Juzuk
ke-13. Masih dalam surah Yusuf. Setelah Nabi Yusuf dibersihkan daripada fitnah
dan keluar dari penjara yang mana dia kemudiannya dilantik oleh raja menjadi
pembesar Mesir. Di sini ada sedikit perkara yang menarik iaitu Nabi Yusuf
meminta supaya dia dijadikan sebagai penjaga perbendaharaan Mesir dalam ayat
ke-55. Maka ayat ini dijadikan dalil harus seseorang itu jika benar-benar
amanah boleh meminta jawatan yang ada padanya kebolehan untuk dia menjawat
jawatan itu. Begitulah caranya Allah menaikkan martabat Nabi Yusuf dan Dia
berkuasa memilih sesiapa sahaja untuk itu. Namun kemuliaan ini tidak dapat
menandingi kemuliaan akhirat.
Saudara-saudara
Nabi Yusuf diperintahkan oleh Nabi Ya’kub untuk datang dari Palestin ketika
musim kemarau kerana mencari makanan seramai 10 orang tanpa adik kandung Nabi
Yusuf, Bunyamin. Nabi Yusuf masih ingat akan saudara-saudaranya itu tetapi
menyembunyikannya. Nabi Yusuf mengatur rancangan untuk bertemu Bunyamin dengan
memberikan bekalan kepada mereka dan meletakkan kembali barang dagangan mereka yang
dibawa sebagai tukaran tanpa pengetahuan mereka. Nabi Yusuf memberi syarat
kedatangan mereka pada lain kali mestilah dengan Bunyamin atau tiada bekalan
lagi yang akan diberikan. Apabila mereka pulang ke Palaestin, segera mereka
memujuk Nabi Ya’kub agar membenarkan Bunyamin mengikuti mereka bagi mereka
menerima lagi bekalan dari Nabi Yusuf.
Nabi
Ya’kub sudah hilang kepercayaan kepada anak-anaknya kerana peristiwa mereka
dengan Nabi Yusuf dulu. Tetapi apabila mereka melihat bekalan mereka
dikembalikan oleh Nabi Yusuf, maka mereka semakin bersungguh untuk membawa
Bunyamin bersama kerana pastinya mereka akan mendapat lagi bekalan. Akhirnya
Nabi Ya’kub membenarkan mereka membawa Bunyamin tetapi dengan sumpah atas nama
Allah untuk menjaga Bunyamin. Dengan pelbagai pesan agar menjaga keselamatan,
seperti menyuruh mereka masuk ke Mesir melalui berlainan pintu agar mereka
tidak dilihat sebagai satu kumpulan berbahaya. Merekapun berangkat ke Mesir
sekali lagi. Tetapi malang, Bunyamin kemudiannya ditangkap kerana dituduh
mencuri bejana raja ketika mahu pulang ke Palestin
Nabi
Yusuf diilhamkan oleh Allah menggunakan cara itu untuk memisahkan mereka dengan
Bunyamin, kekal tinggal di Mesir kerana ditahan mencuri. Tetapi apabila
terbukti bejana itu ada dalam simpanan Bunyamin, saudara-saudara mereka segera
menuduh dengan berkata saudara kandung Bunyamin (Nabi Yusuf) juga dulu juga
pernah mencuri, yang membuatkan Nabi Yusuf merasa marah, tetapi ditahannya.
Setelah usaha mereka cuba memujuk agar Bunyamin diganti dengan salah seorang
dari mereka gagal, maka bermesyuaratlah mereka tentang bagaimana mahu
memberitahu kepada Nabi Ya’kub. Abang mereka yang sulung, memutuskan untuk
tinggal di Mesir kerana malu atas kegagalan mereka menjaga Bunyamin.
Mereka
kemudiannya memberitahu perkara yang berlaku kepada Nabi Ya’kub dan berlepas
diri dengan perbuatan Bunyamin kerana bukan salah mereka. Nabi Ya’kub kecewa
bila mendengar cerita itu tetapi dia seorang yang sangat penyabar sambil
berharap kedua-dua Bunyamin dan anaknya yang sulung akan kembali kepadanya.
