Kisah Nabi Hud dan
kaumnya ‘Aad disebut dalam ayat ke 50 yang mana kaumnya juga menyembah selain
dari Allah. Walaupun tidak meminta upah dari mereka, dakwah Nabi Hud tetap
ditolak oleh kaumnya. Begitulah sikap kaum yang tidak mahu menggunakan akal.
Kaum ‘Aad adalah kaum yang tinggal di semenanjung arab, dari kalangan manusia
yang gagah, hidup bertani, tetapi hujan jarang turun. Tetapi dalam keadaan
kekurangan hujan itupun, mereka masih menyekutukan Allah. Mereka tidak
mempercayai Nabi Hud dan berkata Nabi Hud adalah seorang yang gila kerana
dijadikan begitu oleh tuhan-tuhan mereka disebabkan pada pandangan mereka Nabi
Hud sentiasa mengina tuhan-tuhan mereka.
Tetapi keyakinan Nabi
Hud ialah Allah yang menguasai semua makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi
ini, bukannya tuhan lain, maka Hud tidak gentar dengan mahkluk. Nabi Hud tidak
rugi jika kaumnya menolak seruan dakwahnya kerana Allah pasti akan membinasakan
kaum yang kafir dan menggantikannya dengan kaum yang lain. Maka apabila azab
iaitu angin ribut yang memusnahkan kaum ‘Aad, nabi Hud tetap selamat. Mereka
dimusnahkan kerana sikap mereka sendiri yang mengikut pemimpin yang zalim dan
dilaknat sehingga kiamat.
Begitu juga dengan
kisah kaum Tsamud, di negeri al-Hijr, dimana dari kalangan mereka sendiri nabi
diutuskan iaitu Nabi Salih kerana mahu menyelamatkan mereka dari kesesatan yang
nyata dengan tidak menyembah Allah. Walaupun diberikan mukjizat sebagaitanda
kenabian, kaumnya tetap derhaka, malah lebih jauh dari itu, mereka menyembelih
unta mukjizat Nabi Salih sambil mencabar azab Allah. Maka selepas tiga hari,
mereka menerima azab yang dijanjikan dengan suatu suara yang kuat dan mematikan
mereka semua dalam kehinaan. Nabi Salih dan pengikutnya, seperti nabi-nabi lain
juga, terselamat dari azab itu.
Dikisahkan juga
tentang Nabi Ibrahim juga menerima tetamu iaitu malaikat Allah yang dalam
perjalanan untuk menghapuskan kaum Lut, sambil membawa berita gembira iaitu
Sarah akan mengandungkan Ishak dan kemudian anak Ishak iaitu Ya’qub. Walaupun
sarah ketawa tidak percaya, tetapi itulah kehendak Allah. Ibrahim dinyatakan
Allah sebagai seorang yang lemah lembut, bimbang akan keselamatan saudaranya
iaitu Nabi Lut, tetapi malaikat hanya menurunkan azab ke atas kaumnya dan
isteri Lut sahaja, dan Lut akan diselamatkan.
Apabila malaikat
sampai ke rumah Lut, mereka menyamar menjadi lelaki-lelaki yang tampan yang
mencemaskan Nabi Lut kerana kaumnya yang sukakan seks sejenis, segera datang
menyerbu rumahnya untuk mendapatkan tetamu nabi Lut. Walaupun ditawarkan anak
perempuannya untuk dinikahkan kepada mereka, mereka tetap menolak dan tetap
inginkan tetamu Nabi Lut. Bagaimana kuatnya Nabi Lut menahan dan menghalang
kaumnya yang menggila itu, sudah pastinya dia tidak terdaya kerana tiada
kekuatan. Namun tetamu Nabi Lut menenangkan dia dengan member jaminan yang
kaumnya tidak dapat berbuat apa-apa kepada Nabi Lut. Malaikat-malaikat itu
menyuruh Nabi Lut lari meninggalkan kampungnya bersama keluarganya dan
pengikutnya yang beriman ditengah malam, kecuali isterinya yang bakal menerima
azab kerana menjadi sebahagian dari kaum Lut yang derhaka itu. Apabila tiba
waktu subuh, maka negeri Sodom itu diterbalikkan, dihujani dengan batu batan
dari tanah yang dibakar secara bertalu-talu. Sebagai peringatan kepada kaum
musyrikin, negeri Sodom itu tidak lah jauh dari mereka dan mereka boleh melihat
kesan keingkaran kaum Lut itu.
