HEADER

HEADER

Friday, June 13, 2014

PAS sasar 100 ribu ahli akhir tahun ini


PAS Terengganu melahirkan keyakinan yang tinggi dengan sasaran bagi mendaftarkan seramai 100 ribu orang ahli menjelang akhir tahun ini.
Hal ini dinyatakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Haji Mahyudin Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan aluan dalam majlis Himpunan Keluargaku Ahli PAS Kawsan Marang (HIKAP)
Menurut beliau, pada ketika ini, jumlah keseluruhan ahli PAS di Terengganu ialah seramai kira-kira 84 ribu orang dan Marang adalah kawasan yang mempunyai ahli teramai iaitu seramai lebih 20 ribu orang.
Oleh itu, beliau berharap dengan kerjasama yang erat yang ditunjukkan oleh ahli dan kesungguhan mereka, akan memberikan kekuatan bagi melaksanakan hasrat BPPNT itu.
Beliau yang mewakili BPPNT dalam majlis tersebut turut menekankan tentang perlunya hidup berjemaah dan jemaah yang wajib disertai ialah jemaah Islam yang tulen.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 Dr Alias Razak, Timbalan Pesuruhjaya 2 Haji Yahaya Ali yang juga Yang diPertua PAS Kawasan Marang serta timbalannya, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah merangkap Ketua Penerangan BPPNT.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr Alias menegaskan perlunya PAS merampas kembali pemerintahan Terengganu kerana Umno hanya melihat keuntungan kepada kroni-kroni mereka.
Menurut beliau lagi, beliau pernah diberitahu oleh orang dalam Umno bahawa kejatuhan Dato’ Ahmad Said adalah kerana beliau sudah banyak membolot projek-projek, maka inilah masanya bagi orang lain pula yang merasa.
Oleh itu bagi beliau, Umno sudah tidak relevan lagi kerana tidak berjaya menjalankan kewajipan mereka kepada rakyat malah da;am masa yang sama menganggap harta rakyat itu sebagai habuan untuk mereka.
Dalam majlis itu juga, diadakan penyampaian hadiah bagi beberapa pertandingan, antaranya anugerah Keluarga Paling Ramai Ahli PAS bagi setiap DUN.
Pertandingan ini dimenangi oleh Saudara Ismail Mohd dari Alor Limbat, Ustaz Hassan Mohd Amin dari Bukit Payong, manakala dari Ru Rendang dan Pengkalan Berangan masing-masing di menangi oleh Jusoh bin Ali dan Hassan bin Harun.
Bagi anugerah ahli PAS teramai untuk setiap DUN, tempat pertama DUN Pengkalan Berangan dengan jumlah ahli seramai 740 bermula 1 Januari sehingga 15 Mei.
Kedua Ru Rendang dengan jumlah ahli seramai 556 orang manakala Alur Limbat seramai 214 dan Bukit Payong hanya berjaya mengumpul seramai 84 orang ahli bagi tempoh yang sama.

Manakala hadiah khas bagi keahlian PAS Kawasan Marang yang ke 20 ribu jatuh kepada saudara Shahrul Azman Bin Kadir dari Cawangan Durian Guling, berusia 19 tahun.
Program HIKAP akan berlangsung sehingga petang esok dengan pelbagai acara menarik termasuk pertandingan memancing dan memanah.

0 comments:

Post a Comment