HEADER

HEADER

Wednesday, September 9, 2015

Kerajaan tidak berhasrat minta royalti 20 peratus


Kerajaan hari ini melalui kenyataan YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman secara jelas menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk meminta royalti sebanyak 20 peratus seperti kerajaan Sarawak lakukan.
Menjawab soalan tambahan oleh wakil Wakaf Mempelam, YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang bertanyakan adakah kerajaan negeri akan mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak yang meminta 20 peratus royalti, Ahmad Razif menegaskan kerajaan negeri tiada hasrat itu.
Sebaliknya beliau menjelaskan kerajaan negeri telah meminta kerajaan pusat agar memberikan lebih kemudahan kewangan dalam banyak bentuk lain kepada kerajaan negeri.
Sebagai contoh, beliau memberitahu dewan bahawa kerajaan negeri telah mendapat kira-kira RM3 billion nilaian termasuk kemudahan dan pelbagai lagi daripada kerajaan pusat.
Soalan asal telah dikemukakan oleh wakil Rhu Rendang Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Menteri Besar berbunyi Apakah status terkini telaga minyak Blok PM 307 Bertam dari sudut pemilikannya serta setakat manakah proses carigalinya telah dilaksanakan.
Apabila Haji Mohd Abdul Wahid bertanyakan berkenaan status kes saman royalti antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, Razif menyatakan bahawa kes saman itu telah ditarik balik oleh kerajaan negeri.
Mengulas berkenaan isu itu wakil YB Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, tindakan YAB MB itu merugikan rakyat negeri Terengganu kerana berapakah bandingan antara RM3 billion dengan lebihan 15 peratus yang sepatutnya diperolehi rakyat.
“Beliau sepatutnya melihat dengan lebih jauh dan berani bagi memperjuangkan hak rakyat, tapi sayangnya dia memilih untuk mendiamkan kehendak seluruh rakyat.
Semestinya dia sedar akan jumlah RM3 billion itu adalah jauh lebih rendah daripada 15 peratus royalti itu iaitu kira-kira RM6 billion, jadi apakah yang hendak dibanggakan dengan RM3 billion itu bila kita sepatutnya menerima RM6 billion?,” soal beliau.
Ketua Penerangan PAS Terengganu itu juga membidas jawapan yang diberikan oleh Razif berkaitan penarikan balik saman royalti kerajaan Terengganu ke atas kerajaan pusat yang menjadikan kerajaan Kelantan sebagai rujukan samada meneruskan kes tersebut atau tidak.
Tetapi apabila timbul isu berkaitan dengan meminta royalti 20 peratus dari kerajaan pusat, Razif tidak pula mahu menjadikan Sarawak sebagai kes rujukan, sebaliknya seperti mahu menyerlahkan sikap penakutnya.
Untuk rekod, lima peratus royalti minyak Terengganu ialah sebanyak kira-kira RM2 billion setahun.
Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada kali ini berlangsung selama separuh hari pada 8 September 2015.

0 comments:

Post a Comment