HEADER

HEADER

Monday, May 4, 2015

“Serangan” terakhir kontijen Terengganu untuk rampas Rompin



Kontijen PAS Terengganu hari ini telah mengerahkan tenaga yang maksimum dalam usaha terakhir bagi membantu PAS menang dalam Pilihanraya Kecil P 91 Rompin esok.
Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahari Mamat sendiri telah turun hari ini bagi memberikan arahan terakhir serta kata-kata semangat kepada para pertugas setelah beberapa siri kempen yang beliau sertai sebelum ini, membayangkan kesungguhan kontijen Terengganu.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan perlunya istiqamah dalam memperjuangkan agama Allah dan bukan hanya mensasarkan kemenangan di dunia sahaja tetapi lebih dari itu ialah keredhaan Allah di akhirat.
”Kita berjuang ini samada menang dunia ataupun syahid kerana Allah walaupun kita tidak menang, tetapi amalan kita diterima Allah,” tegasnya kepada para pertugas yang hadir.
Beliau juga menekankan bahawa bidang tugas masing-masing tidaklah sama akan tetapi yang lebih utama ialah cara pertugas melaksanakannya dengan berkesan agar memberikan kesan yang maksimum kepada pengundi.
Sambil menyeru agar pertugas-pertugas supaya terus fokus dengan misi berdakwah selain daripada kempen mengundi, beliau turut mengingatkan pertugas agar menjaga tata susila semasa bertemu orang ramai.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 dan 2, YB Dr Alias dan Haji Yahaya Ali serta Pengarah Pilihanraya Terengganu YB Ariffin Deraman, Bendahari Cikgu Shukrimun Shamsudin serta Adun Chukai YB Hanafiah Mat.
Turut berucap ialah Adun Chukai, Haji Hanafiah Mat yang memaklumkan gerak kerja kontijen Terengganu sehingga hari ini mendapat pengiktirafan pertama oleh PAS Pahang kerana kerja yang tersusun.
Kira-kira 100 orang pertugas dari Dewan Muslimat, Pemuda, Ulamak dan kawasan-kawasan tetap bersemangat dan bersedia menjalankan tugas-tugas kempen walaupun ada di kalangan mereka telahpun berhari-hari tinggal di sini.
Kontijen Terengganu diamanahkan untuk menjaga tiga Unit Peti Undi (UPU) di DUN Tioman iaitu Sungai Puteri, Kuala Rompin dan juga Bandar Baru Rompin dengan jumlah pengundi seramai kira-kira 4000 orang di ketiga-tiga UPU tersebut.

0 comments:

Post a Comment