Disebutkan juga kisah
di negeri Madyan dekat Jordan, iaitu kaum nabi Syu’aib yang kebanyakan dari
mereka ialah para peniaga yang sering menipu dalam timbangan mereka.
Dinasihatkan oleh Nabi Syu’aib agar berlaku amanah dalam timbangan, jangan
diambil harta secara haram kerana azab Allah akan menimpa orang yang menipu.
Lazimnya jawapan yang diterima oleh para nabi dan rasul ini hampir sama, mereka
melakukan semua itu kerana menurut ajaran nenek moyang mereka, bukan kerana
dalil dari kitab. Dan jelas, mereka juga mengetahui akan azab-azab yang telah
Allah turunkan kepada kaum yang derhaka sebelum mereka keranaNabi Syu’aib mengingatkan
mereka akan peristiwa itu, tetapi mereka tetap dengan pekerjaan mereka. Pada
akhirnya apabila sudah merasa rimas dengan nashat dan teguran Nabi Syu’aib,
mereka mengugut mahu membunuh Nabi Syu’aib. Kesedihan sebagai seorang nabi
dapat dirasakan kerana dakwahnya tidak diterima dan dia hanay menunggu azab
keatas kaumnya sebagai bukti dakwahnya benar. Dan akhirnya kaumnya dibinasakan
sama seperti yang terjadi kepada kaum Tsamud, iaitu mereka mati kerana suara
pekikan yang kuat.
Begitu juga dengan Nabi
Musa yang berhadapan dengan Fir’aun yang akhirnya dibinasakan oleh Allah kerana
kesombongannya mengaku tuhan di dalam laut. Walaupun telah ditunjukkan mukjizat
oleh Nabi Musa, Fir’aun tetap kufur. Di akhirat, Fir’aun akan mengetuai kaumnya
masuk ke neraka dan dia serta kaumnya yang menderhaka, mendapat laknat tidak
putus-putus di dunia dan akhirat.
Semua kejadian ini
jelas menunjukkan yang manusialah yang menganiaya diri mereka. Dan berhala yang
mereka sembah tak dapat menolong mereka sedikitpun. Azab ini semua akan menjadi
I’tibar kepada orang-orang yang beriman yang percaya kepada hari pembalasan.
Pada hari itu, tiada seorangpun yang dapat menolong seorang yang lain kecuali
dengan izin Allah. Jadi jangan kecewa dengan golongan musyrik yang tak menerima
Islam. Mereka akan diazab. Yang penting, kena istiqamah atas jalan Allah.
Jangan cenderung kepada penzalim, nanti akan dibakar api neraka. Kebanyakan
kaum yang diazab itu, orang yang cerdik pandai dan kaya di kalangan mereka
tidak mencegah mungkar, tapi sibuk dengan harta dunia. Jika mereka mengamalkan
mar ma’ruf nahi mungkar, nescaya Allah akan menyelamatkan mereka. Allah
berkuasa menjadikan manusia duduk dalam satu agama sahaja, tetapi Allah berikan
akal fikiran kepada mereka untuk mereka berfikir, tetapi mereka memilih untuk
melawan Allah. Hanya yang mendapat rahmat bersatu dalam agama Allah. Neraka
akan dipenuhi dengan jin dan manusia yang berdosa. Orang beriman akan terlepas
dari kejahatan orang yang kufur. Tamat surah Hud. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment