HEADER

HEADER

Saturday, May 23, 2015

Guru Pasti Murabbi Ummah


Guru Pasti Murabbi Ummah, begitulah slogan yang dipilih bagi, Majlis Sambutan Hari Guru Pasti 2015 Peringkat Negeri Terengganu semalam yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort Kuala Ibai.
Majlis yang dirasmikan oleh YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), berlangsung hampir tiga jam dengan kehadiran seramai kira-kira 450 orang tetamu.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Ustaz Mohd Nor mengingatkan kepada guru-guru Pasti agar benar-benar mengikhlaskan diri bagi membina ummah agar masyarakat akan hidup berpedomankan ajaran  Islam.
Beliau juga percaya, diantara murid-murid Pasti itu, salah seorang daripadanya akan menjadi pemimpin masyarakat dan guru Pastilah dari kalangan orang yang pertama mendidik mereka selain daripada ibu bapa mereka sendiri.
“Betul, walaupun susah dengan bayaran yang agak kecil, tetapi inilah pengorbanan anda untuk anak bangsa.
Kita masih jauh bandingannya dengan perjuangan wanita-wanita di Palestin, Syiria atau Yaman, yang terkadang terpaksa mati kerana berjuang.
Tetapi sekurang-kurangnya inilah yang kita mampu buat dan saya harap semoga anda semua terus ikhlas dalam kerjaya yang mulia ini.
Saya yakin, dalam ramai-ramai pelajar ini, akan ada paling kurang seorang dua yang akan menjadi pemimipin besar negara kita, dan andalah guru pertama diluar rumah mereka,” kata beliau dengan penuh keyakinan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pasti Negeri, Ustaz Sulaiman Sulong pula berkata,tema yang digunakan ini sangat bersuaian sebagai cerminan betapa mulianya dan mustahaknya pendidikan terutamanya pra-sekolah seperti Pasti ini.
Asas pendidikan di Pasti kata beliau, mencangkupi semua aspek seperti mental, fizikal, spiritual  dan emosi kanak-kanak bagi mempersiapkan mereka mencapai matlamat insan rabbani yang sangat diperlukan masyrakat.
Disebalik keruntuhan moral masyarkat sekarang, Pasti muncul dengan penuh komitmen daripada guru-gurunya untuk mengekang keruntuhan akhlak yang disifatkan beliau sebagai membimbangkan.
Dalam majlis itu juga, Pasti Terengganu telah mengurniakan beberapa anugerah kepada beberapa guru Pasti yang cemerlang sebagai penghargaan dan galakan kepada usaha guru-guru Pasti ini yang tidak mengenal penat lelah.
Tiga anugerah utama yang telah diberikan ialah Tokoh Guru Cemerlang Pasti Terengganu yang dianugerahkan kepada Puan Khamisah Mohammed dari Pasti al-Ulum, Hulu Takir dari kawasan Kuala Nerus.
Manakala Anugerah Khas Pengarah Pasti diberikan kepada Puan Rosimah Md Saleh dari Pasti al-Hayyu, Pacakan, Kuala Besut dan Anugerah Guru Pasti Harapan jatuh kepada Puan Azlinda Mohd Ali @ Ariffin dari Pasti at-Tajdid Kuala Paka, Dungun.

0 comments:

Post a Comment