Muqaddimah Surah ar-Ra’d (Guruh). Diturunkan di Mekah,
mengandungi 43 ayat. Pada permulaan surah, diberi pernyataan, langit yang
dibina tiada bertiang, yang Dia bersemayam di atas arasy, menjaga peredaran cakerawala
dan segala kuasa pentadbiran alam ini adalah ciptaan dan kepunyaan Allah.
Sampai masa, semuanya akan musnah dan semua makhluk akan mengadap Allah. Pada
bumi juga ada tanda-tanda, jika manusia mahu berfikir tentang kebesaran Allah.
Tetapi yang menghairankan, orang kafir masih bertanya dengan
keraguan adakah mereka yang telah mati akan dihidupkan semula dalam bentuk
kejadian baharu. Kemudian dengan nada sinis, memohon kepada rasulullah agar
diturunkan azab. Sedangkan mereka telah lihat sediri tanda-tandanya yang tidak
jauh dari mereka. Mereka juga meminta mukjizat seperti nabi-nabi sebelum ini
(menunjukkan mereka percaya mukjizat nabi dan azab yang terkena pada kaum
sebelumnya). Tetapi Allah menyatakan rasulullah hanyalah membawa peringatan
azab dan nikmat dan akan memimpin kaumnya ke jalan yang benar.
Allah mengetahui perkara yang ghaib, sehinngakan janin dalam
rahim ibu, bagaimana keadaannya, Allah tahu. Oleh itu, samada manusia mahu
menyembunyikan sesuatu dalam hatinya atau menzahirkannya, Allah tahu akan
perkara itu. Allah mengirim malaikat untuk menjaga setiap manusia (malaikat
hazafah. Malaikat ini berlainan dari Kiraaman Kaatibiin). Allah tidak akan
mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka merubah nasib mereka sendiri. Iaitu
jika kaum itu kaya dan baik akhlaknya, mereka tidak membuat dosa, maka Allah
akan kekalkan mereka dalam kebaikan. Sehinggalah mereka mengubah cara mereka
kepada akhlak yang keji, kerana itulah bermulanya kehancuran kehidupan.
Petir, kilat, guruh dan hujan adalah kejadian ciptaan Allah.
Orang yang mensyirikkan Allah diibaratkan membuat kerja sia-sia seperti membuka
tangan mereka dan mengharapkan air masuk ke dalam mulut mereka yang pastinya
tidak akan sampai. Sedangkan semua makhluk Allah di alam ini tunduk kepadaNya
samada suka atau tidak, disedari atau tidak. Buktinya, jika ditanya kepada
orang kafir, siapakah yang mentadbir langit dan bumi ini, maka dijawab mereka,
Allah. Tetapi mereka tetap berdegil walaupun diberikan bukti-bukti yang nyata.
Bandingan yang hak dengan yang batil ialah seperti hujan yang turun, membasahi
bumi, membawa bersama buih-buih. Dan barang-barang seperti emas, perak yang
dibakar, akan meninggalkan buangannya. Maka yang menyuburkan bumi serta
memberikan hasil ialah air hujan dan buih berlalu pergi. Yang menjadi perhiasan
ialah emas dan perak, tetapi bahan buangannya tiada harga. Maka itulah
bandingan antara yang hak dan batil.
Bagi orang yang diazab kerana menolak seruan Allah, mereka
sanggup untuk menebusnya dengan harta sepenuh bumi atau sekali ganda. Sayangnya
kerana mereka tidak mahu menggunakan akal ketika hidup. Bagi hamba Allah yang
menuruti segala perintah Allah samada yang wajib dan sunat kerana takutkan
Allah akan diberi balasan yang sebaik-baiknya iaitu syurga, hidup bersama
keluarga (jika keluarga juga beriman) dan disambut malaikat. Dunia ini adalah
kesenangan kecil sahaja berbanding akhirat. Atas dunia, Allah memewahkan dan
menyempitka rezeki sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.
Zikir kepada Allah adalah satu cara mententeramkan hati.
Rasulullah diutuskan adalah bagi mengajak manusia kemabali kepada Allah dengan
mukjizat al-Quran. Al-Quran ini adalah mukjizat, tetapi orangkafir tidak mahu
mengakuinya. Mereka meminta mukjizat dalam bentuk lain sambil mengejek-ngejek
rasulullah. Sedangkan nabi dan rasul terdahulu juga mendapat nasib yang sama,
sehinggalah Allah menurunkan azab ke atas mereka yang menentang. Orang kafir
ini telah diperdaya oleh iblis dengan memperhiaskan kesyirikan itu supaya
Nampak benar dan hawa nafsu mereka pula menyekat untuk mereka melihat
kebenaran. Dan pastilah mereka akan ke neraka.
Dengan turunnya al-Quran, Allah memberitahu bahawa sebahagian
kecil ahli kitab gembira kerana mereka mebaca kitab dan percaya. Mereka jujur
dengan kebenaran dan kemudiannya masuk Islam. Manakala sebahagian besar lagi
tetap kufur, malah mengadakan pakatan untuk menghancurkan Islam. Allah turut
member amaran kepada rasulullah, jika sekiranya rasulullah mengikut hawa nafsu,
maka tiada apa yang akan dia peroleh dari Allah.
Kedegilan orang kafir sangat keras kerana biarpun telah
meilhat kesudahan bagi orang yang menentang Allah, mereka tetap menentang.
Usaha mereka bagi melancarkan serangan kepada rasulullah digagalkan Allah.
Mereka berkeras tidak mahu mengakui kerasulan Muhammad saw, tetapi Allah memberikan
jaminan yang Dia menjadi saksi kerasulan Muhammad saw dan juga melalui kitab
Taurat, Zabur dan Injil, telahpun dinyatakan dan diperakui oleh mereka yang
jujur dalam berpegang kepada kitab-kitab itu semua. Wallahua’lam. Tamat Surah
ar-Ra’d.
0 comments:
Post a Comment