasan yang mesti dibuat di dalam dewan ini tetapi perakuan dan penegasan mesti diberitahu kepada rakyat.
Apa sikap kerajaan terhadap isu Bertam ini? Apakah kerajaan negeri Terengganu hanya mahu mendiamkan diri diwaktu PM menyerahkan dalam keadaan secara mudah untuk memberikan 100 juta kepada kerajaan Pahang. Diwaktu yang sama, seolah-olah tiada hak bagi kerajaan negeri Terengganu. Sedangkan keberanian ahli-ahli dewan kerajaan negeri Sarawak, mereka buat desakan terhadap kerajaan pusat walaupun dibawah kerajaan yang sama, bawah BN. Dengan desakan mereka minta 20% royalti. Akhirnya mereka dapat, hasil desakan dan keberanian mereka mempertahankan amanah rakyat mereka. Akhirnya mereka dapat 20% walaupun dalam bentuk yang berbeza. Sepatutnya penegasan ini perlu dibuat bukan sahaja di dalam dewan ini tetapi juga di luar dewan agar rakyat sedar bahawa kerajaan perlu bersikap tegas terhadap kerajaan pusat.
Lebih-lebih lagi saya melihat kepelikan. Kerajaan negeri ada tanggungjawabnya, kerajaan pusat ada tanggungjawabnya, sudah tentu kerajaan pusat ada kekayaannya. Tetapi kelihatan dalam negeri kita ini ada projek-projek yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri terpaksa membelanjakannya dengan peruntukan yang besar. Contoh LPT2. Juga saya minta kita, disenaraikan dan diberitahu dan dimaklumkan, apa dia jalan-jalan ataupun tanggungjawab yang sepatutnya dijalankan oleh kerajaan pusat yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan negeri. Contohnya jalan pantai. Saya nak dapatkan maklumat. Sepatutnya jalan pantai dibawah kerajaan pusat, tetapi apakah perbelanjaan itu dari kerajaan pusat atau kerajaan negeri?
Yang kedua jalan dari Wakaf Tapai ke Binjai Rendah ataupun Batu 10, adakah itu jalan yang sepatutnya dibuat oleh kerajaan persekutuan atau dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan ataupun itu sekarang dibawah tanggungjawab kerajaan pusat tetapi ditanggung oleh kerajaan negeri. Itu persoalan-persoalan yang ingin saya tanya, termasuklah dalam pembangunan Tasik Kenyir. Dengan perbelanjaan begitu besar, pelancongan, pembangunan pelancongan 2011-2015 anggaran perbelanjaannya ialah RM230 juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri. Pembangunan kawasan bebas cukai bermula 2011 sehingga 2015, anggarannya ialah RM546.3 juta, perbelanjaan yang begitu besar, adakah semuanya akan dibelanjakan oleh kerajaan negeri? Apakah kerajaan pusat tidak bertanggungjawab atau tidak berperanan dalam menjayakan kawasan bebas cukai ini? Sedangkan di sana ada agensi-agensi dibawah tanggungjawab kerajaan pusat seperti Kastam DiRaja Malaysia, Polis dan berbagai-bagai lagi. Ini persoalan-persoalan yang saya timbulkan ialah projek-projek yang ada tanggungjawab masing-masing, apakah projek itu sepatutnya dilakukan oleh kerajaan pusat tetapi dilakukan dan diurus serta terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri.

