HEADER

HEADER

Thursday, November 6, 2014

Kenyataan Media : Kes buli, apa kesudahannya?

 
Kami memandang serius dan sedih atas kejadian buli yang menjadi viral di dalam media sosial baru-baru ini. Sebelum ini telahpun ada kejadian seperti itu yang telah dirakamkan seperti yang berlaku di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN). Rupanya ia tidak terhenti setakat itu sahaja, malah lebih banyak rakaman-rakaman kes buli ini telah disebarkan di media sosial.
 
Kami mencadangkan agar Kementerian Pelajaran lebih berperanan dalam menekankan aspek disiplin di sekolah-sekolah. Beberapa kempen yang telah dijalankan oleh Kementerian seperti kerjasama dengan Polis, dilihat gagal dalam menangani masalah ini, malah tidak diketahui apakah status kerjasama itu sekarang. Kami juga berpendapat, kementerian boleh menambah bilangan warden agar lebih mudah mendisiplinkan pelajar. Asrama-asrama juga seboleh-bolehnya memisahkan pelajar yang jauh lebih senior dengan pelajar-pelajar baru seperti pelajar tingkatan satu dengan lima bagi mengurangkan peluang kes buli berlaku. Hukuman yang tegas perlu diambil bagi memberi amaran kepada yang lain. Kepada pihak sekolah juga, perlulah melaporkan kes-kes besar jika berlaku dan kami berharap tiada sekolah yang menyembunyikannya hanya kerana menjaga nama sekolah. Kami memuji tindakan guru-guru yang berani mendedahkan hal ini bagi masyarakat bersama-sama berganding bahu mengembeling tenaga menghapuskan kes buli sebegini.
 
Selain dari kementerian, media juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap berlakunya kes-kes buli ini. Filem-filem yang memaparkan aksi-aksi ganas dan keterlaluan, walaupun diberi amaran filem tersebut hanya boleh ditonton oleh penonton yang berumur 18 tahun keatas, namun, siapakah yang akan memantau jika mereka terus menonton terutama jika tiada ibu bapa di rumah, atau pelajar-pelajar ini berada di kedai? Syarikat-syarikat penyiaran elektronik mahupun bercetak, perlulah memikirkan masa depan negara ini selain daripada memikirkan keuntungan, kerana jika pemuda-pemudi kita rosak, maka negara kita juga turut rosak.
 
Lambakan video samada lucah atau ganas, ditambah dengan kemudahan internet, memudahkan mereka meneroka alam larangan itu. Walaupun begitu, ianya masih boleh dikawal dengan ibu bapa berperanan mengawal displin anak-anak ketika di rumah dengan mengawal akses kepada internet dan tidak sewenang-wenangnya membelikan gajet-gajet bagi anak-anak tanpa kawalan. Pihak berkuasa juga mesti sentiasa memantau siber kafe agar tidak dijadikan pusat bagi menonton filem-filem sebegini.
 
Kita mungkin tidak akan dapat menghapuskan gejala ini secara total, tetapi paling tidak, kita insyaAllah dapat mengurang serta mengawalnya dari menjadi barah kepada mastarakat di mana kesan buruk daripada buli ini selain dari menyakitkan tubuh badan, ianya juga kesan jangka panjang kepada mangsa seperti kemurungan dan pendendam. Akhirnya kami yakin dan percaya bahawa segala masalah umat ini hanya boleh diselesaikan dengan kita benar-benar kembali kepada agama fitrah iaitu Islam. Dimana Islam menawarkan kepada manusia penyelesaian yang terbaik bagi mengawal disiplin manusia agar sentiasa hidup dalam batas-batasnya.
 
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
13 Muharram 1436 bersamaan 6 November 2014

0 comments:

Post a Comment