Alhamdulillah
bertemu lagi kita dalam siri tadabbur ringkas Quran di blog Dun Bukit Payong.
Kita menyambung tadabbur kita pada siri yang ke 21 setelah tahun lalu kita
membawa 20 siri tadabbur. Bacaan tadabbur ini insyaAllah akan mengambil masa
sekitar tiga minit sahaja untuk dihabiskan. Anda digalakkan untuk menyebarkan
tulisan ini untuk kebaikan bersama. Untuk siri ke 21 ini kita menyambung
perbincangan di dalam surah at-Taubah ayat ke 73.
Allah telah
memerintahkan rasulullah agar berjihad memerangi kaum munafik dan kafir. Dan
bagi mereka (kafir dan munafik) balasannya adalah neraka. Orang munafik suka
membuat sumpah palsu dan mereka adalah golongan yang kafir setelah Islam,
berniat ingin membunuh nabi. Tetapi Allah memberikan peluang bagi mereka
mendapat kebaikan dengan bertaubat. Akan tetapi Allah juga member amaran yang
mereka akan mendapat seksa api neraka jika ingkar dan tiada seorangpun yang
dapat menolong mereka.
Ayat-ayat biasa
dari kaum munafik ialah, berjanji jika Allah beri limpah kurnia, maka mereka
akan bersedekah dan jadi orang yang soleh. Tetapi bila dapat, mereka mungkir
janji. Akibatnya perasaan munafik itu Allah kekalkan hingga mereka mati. Mereka
lupa yang Allah tahu semuanya yang ada dalam hati-hati mereka. Diceritakan
dalam perang Tabuk, ada dari kalangan penderma yang menderma hanya sedikit
sahaja kerana tidak mampu. Hal ini menjadi bahan ejekan oleh kaum munafik.
Tetapi Allah memuliakan penderma yang menderma dengan ikhlas itu dan akan
membalas ejekan kaum munafik itu dengan balasan neraka.
Rasulullah tidak
mampu meminta ampun bagi kaum munafik setelah Allah memberitahu kepada
rasulullah bahawa sama sahaja jika rasulullah meminta ampun bagi pihak munafik
sehingga 70 kalipun, tetapi oleh kerana kefasikan mereka, maka Allah tidak akan
mengampunkan dan memberikan hidayah kepada mereka. Munafik juga gembira bila
tidak bersama rasulullah dalam perang Tabuk. Malah menghasut pula orang lain
agar jangan pergi kerana ketika itu musim panas. Tetapi Allah memberitahu
bahawa api neraka itu jauh lebih panas daripada musim panas itu. Maka ketawalah
sedikit mereka di dunia dan pastinya akan menangis dengan banyaknya di akhirat
nanti. Mereka juga tidak diterima lagi untuk turut serta pergi berperang
bersama rasulullah, tidak disembahyangkan mayat mereka, bahkan tidak dibenarkan
rasulullah untuk duduk di tepi kubur mereka kerana mereka mati dalam keadaan
fasik. Maka janganlah kita terpedaya melihat kekayaan orang munafik kerana
tidak boleh menolong mereka di akhirat. Ditutup hati mereka daripada melihat
kebaikan dunia dan akhirat.
Sementara
orang-orang mukmin yang sejati itulah golongan yang benar-benar berjaya,
mendapat jaminan syurga. Manakala golongan yang lemah seperti tua, sakit,
miskin, mereka diberi perlepasan untuk tinggal di Madinah dan tidak berdosa
bagi mereka. Mereka sebenarnya ingin turut pergi, tetapi terhalang dengan
keadaan mereka dan Allah mengetahuinya. Sehinggakan ada dari kalangan orang
miskin yang sangat beriya-iya untuk turut serta tetapi tiada kenderaan yang
mampu rasulullah berikan kepada mereka. Menyebabkan bercucuran airmata mereka,
sedih mengenangkan nasib mereka yang tidak dapat mengikuti pasukan jihad itu
pergi. Akan tetapi bagi orang yang kaya yang suka mengada-ngadakan cerita untuk
mengelak daripada turut serta dalam pasukan perang, maka hati mereka
dipaterikan oleh Allah sehingga tidak dapat mebezakan kebaikan.Inilah antara
inti pati keterangan berkenaan ayat-ayat dalam surah at-Taubah. Menceritakan
perangai munafik dan orang beriman. Tamat Juzuk 10. Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment