HEADER

HEADER

Saturday, May 17, 2014

Perutusan tahniah kepada MB baru

Bismillah

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, diatas perlantikan beliau sebagai MB bagi negeri Terengganu Darul Iman yang baru selepas mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu pada 12 hb Mei yang lalu.

Suka saya mengingatkan Datuk akan amanah yang sedang dipikul oleh Datuk adalah amanah dari Allah bagi menjaga keseluruhan rakyat Terengganu dari semua segi. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud :

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”

Maka hendaklah kita menginsafi bahawa amanah ini adalah beban ke atas manusia, menjadi kecelakaan bagi orang yang mengkhianatinya dan kerahmatan bagi yang memenuhinya dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan Allah.

Saya dengan rendah diri memohon kepada Datuk sebagai ketua kerajaan yang baharu agar memperhalusi soal keadilan, ketelusan dan menjadi seorang pemimpin bagi sebuah kerajaan untuk semua rakyat Terengganu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa mahupun ideologi sesuai dengan saranan dalam titah ucapan Tuanku ketika perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri tempohari dengan :

Meneliti kembali keperluan segera bagi melantik kembali seorang Exco Agama secara khusus kepada portfolionya, menilai semula projek-projek “Gajah Putih” samada yang sedang ataupun yang bakal dilaksanakan, mengambil tindakan tegas keatas kotraktor-kontraktor yang gagal memenuhi spesifikasi piawai sesuatu projek serta mana-mana jika terdapat GLC yang tidak mengutungkan hendaklah distrukturkankan semula ataupun ditiadakan kerana ianya semua merupakan kepentingan utama rakyat dan bagi menghapuskan pembaziran dan juga rasuah untuk menyelamatkan wang rakyat daripada disalah guna.

Memahami maksud “keadilan” dalam pemerintahan era Datuk dengan sebenar-benarnya agar tidak disalahertikan sepertimana kefahaman pimpinan Umno yang lalu. Adil didalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Walaupun di sesesuatu kawasan, rakyat tidak memilih wakil dari parti kerajaan yang memerintah, namun menjadi kewajipan kepada kerajaan memerintah atas semangat demokrasi, menyalurkan peruntukan kepada rakyat melalui wakil yang telah mereka pilih secara sah sebagai tanda menghormati pilihan rakyat.

Kerajaan negeri mesti memahamkan fungsi JKKK kepada ahlinya agar dapat berperanan dengan sepatutnya dan tidak bertindak sewenang-wenangnya menafikan hak orang ramai dengan menyalahgunakan kuasa yang diberi. Tidak lupa juga kepada badan-badan kerajaan supaya mengenepikan birokrasi yang tidak sepatutnya dalam memproses permohonan-permohonan rakyat terutama dalam hal yang memerlukan sokongan wakil rakyat bukan kerajaan.

Akhir kata, saya ingin mengingatkan Datuk bahawa ahli dan penyokong PAS juga adalah sebahagian dari rakyat Terengganu. Saya membawakan sepotong hadis yang bermaksud :

“Sesiapa saja pemimpin yang curang (zalim) terhadap rakyat, maka akan masuk neraka.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Sebagai ingatan kepada diri saya sendiri dan Datuk akibat sekiranya pemimpin melakukan kezaliman ke atas rakyatnya, dan saya mengucapkan selamat bertugas kepada Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Semoga harapan kami di atas menjadi kenyataan demi memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Terengganu. InsyaAllah.

YB Mohd Nor Hamzah
Adun Bukit Payong
18 Rejab 1435 bersamaan 18 Mei 2014

0 comments:

Post a Comment