Yang ketiga YB Dato Yang DiPertua,
Saya melihat kita memerlukan perbelanjaan besar untuk infrastruktur negeri kita. Tetapi saya belum dapat maklumat walaupun sebelum ini saya telah bercakap pada penggal yang lepas Kusza yang dahulunya aset penting kerajaan negeri, yang sekarang ini dinaikkan taraf oleh kementerian menjadi universiti. Sepatutnya Kementerian Pengajian Tinggi mestilah melaburkan wang  dan membayar kepada kerajaan negeri, agar kerajaan negeri boleh menggunakan bayaran itu untuk membangunkan sistem pendidikan yang lain, yang lebih baik, yang lebih tersusun yang dikembangkan kerana kita sedar, kita tahu dan kita bercakap bahawa pelajar-pelajar di negeri kita meningkat, kemajuannya, kecemerlangannya dan setiap hari ibu bapa meminta banyak lagi sekolah-sekolah baru dibangunkan. Saya melihat ini adalah perkara yang perlu disenaraikan, perlu diberitahu, agar apa dia hutang-hutang kerajaan pusat, sepatutnya didedahkan. Kerana sekarang ini kita mendapat maklumat kerajaan pusat mula mendapat pulangan yang tinggi sebulan daripada hasil GST iaitu RM40 juta lebih. Ini adalah hasil yang banyak dan sepatutnya dengan hasil itu kerajaan pusat boleh menggunakan untuk infrastruktur pembangunan dalam negeri.
Saya ingin menyentuh sedikit berkenaan pendidikan ini. Ada aduan yang begitu banyak daripada guru-guru kita. Bila kita buat satu hari, hari buruh, kita bagi cuti kepada buruh, hari apapun. Hari guru, bagus, gotong royong ini bagus, tapi tidakkah ada tarikh lain untuk dibuat gotong royong? Sehingga diambil hari guru sebagai hari gotong royong. Sehingga ada dikalangan guru-guru mula berkata “Hari guru, guru diberi cangkul dan penyapu”. Itu bayangan mereka. Alangkah saya rasa dalam dewan ini, sebutan saya ini, saya minta supaya hari guru diubah, jangan buat hari gotong royong. Buatlah program yang meraikan guru dengan jasanya yang sebegitu hebat. Jasa mereka begitu cemerlang, begitu hebat, sepatutnya hari guru, bukan sahaja kita bagi bunga, bagi kek, tetapi bagi penghargaan kepada anak-anak mereka, pelajar-pelajar mereka, murid-murid mereka bagi meraikan hari guru dengan majlis yang baik. Ini aduan yang saya percaya boleh dinilai. Berkemungkinan akan ada yang ingin mempertahankan dengan berkata gotong-royong bukan salah, ya memang tidak salah, tetapi adakah tiada hari lain untuk kita buat gotong-royong hingga dikeluarkan arahan khusus hari guru jadi hari gotong-royong.

YB Dato’ Yang DiPertua,
Saya ucap syabas kepada YAB Dato’ Sri MB, dia hadir ke Kedai Buloh ada satu majlis, walaupun saya tidak dimaklumkan, tak apa, bagus, melawat kawasan negeri. Hanya saya mendapat maklumat kehadiran MB dengan satu perubahan dan saya harap memang perubahan itu akan berlaku dengan permintaan dan aduan semenjak dahulu lagi daripada penduduk Kedai Buloh dan sekitar Pasar Kedai Buloh itu sendiri, agar yang pertama, surau. Surau mesti diurus segera. Dan saya dapat maklumat, surau itu memang panas, susah. Nak bersolatpun susah. Air, masalah air, semenjak dulu lagi, berkali-kali kita sebut masalah ini, saya harap, persoalan ini yang dikatakan akan diselesaikan segera untuk peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung. Mohon juga untuk disediakan lampu isyarat berhampiran dengan persimpangan pasar kerana isu kesesakan lalulintas ini telah lama diadukan. Saya harap jika aduan ini betul, maka saya mohon dipercepatkannya kerana sememangnya sudah lama diadukan masalah ini di dalam dewan.
Akhirnya saya mohon untuk mendapat maklumat tetang Padang Gong Atas Tol, Kampung Laut dan Belukar Jambu. Bagaimana penduduk di kawasan itu mengadu mereka tidak dapat dan sukar mendapat kelulusan untuk mengubah status tanah masing-masing. Kerana mereka mendakwa mendapat maklumat, satu kawasan yang begitu luas, akan diserahkan kepada Naza Group. Ini adalah aduan, penjelasan boleh dibuat oleh MB, dan kenapa tanah yang sebegini luas akan diserahkan kepada Naza Group untuk dimajukannya, kenapa tidak dimajukan oleh kerajaan negeri dan kenapa projek sebegini rupa tidak ada maklumat yang lengkap kepada penduduk-penduduk sekitar agar mereka dapat membuat persiapan yang baik dan mereka tidak tertanya-tanya tentang masalah yang ada ini. Saya harap agar diambil perhatian atas beberapa perkara yang saya sebut oleh pihak kerajaan agar ia memberi manafaat kepada kita semua. Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

0 comments:

Post a Comment