Muqaddimah Surah Yunus. Dinamakan Yunus
bersempena dengan nama salah seorang rasul iaitu Nabi Yunus. Diturunkan di
Mekah dan mengandungi 109 ayat. Seperti kebiasaan, surah yang diturunkan di
Mekah, isi kandungannya banyak berkaitan dengan soal aqidah manusia.
Diketengahkan juga perihal kebenaran al-Quran ini sehinggakan sependek-pendek
surah sekalipun, manusia tidak dapat membuat standing dengannya. Sirah para
nabi ialah berjuang di jalan Allah dan pasti
mendapat tentangan dari manusia yang ingkar. Oleh itu para pejuang agama
Allah mesti melupakan tentangan-tentangan ini demi mencapai kemenangan yang
Allah janjikan. Bag orang yang menentang, para nabi dan rasul, tidak akan
dibebankan ke atas mereka dengan penolakan itu, sebaliknya merekalah yang rugi.
Dalam ayat ke-2, kaum musyrik merasa hairan
kenapa seorang manusia yang dipilih Allah bagi menyampaikan wahyuNya dan bukan
malaikat. Sehingga akhirnya mereka menuduh bahawa al-Quran itu adalah sihir
kerana apabila mendengar bacaan al-Quran oleh rasulullah, mereka menjadi lemah
dan terus mengatakan bahawa itu adalah sihir.
Allah menyatakan langit dan bumi ini
diciptakan dalam masa enam hari dan setiap masa tersebut, hanya Dia yang
mengetahui dan kemudiannya bersemayam di atas Arasy (dengan yang selayakNya).
Tanpa keizinanNya, tiada siapa yang dapat meberi syafaat kepada sesiapapun.
Maka dengan kehebatan Dia mentadbir dan memelihara manusia, selayaknyalah Dia
disembah dan dituruti akan perintahNya. Akhirnya, kepada Dialah semua makhluk
kembali, membalas segala perbuatan mereka, beriman atau kufur sebagai memenuhi
janji balasanNya. Manakan tidak hebat, Dialah yang mengatur segala pergerakan
matahari, bulan, planet yang beredar mengikut orbitnya bagi manusia mengira
masa dan semua kejadian itu ada gunanya, tiada yang sia-sia. Ini sebagai tanda
untuk manusia memikirkannya.
Tetapi jika manusia memilih untuk lalai dari
mengambil peringatan ini, serta merasakan tiada hidup selepas mati, maka
nerakalah tempat kembalinya. Bagi orang yang beriman, Allah akan menjadi
pemimpin mereka untuk ke syurga. Ketika melihat nikmat, mereka mengucapkan
pujian kepada Allah. Manusia adakala sifatnya gopoh dalam meminta sesuatu dari
Allah, marah apabila lambat permintaannya dimaqbulkan Allah, sedangkan semua
itu adalah hak Allah, Dia yang berkuasa member atau menahannya. Dan orang yang
sesat, akan dibiarkan Allah meraba-raba dalam kesesatannya. Satu lagi sifat
buruk manusia ialah apabila mendapat bala atau ujian, maka merintihlah mereka memohon
kepada Allah. Dan apabila ditarik ujian dan bala itu, seolah-olah tidak pernah
mereka berdoa kepada Allah sebelum itu, bersikap sombong angkuh pula.
Allah mengingatkan sudah banyak kaum yang
zalim dihapuskan oleh Allah sebelum ini. Dan dijadikan umat Muhammad sebagai
khalifah menggantikan umat terdahulu bagi diuji oleh Allah. Sesetengah manusia
yang melawan rasulullah, meminta Quran yang lain kerana tidak percaya kepada
Allah. Tetapi rasulullah tetap dengan pendiriannya bahawa itulah Quran yang
diwahyukan kepadanya, tiada kuasa dia menukarkannya dan baginda takut dengan
azab Allah. Sedangkan jika kaum kafir itu memikirkan yang rasulullah adalah
seorang ummiy (buta huruf), telah lama terkenal dengan sifat amanahnya, maka
mereka sepatutnya tahu bahawa Quran itu adalah wahyu Allah. Tetapi mereka tetap
mendustakan rasulullah, jelas kezaliman mereka.
Kaum kafir tetap menyembah patung yang tiada
member mudharat dan manafaat kepada mereka dan yakin bahawa mereka akan
mendapat syafaat dari patung-patung itu, sedangkan Allah suci dari segala
sekutu. Manusia pada mulanya hanya beragama Islam, tetapi setelah disesatkan
oleh syaitan dan nafsu mereka berselisih. Tetapi Allah tidak menyegerakan
hukuman kepada mereka. Banyak alasan kaum musyrik untuk tidak beriman seperti
meminta mukjizat. Pernah Mekah dilanda kebuluran dan musyrikin Mekah meminta
rasulullah berdoa kepada Allah. Apabila doa rasulullah supaya dihapuskan
kebuluran dimaqbulkan, segera mereka berpaling dan kembali menentang Allah dan
rasul. Begitu juga dengan perumpamaan yang Allah berikan ketika sebuah kapal
dilanda rebut, penumpangnya berdoa dengan seikhlasnya kepada Allah. Dan apabila
rebut berhenti, mereka mula melakukan kerosakan di muka bumi tanpa alas an yang
benar. Dan perbuatan derhaka mereka itu adalah bala kepada mereka sendiri tanpa
mereka sedar.
Kehidupan dunia ini diibaratkan sebagai air
hujan yang turun, menyuburkan tanaman dan bunga-bungaan, memberikan keindahan,
menumbuhkan tanaman, memberikan makanan kepada manusia, melekakan manusia dan
tiba-tiba pada satu waktu, semuanya diragut dari mereka hancur lebur,
seolah-olah ia tidak pernah wujud. Bagi manusia yang berfikir, mereka tahu
dunia ini tidak akan kekal. Oleh itu, jika kita ikut jalan Allah yang lurus,
maka kita selamat. Ahli syurga adalah orang yang sentiasa membaiki amalannya,
berseri wajahnya dan akan dapat melihat dzat Allah. Berlawanan dengan ahli
neraka, wajahnya hitam, hina, tiada pelindung dan kekal dalam neraka.
Wallahua’lam
0 comments:
Post a Comment