Nabi Ya’kub langsung teringatkan Nabi Yusuf dan menimbulkan rasa tidak puashati
anak-anak mereka kerana mata Nabi Ya’kub menderita disebabkan menangis
teringatkan Nabi Yusuf. Nabi Ya’kub kemudiannya memerintahkan anak-anaknya agar
tidak berputus asa mencari semula Bunyamin dan Nabi Yusuf. Merekapun bertolak
kembali ke Mesir, tetapi dengan membawa barang dangan yang kurang mutunya
kerana kemarau. Mereka meminta belas ihsan nabi Yusuf untuk menerima barangan
mereka seperti biasa dan menegmbalikan Bunyamin kepada mereka.
Ketika
itulah Nabi Yusuf mengungkit kembali kisah mereka membuangnya dahulu yang
menyebabkan mereka terkejut. Mereka meminta kemaafan dan sedar akan ketaqwaan
dan kesabaranlah Nabi Yusuf maka dia ditinggikan kedudukannya. Nabi Yusuf yang
berjiwa besar, memaafkan kesemua adik beradiknya kerana kejahilan mereka
dahulu. Dia kemudiannya memberikan bajunya untuk diletakkan ke muka Nabi Ya’kub
yang akan membuatnya dapat melihat dengan sempurna semula. Kekuatan perasaan
kasih seorang ayah, dapat menghidu bau Nabi Yusuf, walaupun rombongan
anak-anaknya masih belum sampai ke Palestin. Sehinggakan dia dikatakan oleh
ahli keluarga yang bersamanya di Palestin sebagai tidak siuman. Selepas
semuanya selesai, anak-anak nabi Ya’kub memohon keampunan atas dosa-dosa mereka
yang lalu, Nabi Yusuf menjemput semua saudaranya bersama keluarga mereka untuk
tinggal di Mesir kerana Mesir adalah negeri yang selamat.
Kemudian
setelah semua keluarganya berkumpul, mereka 11 orang saudaranya dan dua ibu
bapanya, tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf, bertepatan sepertimana yang
Nabi Yusuf mimpikan dahulu. Akan tetapi sifat tawadhuk sebagi seorang nabi
pilihan, Nabi Yusuf sebaliknya memuji Allah atas limpah kurnia yang telah
diberikan kepadanya dan memohon agar dia dimatikan dalam keadaan husnul
khatimah. Tiada kesombongan dalam hatinya.
Kisah
Nabi Yusuf ini adalah perkara ghaib yang diceritakan oleh Allah kepada nabi.
Rasulullah walaupun sangat ingin manusia beriman kepada Allah, tetapi
kebanyakannya tidak mahu padahal bukan rasulullah meminta upah dari mereka.
Walaupun banyak tanda yang Allah berikan, tetap mereka kufur. Orang yang
dikatakan beriman juga ada yang melakukan syirik. Mereka rasa mereka aman dari
azab Allah. Rasulullah diperintahkan Allah agar menegaskan jalannya dan
pengikutnya adalah jalan lurus kepada agama Allah dan bukan dari golongan orang
yang mempersekutukan Allah. Kita digalakkan untuk mengembara melihat akan kesan-kesan
buruk kaum yang kufur kepada Allah supaya kita bertambah takut kepada Allah.
Kaum yang ingkar diberi Allah tempoh bertaubat sehingga pada suatu waktu, Allah
akan menyelamatkan para nabi dan rasul dan mengazabkan orang kafir ketika
waktunya sudah sampai. Dan azab itu tiada sesiapa yang beoleh menghalangnya.
Oleh itu perlu kita mengambil iktibar dengan kisah para nabi dari al-Quran
kerana ianya cerita benar dan bukan cerita yang diada-adakan untuk menjadi
petunjuk kepada manusia yang terkemudian. Tamat Surah Yusuf. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment