Bismillahirrahmanirrahiim
YB Dato’ Yang DiPertua, YAB Dato’
Sri Menteri Besar, YB-YB ahli dewan, pegawai-pegawai kerajaan, hadirin dan
hadirat sekelian.
Saya ambil peluang untuk
sama-sama menjunjung kasih titah ucapan DYMM Tuanku Sultan yang menyatakan tentang
pentingnya penerapan nilai-nilai Islam dalam asas pembangunan dan kecekapan
pengurusan. Diantara nilai yang sangat utama dalam kehidupan setiap manusia
khususnya orang yang beriman ialah amanah. Huzaifah ibnu Yaman pernah menyebut
didalam satu hadis :
“Rasulullah telah meriwayatkan
kepada kami dua hadis. Satu ceritanya aku sedang melihatnya dan aku menunggu
untuk melihat yang keduanya. Rasulullah telah menceritakan kepadaku tentang
amanah yang diletakkan oleh Allah dalam hati lelaki-lelaki. Kemudian mereka
mula mempelajari al-Quran apabila al-Quran diturunkan, kemudian mereka
mempelajari sunnah nabi saw. Kemudian rasulullah menceritakan amanah ini akan
diangkat oleh Allah.”
Disebut juga dalam satu riwayat,
Huzaifah menyatakan bahawa, aku mula melihat dipenghujung usianya tentang sukar
untuk aku berniaga, berjual beli dan menyerahkan taat setia kepada seseorang,
melainkan kepada seseorang, seseorang, seseorang. Menunjukkan bahawa diakhir
zaman ini amanah akan diangkat oleh Allah, apabila amanah ini tidak dianggap
penting, amanah ini tidak dianggap suatu perkara yang utama dalam mengurus dan
mentadbir.
Setiap orang ada amanah, setiap
agensi ada amanah, setiap intitusi ada amanah, kerajaan negeri ada amanahnya,
kerajaan pusat ada amanahnya. Bumi ini adalah amanah Allah kepada seluruh
pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat, khususnya pemerintah. Negeri
Terengganu adalah satu amanah yang mememiliki kekayaan yang dikurniakan oleh
Allah. Hasil yang paling banyak yang dikurniakan oleh Allah kepada kita yang
mengkayakan negeri ini ialah hasil petroleum. Oleh kerana itu saya memohon agar
kerajaan negeri, bukan sahaja memberi penjelasan tetapi juga penegasan melalui
MB yang baharu. Sikap, bukan sahaja berkenaan isu royalti, tetapi isu blok yang
berkait dengan Bertam 307. Kerana isu ini sangat membimbangkan, penegasan perlu
dibuat. Kerana bukan sahaja penjelasan yang mesti dibuat di dalam dewan ini
tetapi perakuan dan penegasan mesti diberitahu kepada rakyat.
Apa sikap kerajaan terhadap isu Bertam
ini? Apakah kerajaan negeri Terengganu hanya mahu mendiamkan diri diwaktu PM
menyerahkan dalam keadaan secara mudah untuk memberikan 100 juta kepada
kerajaan Pahang. Diwaktu yang sama, seolah-olah tiada hak bagi kerajaan negeri
Terengganu. Sedangkan keberanian ahli-ahli dewan kerajaan negeri Sarawak,
mereka buat desakan terhadap kerajaan pusat walaupun dibawah kerajaan yang
sama, bawah BN. Dengan desakan mereka minta 20% royalti. Akhirnya mereka dapat,
hasil desakan dan keberanian mereka mempertahankan amanah rakyat mereka.
Akhirnya mereka dapat 20% walaupun dalam bentuk yang berbeza. Sepatutnya
penegasan ini perlu dibuat bukan sahaja di dalam dewan ini tetapi juga di luar
dewan agar rakyat sedar bahawa kerajaan perlu bersikap tegas terhadap kerajaan
pusat.
