Hati mana yang tidak gembira apabila
diwaktu kewangan terdesak dan peralatan penting di rumah pula rosak, tiba-tiba
mendapat jemputan ke majlis penerimaan sumbangan peralatan rumah.
Begitulah luahan perasaan oleh Puan
Hashimah Abdul Rahman 49, salah seorang penerima sumbangan barang keperluan
rumah daripada Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payong.
Ibu tunggal yang masih mempunyai
tanggungan yang bersekolah itu, melahirkan rasa syukur dan terima kasih yang
tidak terhingga kepada seluruh jawatan kuasa MTD yang telah bertungkus lumus
merancang program kebajikan ini.
Hashimah yang menerima sumbangan
sebuah mesin basuh menjelaskan bahawa mesin basuh kepunyaannya sekarang ini
kebetulannya rosak dan dia menghadapi masalah kewangan untuk membelinya kerana
hanya bekerja sebagai pembantu kantin.
Sumbangan peralatan rumah itu telah
dianjurkan oleh MTD Bukit Payong semalam dalam satu majlis ringkas di bangunan Kompleks
Pendidikan Madrasah Darul Iman (MDI) di Kedai Buluh.
Seorang lagi penerima Encik Mohammad
Amin Hasan 65, turut mengucapkan terima kasih diatas usaha yang sangat membantu
rakyat ini oleh MTD Bukit Payong.
Bagi beliau bantuan seperti ini
sekiranya mampu, perlu diperluaskan lagi dan beliau berpendapat, tidak
semestinya orang yang sama menerimanya.
Menurut Pengerusi Lajnah Kebajikan MTD Bukit Payong Encik
Mustaffa Yaakob, seramai 11 orang yang dikategorikan layak menerima sumbangan
ini telah dikenal pasti oleh pihaknya.
Tambah beliau, semua peralatan ini
adalah hasil sumbangan oleh beberapa pihak yang mengamanahkannya untuk
diagihkan kepada mereka yang layak untuk menerimanya di sekitar Bukit Payong.
Katanya lagi, selain daripada mesin
basuh, peralatan seperti dapur juga diberikan kepada beberapa orang yang lain
bagi membantu meringankan beban mereka.
Sumbangan disampaikan oleh Adun Bukit
Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.