HEADER

HEADER

Sunday, May 3, 2015

Kekangan kewangan halang bina universiti

Perwakilan dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Terengganu (DUPT) semalam dimaklumkan bahawa kekangan kewangan adalah faktor utama yang menghalang tertubuhnya sebuah universiti kepunyaan parti yang diimpikan oleh ahli PAS.

Penjelasan itu dibuat oleh Ketua DUPT, Dato’ Hussein Awang ketika menjawab pertanyaan perwakilan yang mahukan sebuah universiti yang bertemakan kebajikan kepada pelajar-pelajar seperti Universiti al-Iman di Yaman.
Jelas beliau lagi, universiti itu adalah harapan yang tinggi oleh DUPT, tetapi kewangan yang sangat terhad menjadikan impian bagi membinanya terpaksa ditangguhkan.
Beliau memberikan contoh yuran-yuran yang dikenakan oleh pihak pengurusan sekolah-sekolah kelolaan PAS adalah yang terendah dan mampu dibayar oleh ibu bapa, menunjukkan kesungguhan PAS dalam menjaga kebajikan rakyat.
Namun, sesetengah ibu bapa yang gagal membayar yuran persekolahan anak mereka, menyebabkan guru-guru dan kakitangan sekolah menanggung akibatnya kerana kekurangan dana.
Terkadang tambah beliau, agihan wang saguhati hari raya kepada guru-guru sekolah kelolaan PAS yang berjumlah kira-kira RM300 juga agak sukar diperolehi.
Menurut beliau lagi perancangan bagi menubuhkan yayasan juga masih tertangguh kerana bayaran sebanyak dua juta ringgit yang diperlukan untuk menubuhkan sesebuah yayasan seperti yang disyaratkan adalah terlalu tinggi.
“Rancangan untuk tubuhkan yayasan masih gagal kerana tiada modal dua juta ringgit, syarat untuk tubuh yayasan, bagi melayakkan mengurus harta wakaf,” terang beliau kepada perwakilan.
Difahamkan universiti-universiti di negara-negara arab menggunakan harta wakaf bagi menguruskan universiti-universiti di sana, sehinggakan ada sesetengahnya hamper tiada yuran dikenakan keatas pelajar-pelajar mereka.
Oleh itu agak mudah bagi pengurusan mereka mengendalikan universiti-universiti itu dengan adanya sumber kewangan yang kukuh sekaligus membantu pelajar-pelajar mengurangkan perbelanjaan mereka.
Pun begitu tegas Dato’ Hussein, sekolah-sekolah kelolaan PAS ini juga hebat dalam menghasilkan modal-modal insan yang berkualiti yang dapat membimbing rakyat kearah kebaikan.
Antara nama-nama keluaran sekolah kelolaan PAS ialah seperti Ustaz Nazri Ahmad calon PAS di Rompin, Adun Manir, Ustaz Hilmi Harun,  Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan ramai lagi.
Menjawab satu lagi persoalan perwakilan berkaitan tentang sabotaj di dalam beberapa program anjuran PAS seperti Ijtimak Antarabangsa baru-baru ini, beliau menjelaskan beliau tiada maklumat berkenaan isu tersebut.

0 comments:

Post a Comment