Lebih-lebih lagi saya melihat
kepelikan. Kerajaan negeri ada tanggungjawabnya, kerajaan pusat ada
tanggungjawabnya, sudah tentu kerajaan pusat ada kekayaannya. Tetapi kelihatan
dalam negeri kita ini ada projek-projek yang sepatutnya dilaksanakan oleh
kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri terpaksa membelanjakannya dengan
peruntukan yang besar. Contoh LPT2. Juga saya minta kita, disenaraikan dan
diberitahu dan dimaklumkan, apa dia jalan-jalan ataupun tanggungjawab yang
sepatutnya dijalankan oleh kerajaan pusat yang terpaksa dilakukan oleh kerajaan
negeri. Contohnya jalan pantai. Saya nak dapatkan maklumat. Sepatutnya jalan
pantai dibawah kerajaan pusat, tetapi apakah perbelanjaan itu dari kerajaan
pusat atau kerajaan negeri?
Yang kedua jalan dari Wakaf Tapai
ke Binjai Rendah ataupun Batu 10, adakah itu jalan yang sepatutnya dibuat oleh
kerajaan persekutuan atau dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan ataupun itu
sekarang dibawah tanggungjawab kerajaan pusat tetapi ditanggung oleh kerajaan
negeri. Itu persoalan-persoalan yang ingin saya tanya, termasuklah dalam
pembangunan Tasik Kenyir. Dengan perbelanjaan begitu besar, pelancongan,
pembangunan pelancongan 2011-2015 anggaran perbelanjaannya ialah RM230 juta
dibelanjakan oleh kerajaan negeri. Pembangunan kawasan bebas cukai bermula 2011
sehingga 2015, anggarannya ialah RM546.3 juta, perbelanjaan yang begitu besar,
adakah semuanya akan dibelanjakan oleh kerajaan negeri? Apakah kerajaan pusat
tidak bertanggungjawab atau tidak berperanan dalam menjayakan kawasan bebas
cukai ini? Sedangkan di sana ada agensi-agensi dibawah tanggungjawab kerajaan
pusat seperti Kastam DiRaja Malaysia, Polis dan berbagai-bagai lagi. Ini
persoalan-persoalan yang saya timbulkan ialah projek-projek yang ada
tanggungjawab masing-masing, apakah projek itu sepatutnya dilakukan oleh
kerajaan pusat tetapi dilakukan dan diurus serta terpaksa ditanggung oleh
kerajaan negeri.
Yang ketiga YB Dato Yang
DiPertua,
Saya melihat kita memerlukan
perbelanjaan besar untuk infrastruktur negeri kita. Tetapi saya belum dapat
maklumat walaupun sebelum ini saya telah bercakap pada penggal yang lepas Kusza
yang dahulunya aset penting kerajaan negeri, yang sekarang ini dinaikkan taraf
oleh kementerian menjadi universiti. Sepatutnya Kementerian Pengajian Tinggi
mestilah melaburkan wang dan membayar
kepada kerajaan negeri, agar kerajaan negeri boleh menggunakan bayaran itu
untuk membangunkan sistem pendidikan yang lain, yang lebih baik, yang lebih
tersusun yang dikembangkan kerana kita sedar, kita tahu dan kita bercakap
bahawa pelajar-pelajar di negeri kita meningkat, kemajuannya, kecemerlangannya
dan setiap hari ibu bapa meminta banyak lagi sekolah-sekolah baru dibangunkan.
Saya melihat ini adalah perkara yang perlu disenaraikan, perlu diberitahu, agar
apa dia hutang-hutang kerajaan pusat, sepatutnya didedahkan. Kerana sekarang
ini kita mendapat maklumat kerajaan pusat mula mendapat pulangan yang tinggi
sebulan daripada hasil GST iaitu RM40 juta lebih. Ini adalah hasil yang banyak
dan sepatutnya dengan hasil itu kerajaan pusat boleh menggunakan untuk
infrastruktur pembangunan dalam negeri.
