HEADER

HEADER

Saturday, November 29, 2014

Munaqasyah Ucapan Dasar, ahli digesa lebihkan usaha


Dr Riduan sedang menyampaikan ucapannya kepada ahli-ahli PAS Hulu Terengganu
 
Satu majlis yang dinamakan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS ke - 60 bagi Kawasan Hulu Terengganu telah berlangsung  di Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu di Taman Kenangan, Kuala Brang.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang ahli PAS dari seluruh Hulu Terengganu itu bertujuan bagi menerangkan inti pati ucapan dasar presiden bagi ahli-ahli merangka, menyusun dan menjalankan gerakerja parti.
Adun Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor dijemput sebagai pembentang kertas kerja dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat itu.
Antara penekanan yang dibincangkan ialah aspek hala tuju pemantapan parti dalam tiga keadaan iaitu pemantapan organisasi parti, peranan PAS dalam negara dan juga peranannya di luar negara.
Dalam ucapan Ustaz Mohd Nor, beliau mengharapkan agar ahli-ahli di Kawasan Hulu Terengganu untuk melipat gandakan usaha memahamkan masyarakat tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan wujudnya GST dan kenaikan harga minyak.
Beliau mencadangkan agar ahli-ahli PAS memberikan contoh atau kaedah yang mudah difahami oleh masyarakat bawahan agar turut merasakan bahawa pelanggan seperti merekalah yang dimestikan membayar cukai.
Menurut beliau, faktor geografi dan tahap pemikiran penduduk di kawasan pendalaman, biasanya memberikan sedikit kesukaran bagi PAS menerangkan isu-isu semasa dan keadaan ini pula diambil kesempatan oleh Umno.
“Orang hulu ni faham ke tak pasal cukai baru ni? Ataupun tak tahu jugak pasal harga minyak naik?
Ahli-ahli PAS di hulu ni kenalah berusaha lebih sikit nak bagi kefahaman kepada masyarakat.
Kasihan mereka yang tak faham pasal isu GST ni.
Cubalah kita berikan contoh-contoh mudah untuk masyarakat faham akan isu ini, yang mana enam peratus yang dikenakan GST itu akan dikenakan kepada mereka, sedangkan pembekal dan penjual boleh claim balik dari kerajaan,” kata beliau.
Turut hadir dalam masjlis itu ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Haji Mahyudin Abdul Rasyid dan Adun Manir YB Ustaz Hilmi Harun.
Sementara itu Dr Riduan Mohd Noor dalam ucapannya, menerangkan tentang pentingnya kesatuan pemikiran dalam jemaah dan menyingkap kembali sejarah parti bagaimana jatuh bangunnya jemaah yang akhirnya mematangkan PAS.
Beliau turut memperingatkan ahli agar tidak terlalu dihambat dengan kemenangan yang akhirnya boleh menyebabkan kerugian kepada Islam itu sendiri, tetapi ahli-ahli mesti memahami bahawa kemenangan itu adalah ujian.

0 comments:

Post a Comment