HEADER

HEADER

Saturday, June 21, 2014

Tingkatkan ilmu untuk kuasai masyarakat


Marang : Ahli PAS digesa agar mempelbagaikan ilmu dan memperkemaskan peribadi bagi menarik lebih ramai ahli-ahli baru kedalam parti.
Ini kerana cabaran politik dimasa depan pastinya berbeza berbanding dengan keadaan sekarang dan oleh kerana itu, ahli-ahli PAS perlu memperhebatkan usaha bagi menguasai ilmu agar tidak ketinggalan.
Gesaan ini disuarakan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Marang Kali Ke-30 di Dewan Tok Guru, di perkarangan Masjid Rusila, Marang semalam.
Beliau seterusnya melahirkan keyakinan yang tinggi bahawa untuk masyarakat mengenali Islam, maka ahli PAS lah pihak yang selayaknya mengambil tanggungjawab itu.
“Ahli PAS kena miliki ilmu, tapi bukan ilmu tradisi (sahaja).
Cabaran akan datang mungkin berbeza.
Kena upgrade (tingkatkan) diri kita dan upgrade ilmu kita,” kata beliau.
Beliau berpendapat untuk menuju ke Putrajaya, peluang mesti diberikan kepada semua bagi melengkapi antara satu sama lain serta juga menjauhkan budaya label-melabel sesama sendiri.
Tambah beliau lagi, PAS Selangor pada ketika ini telahpun menjalankan usaha meningkatkan jumlah tazkirah-tazkirah serta kuliah-kuliah agama bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang hal-hal berkaitan agama.
Ini untuk memastikan PAS benar-benar dapat menggantikan Umno dalam pemerintahan dan bukannya hanya dilihat menggantikan Umno dalam pemerintahan tetapi mempunyai perangai yang sama.
Menyentuh berkaitan isu terkini berkenaan isu penukaran Menteri Besar yang melanda kerajaan Selangor sekarang ini, YB Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, menjelaskan ianya tidak benar.
Menurut beliau, ianya bermula dari masalah pihak lain yang merebak kepada PAS dan bukannya masalah yang dimulakan oleh PAS Selangor.
Beliau berpendapat mungkin atas sikap tegas Tan Sri Khalid Ibrahim berkaitan kontrak dan duit rakyat yang dipegangnya, maka ada beberapa pihak yang tidak berpuashati itu mencari alasan.
Adun Cempaka itu juga memuji kehebatan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang atas kebijaksanaannya yang sentiasa berjaya menyelesaikan sebarang bentuk perbezaan pendapat PAS Selangor dengan Tan Sri Khalid.
Menyatakan kekaguman beliau atas kejayaan PAS Kawasan Marang menambah ahli sehingga 20 ribu orang, beliau akan cuba membawakan Program Himpunan Keluargaku Ahli PAS (HIKAP) di kawasan beliau.
Akhirnya beliau menasihatkan perwakilan agar berdiri diatas prinsip PAS dan bercakap benar atas prinsip yang telah diperjuangkan sejak dahulu iaitu isu hudud dan tidak sepatutnya kita berselindung.
YB Iskandar turut memaklumkan akan keadaan Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang semakin baik dan akan kembali ke Terengganu tidak lama lagi dan beliau menyampaikan salamnya kepada semua perwakilan sewaktu pertemuannya dengan Presiden.

0 comments:

Post a Comment