Saya ingin menyentuh sedikit
berkenaan pendidikan ini. Ada aduan yang begitu banyak daripada guru-guru kita.
Bila kita buat satu hari, hari buruh, kita bagi cuti kepada buruh, hari apapun.
Hari guru, bagus, gotong royong ini bagus, tapi tidakkah ada tarikh lain untuk
dibuat gotong royong? Sehingga diambil hari guru sebagai hari gotong royong.
Sehingga ada dikalangan guru-guru mula berkata “Hari guru, guru diberi cangkul
dan penyapu”. Itu bayangan mereka. Alangkah saya rasa dalam dewan ini, sebutan
saya ini, saya minta supaya hari guru diubah, jangan buat hari gotong royong.
Buatlah program yang meraikan guru dengan jasanya yang sebegitu hebat. Jasa
mereka begitu cemerlang, begitu hebat, sepatutnya hari guru, bukan sahaja kita
bagi bunga, bagi kek, tetapi bagi penghargaan kepada anak-anak mereka,
pelajar-pelajar mereka, murid-murid mereka bagi meraikan hari guru dengan
majlis yang baik. Ini aduan yang saya percaya boleh dinilai. Berkemungkinan akan
ada yang ingin mempertahankan dengan berkata gotong-royong bukan salah, ya
memang tidak salah, tetapi adakah tiada hari lain untuk kita buat gotong-royong
hingga dikeluarkan arahan khusus hari guru jadi hari gotong-royong.
YB Dato’ Yang DiPertua,
Saya ucap syabas kepada YAB Dato’
Sri MB, dia hadir ke Kedai Buloh ada satu majlis, walaupun saya tidak
dimaklumkan, tak apa, bagus, melawat kawasan negeri. Hanya saya mendapat
maklumat kehadiran MB dengan satu perubahan dan saya harap memang perubahan itu
akan berlaku dengan permintaan dan aduan semenjak dahulu lagi daripada penduduk
Kedai Buloh dan sekitar Pasar Kedai Buloh itu sendiri, agar yang pertama,
surau. Surau mesti diurus segera. Dan saya dapat maklumat, surau itu memang
panas, susah. Nak bersolatpun susah. Air, masalah air, semenjak dulu lagi,
berkali-kali kita sebut masalah ini, saya harap, persoalan ini yang dikatakan
akan diselesaikan segera untuk peniaga-peniaga dan pengunjung-pengunjung. Mohon
juga untuk disediakan lampu isyarat berhampiran dengan persimpangan pasar
kerana isu kesesakan lalulintas ini telah lama diadukan. Saya harap jika aduan
ini betul, maka saya mohon dipercepatkannya kerana sememangnya sudah lama
diadukan masalah ini di dalam dewan.
Akhirnya saya mohon untuk
mendapat maklumat tetang Padang Gong Atas Tol, Kampung Laut dan Belukar Jambu.
Bagaimana penduduk di kawasan itu mengadu mereka tidak dapat dan sukar mendapat
kelulusan untuk mengubah status tanah masing-masing. Kerana mereka mendakwa
mendapat maklumat, satu kawasan yang begitu luas, akan diserahkan kepada Naza
Group. Ini adalah aduan, penjelasan boleh dibuat oleh MB, dan kenapa tanah yang
sebegini luas akan diserahkan kepada Naza Group untuk dimajukannya, kenapa
tidak dimajukan oleh kerajaan negeri dan kenapa projek sebegini rupa tidak ada
maklumat yang lengkap kepada penduduk-penduduk sekitar agar mereka dapat
membuat persiapan yang baik dan mereka tidak tertanya-tanya tentang masalah
yang ada ini. Saya harap agar diambil perhatian atas beberapa perkara yang saya
sebut oleh pihak kerajaan agar ia memberi manafaat kepada kita semua.
Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.