Juzuk ke-11 masih lagi dalam surah at-Taubah.
Golongan munafik bersegera mengadap rasulullah sebaik sahaja rasulullah pulang
dari Perang Tabuk. Mereka memberikan pelbagai alasan berserta sumpah dengan
nama Allah. Tetapi sebenarnya rasulullah telah mengetahui cerita disebaliknya.
Maka rasulullah diperintahkan oleh Allah untuk menolak semua alasan mereka dan
mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan diterima lagi untuk menyertai pasukan
tentera Islam. Dan tempat mereka ialah neraka jahannam. Dalam golongan munafik
itu, termasuklah juga kaum A’arab iaitu badawi yang lebih jahil dari golongan
lain. Kriteria mereka juga sama. Tetapi ada juga orang-orang A’arab ini beriman
kepada Allah.
Allah mengisytiharkan keredhaanNya ke atas
dua golongan iaitu Kaum Muhajirin dan Ansaar kerana keredhaan mereka kepada
Allah dan jasa-jasa mereka kepada membantu rasulullah menegakkan agama Allah.
Bagi golongan yang berdosa, Allah menyuruh rasulullah mengambil zakat dari
mereka agar dengan zakat dan sedekah itu, akan menjadi asbab keampunan Allah ke
atas mereka. Kerana hanya Allah lah yang menerima taubat. Dikisahkan juga ada
beberapa orang sahabat yang ditangguhkan penerimaan taubat mereka oleh Allah.
Mereka dipulaukan kerana tidak turut serta berperang sedang mereka dalam
keadaan sihat.
Masjid Dhirar, adalah satu masjid yang
didirikan oleh orang-orang munafik bagi tujuan memecah belahkan kesatuan umat
Islam serta juga menajdi pusat intipan bagi pihak musuh. Pun begitu, mereka
tetap menyatakan bahawa masjid mereka itu hanyalah untuk mencari kebaikan
sedang Allah mengetahui isi hati mereka. Maka Allah mengangkat Masjid Qubaa’
sebagai masjid yang didirikan atas dasar taqwa kepada Allah yang telah dibina
pada hari-hari awal rasulullah sampai di Madinah serta juga Allah memuji
jemaahnya dan Allah melarang rasulullah bersolat selama-lamanya di Masjid
Dhirar. Maka Masjid Dhirar itu diruntuhkan dan golongan munafik sekali lagi
kecewa kerana rancangan mereka tidak menjadi kenyataan.
Orang-orang beriman berjual beli dengan Allah
samada menggunakan harta mereka ataupun nyawa mereka sebagai barangan jualan.
Allah membeli jualan mereka kerana keikhlasan mereka berjuang di jalan Allah.
Ini telah dinyatakan dalam kitab-kitab terdahulu iaitu Injil dan Taurat dan
jual beli inilah yang memberikan kuntungan yang sangat besar kepada orang-orang
yang diterima jualan mereka oleh Allah. Ciri mereka ialah sentiasa bertaubat,
beribadat, memuji kepada Allah, menuntut ilmu, bersolat, mengamalkan amar
ma’ruf nahi mungkar.
Dalam surah ini juga ada terdapat larangan
meminta keampunan kepada orang-orang musyrik, walaupun mereka dari kalangan
kaum kerabat kita. Sehinggakan nabi Ibrahim sendiri berlepas diri atas
kemusyrikan bapanya setelah lama berharap agar ayahnya diampunkan. Allah
berikan pedoman kepada semua manusia agar manusia memilih baik buruk sesuatu
perkara. Akan tetapi manusialah yang memilih keburukan kerana menolak
keterangan Allah.
Kaum Muhajirin dan Ansaar pernah suatu ketika
bergoncang keimanan mereka bila diuji Allah dan hampir terpesong hati mereka
dari menuruti rasulullah, tetapi mereka bertaubat dan Allah menerima taubat
mereka. Begitu juga kisah tiga orang sahabat yang tidak turut serta dalam
perang Tabuk, mereka dipulaukan sehinggakan Kaab Bin Malik, isterinya juga
diperintahkan meninggalkan dia keseorangan yang menyebabkan mereka merasakan
dunia ini amat sempit bagi mereka. Dan setelah lama bertaubat, maka Allah
menerima taubat mereka. Allah menegaskan bahawa rasulullah sepatutnya ditemani
oleh orang-orang Madinah jika pergi berperang kerana segala pengorbanan mereka
dalam melawan pihak kuffar, akan dicatat sebagai amalan soleh oleh Allah dan
akan dibalas dengan hal yang lebih baik.
Tetapi dalam berperang itu, tidaklah
seharusnya semua orang keluar berperang. Orang-orang yang sedang menuntut ilmu,
atau guru-guru agama hendaklah meneruskan pembelajaran mereka supaya ada
golongan yang akan mewarisi ilmu dan mengembangkannya nanti. Orang kafir
musyrik yang memerangi kita, wajib diperangi bagi mereka merasakan kesakitan.
Penyakit memperolok-olok al Quran adalah
penyakit orang munafik. Mereka jika ada menerima ayat-ayat baru yang
diwahyukan, akan bertanya sesama mereka, siapakah yang bertambah iman mereka
dengan ayat ini? Sedangkan Allah menambahkan iman kepada orang-orang mukmin.
Yang berpenyakit kufur, akan menambahkan lagi kekufuran mereka dengan isi
al-Quran. Golongan ini, walaupun dikenakan bala bencana berkali-kali, tetap
begitu juga keadaan mereka. Bagi golongan munafik, mereka didedahkan oleh Allah
tentang perangai mereka sehingga mereka dapat dikesan dan akan melarikan diri
kerana malu apabila al-Quran menyebut perihal perangai mereka.
Tercengang-cengang mereka kerana berfikir ada dari kalangan mereka yang
membocorkan rahsia mereka. Sedangkan kalau mereka tahu, rasulullah itu sebenarnya
diturunkan dalam keadaan sangat-sangat mengasihi umatnya dan sentiasa inginkan
kebaikan kepada umatnya. Tetapi jika kita ingkar dengan rasulullah, ketahuilah
Allah ada bersama baginda dan cukuplah Allah itu yang memelihara dia, dan yang
rugi adalah kita yang menolak seruan rasulullah. Wallahua’alam tamat surah
at-Taubah.
0 comments:
Post a Comment