HEADER

HEADER

Wednesday, June 25, 2014

PAS Marang lancar program “Ramadhan Bulan Tarbiyah”



PAS Marang baru-baru ini telah melancarkan satu program keagamaan bagi memeriahkan lagi sambutan kehadiran bulan yang mulia iaitu bulan Ramadhan.
Program ini bermatlamatkan bagi melahirkan insan bertaqwa sesuai dengan jaminan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183.
Pelancaran  program “Ramadhan Bulan Tarbiyah” itu telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor YB Iskandar Abdul Samad sebaik sahaja beliau selesai menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Marang.
Dalam program tarbiyah ini, ia bakal menjelaskan lagi dengan lebih lanjut bagaimana bentuk amalan yang terbaik yang semestinya dipersembahankan kepada Allah bagi merangkul gelaran insan bertaqwa itu.
Dalam kata aluan Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali menekankan perlunya pentabiyahan kepada umat Islam agar tidak menjadi malas dan lemah dengan alasan berpuasa.
Beliau juga mengambil contoh rasulullah dan para sahabat yang berperang dalam bulan puasa tanpa memberikan alasan berpuasa.
Selain itu juga, program ini diharap dapat membantu umat Islam melepasi ujian kesabaran dan menyempurnakan ibadat puasa dengan penuh keikhlasan kepada Allah agar ibadat puasa tidak menjadi sia-sia.
Sambil mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Marang atas usaha ini, beliau melihat kerjasama dalam menyusun program ini juga adalah satu bentuk tarbiyah bagi jawatankuasa itu sendiri.
Antara aktiviti-aktiviti harian yang akan diadakan bersempena program ini ialah tazkirah ramadhan, solat tarawikh, tadarus al-Quran, qiamullai, majlis berbuka puasa, bersahur, infaq, bersedekah, beri’tikaf serta kuliah subuh.
Sementara itu Ketua Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kawasan Marang, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, melahirkan rasa bersyukur diatas kejayaan jawatankuasa lajnahnya menerbitkan buku panduan bagi menghadapi Ramadhan.
Al-Quran jelas beliau telah menyatakan bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan tarbiyah bagi membentuk dan melahirkan muslim yang bertaqwa melalui aspek rohani dan jasmani yang sesuai menurut kehendak al-Quran.
“Al-Quran telah berjaya melahirkan manusia jahiliyah yang berubah bagaikan malaikat yang bertubuh manusia.
Proses tarbiyah al-Quran yang hebat ini mesti dikembalikan untuk melahirkan pimpinan dan pejuang-pejuang Islam yang berupaya membebaskan dunia ini daripada kezaliman dan kemungkaran.
Al-Quran berperanan untuk merawat penyakit ummah dengan tiga ciri utama syifa’ ataupun penawar, rahmat dan hidayah,” jelas beliau yang dipetik daripada ucapan aluannya di dalam buku program.
Tambah beliau lagi program ini adalah agenda utama parti dan aspirasi lanjutan daripada murabbi agung iaitu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan berharap agar semua ahli merebut peluang program ini.
Beliau kemudiannya menyeru kepada semua lapisan masyarakat agar turut serta dalam program yang sangat baik bagi menghayati Ramadhan.

0 comments:

Post a Comment